AL-BAIDA - Sebuah istana milik pemimpin Libya, Muammar Gaddafi di bandar ini diselongkar dan dirosakkan oleh kumpulan penunjuk perasaan yang menentang pemerintahannya, lapor stesen televisyen Al-Jazeera semalam.
Istana itu dihiasi dengan tumbuhan hijau, sebuah kolam renang tertutup, sauna dan jakuzi untuk tetamu-tetamunya.
Menurut stesen televisyn itu, istana itu dilengkapi dengan kubu bawah tanah yang dibina untuk perlindungan selama beberapa bulan jika beliau diserang dengan senjata bukan konvensional.
Kubu bawah tanah itu dilengkapi dengan sistem penapisan udara dan janakuasa untuk tujuan kecemasan.
Alat penggera kebakaran, paip air dan tangga digunakan untuk membantu pemimpin tersebut melarikan diri jika berlaku sesuatu yang tidak diingini.
Dalam imej yang disiarkan stesen televisyen itu, beberapa orang merosakkan barang-barang yang terdapat di dalam istana tersebut.
Istana itu diceroboh selepas para penunjuk perasaan berjaya menguasai bandar ini daripada tentera upahan Gaddafi baru-baru ini.
Gaddafi kini berdepan dengan penentangan rakyat yang tidak berpuas hati dengan pemerintahannya selama hampir 42 tahun kerana sumber kekayaan negara tidak digunakan untuk membantu kehidupan rakyat yang miskin.
Kebangkitan rakyat itu didorong oleh kejayaan tunjuk perasaan yang berjaya menyebabkan Presiden Mesir, Hosni Mubarak meletakkan jawatan selepas hampir 29 tahun beliau memerintah.
Gaddafi sanggup menggunakan bedilan peluru berpandu dan tentera upahan untuk memerangi penunjuk perasaan yang menentang pemerintahannya namun beberapa buah bandar dilaporkan sudah jatuh ke tangan para penunjuk perasaan. - Agensi

Pakar-pakar arkeologi menemui sembilan makam purba di wilayah Cusco, kata pemerintah Peru seperti yang dilaporkan sebuah akhbar kelmarin.
Makam-makam itu berasal daripada Tamadun Wari yang telah lama wujud di Peru sebelum negara Amerika Selatan itu dijajah oleh Sepanyol pada tahun 1500.
Penemuan penting tersebut yang dibuat di banjaran Andes, selatan bandar ini, menunjukkan bangsa Wari terlebih dahulu memerintah rantau berkenaan sebelum empayar Inca berkembang pesat.
Tamadun Wari memiliki zaman kegemilangan di Andes di antara tahun 700 hingga 1200.
"Penemuan ini adalah penemuan terbaru yang paling penting iaitu sejak penemuan Machu Picchu," kata seorang pegawai tempatan, Juan Garcia.
Machu Picchu merupakan kota peninggalan tamadun Inca di Peru yang ditemui pada 1911.
Kota bersejarah itu menerima kehadiran 500,000 pelawat pada setiap tahun.
"Bangsa Inca mungkin mendapat inspirasi daripada tamadun Wari dalam membangunkan sistem politik mereka," kata Menteri Pelancongan Peru, Juan Ossio
Bangsa Inca membina empayar terbesar di rantau Amerika di antara tahun 1400 dan 1531. - Agensi

MOSCOW - Seorang seniman di bandar Omsk, Siberia, Rusia, Anatoly Konenko mencipta sebuah akuarium paling kecil di dunia yang mengandungi air dua sudu teh, lapor sebuah akhbar Metro.co.uk semalam.
Akuarium itu dilengkapi dengan satu penapis air dan ia mengambil masa selama dua minggu untuk dihasilkan.
Menurut akhbar dalam talian, Voice of Russia, akuarium itu dilengkapi dengan pasir, batu pelbagai warna, ikan dan rumpai laut yang mengandungi air sebanyak 10 mililiter.
Konenko merupakan pakar dalam menghasilkan pelbagai perhiasan mini sejak 30 tahun lalu.
Dia sebelum ini menghasilkan tulisan pada beras dan rambut manusia. - Agensi


Penduduk di Prumpung, Jatinegara, Jakarta Timur mengerumuni sebuah kubur yang dikatakan mengeluarkan suara seperti orang menangis, lapor akhbar dalam talian Tribunnews.com semalam.
Kubur itu yang menempatkan jenazah seorang remaja perempuan di Prumpung, Desi Tri yang berusia 15 tahun itu menjadi tumpuan orang ramai sejak pagi semalam.
Desi meninggal dunia pada 18 Februari lalu kerana sejenis penyakit.
Menurut seorang jirannya, Bony, 38, dia turut mendengar cerita bahawa Desi didapati masih hidup semasa solat jenazah.
Bagaimanapun, seorang wakil ketua kampung, Bambang berkata, dia tidak mendengar suara tangisan dari dalam kubur tersebut.
Dia menjelaskan, jika kubur itu mahu digali semula, ia perlu mendapatkan persetujuan daripada keluarganya.



 - Agensi

WAREHAM, Britain - Seekor labah-labah yang ditemui di Arne, dekat ini mempunyai wajah seperti manusia, lapor sebuah akhbar semalam.
Seorang pekerja Persatuan Diraja Untuk Perlindungan Burung, Mark Singleton menemui labah-labah itu baru-baru ini.
Menurutnya, labah-labah itu memiliki wajah seperti manusia di bahagian perutnya.

- Agensi

Seperti zon perang. Itulah gambaran yang diberi pelajar Malaysia di Christchurch, New Zealand selepas gempa bumi dengan kekuatan 6.3 pada skala Richter melanda wilayah itu pukul 12.51 tengah hari waktu tempatan kelmarin (waktu Malaysia pukul 8.19 pagi semalam).
“Keadaan seperti kena bom dan seolah-olah di zon perang. Saya tercampak beberapa meter dari tempat bekerja hingga menyebabkan kaki saya lebam teruk serta kasut koyak,’’ kata Abdullah Mohd. Nawi ketika dihubungi Bernama.
Pelajar ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) Universiti Canterbury itu sempat berlindung di bawah meja bagi mengelakkan dihempap oleh benda yang jatuh.
“Sebaik keluar dari bangunan itu, saya agak hilang arah, rasa takut jangan cakaplah apatah lagi apabila melihat keadaan sekeliling orang berlari-lari untuk selamatkan diri serta bunyi siren bomba, polis dan ambulans,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai melarikan diri ke kawasan lapang bagi mengelakkan diri daripada ditimpa runtuhan.
Abdullah bagaimanapun tetap bersyukur isteri serta dua anaknya yang berada di kediaman mereka juga terselamat.
Kejadian gempa yang melanda itu menyebabkan sekurang-kurangnya 65 terbunuh serta ramai lagi terperangkap di celah-celah runtuhan.
Saintis mendapati seks oral lebih berisiko menyebabkan barah tekak berbanding penggunaan tembakau menerusi aktiviti merokok, lapor sebuah akhbar semalam.
Berdasarkan hasil kajian terbaru, saintis-saintis mendapati aktiviti itu merupakan punca utama barah tekak dalam kalangan individu berusia di bawah 50 tahun.
Mereka berkata, virus papilomma manusia (HPV) yang merebak ketika aktiviti itu menjadi punca peningkatan barah tekak sejak beberapa dekad kebelakangan ini.
"Berpandukan bukti saintifik semata-mata, kami tidak tahu sama ada vaksin itu dapat mengekang jangkitan HPV yang menyebab-kan kanser," kata seorang penyelidik berkenaan, Profesor Maura Gillison dari Universiti State Ohio di sini.
"Namun, pakar-pakar bidang perubatan optimistik bahawa pelalian dapat mencegah jangkitan barah tekak akibat HPV," tambahnya.
Sebelum ini, HPV didapati menjadi punca 70 peratus kes kanser serviks dalam kalangan wanita.
Sejak 2008, gadis berusia 12 dan 13 tahun di sekolah-sekolah telah diberi pelalian mencegah virus tersebut. - Agensi

Seekor ikan buaya paling berat di dunia berjaya ditangkap oleh seorang pemancing, Kenny Williams di sini, lapor sebuah akhbar semalam.
Berat ikan itu ialah 148.32 kilogram (kg), panjang 2.59 meter dan dianggarkan berusia di antara 50 hingga 70 tahun.
Sebelum ini seekor ikan buaya berjaya ditangkap di Rio Grande, Texas pada 1951 dengan berat 126.55kg.
Menurut Williams, pada mulanya dia tidak mengetahui bahawa ikan yang ditangkapnya pada 14 Februari lalu itu cukup besar.
Lelaki tersebut berkata, selepas dia menaikkan tangkapannya di atas bot, dia berasa terkejut melihat ikan buaya itu yang terlalu besar.
Williams membuat keputusan untuk menyerahkan ikan itu kepada Muzium Sains Semula Jadi Mississippi di Jackson untuk dipamerkan kepada orang ramai. - Agensi
BARCELONA - Anda mungkin mempunyai sebab untuk bimbang jika anda mendapat panggilan di telefon bimbit berbunyi "Tuan, ambulans dalam perjalanan".

Kerana itulah pesanan paling buruk yang anda akan dapat jika membeli sebuah telefon bimbit EPI Life yang dipasang khas dengan alat pengesan degupan jantung mini.

Telefon bimbit baru yang dicipta oleh sebuah syarikat di Singapura itu mengesan denyutan nadi apabila pengguna memicit butang penerima khas dan maklumat kesihatan akan dihantar terus kepada pusat kesihatan yang beroperasi 24 jam.

Ketua perubatan EPI, Chow U-Jin berkata, penciptaan telefon baru ini adalah revolusi dunia perubatan yang mempunyai kepentingan dari segi kesihatan.

"Anda boleh menggunakannya sebagai telefon biasa tetapi pada masa sama ia juga boleh digunakan sebagai pengesan degupan jantung," katanya di persidangan industri telefon bimbit di Barcelona.

Lebih 2,000 unit telefon bernilai AS$700 (RM2,100) telah berada di pasaran sejak tahun lalu dan disasarkan kepada pengguna yang menghidap masalah jantung.
Hampir 15 lagi penunjuk perasaan terbunuh dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan Libya di Benghazi, sebelah timur negara itu semalam — pergolakan paling buruk dalam 42 tahun kepimpinan Muammar Gaddafi.
Penembak hendap melepaskan tembakan ke atas penunjuk-penunjuk perasaan, kata penduduk tempatan yang tidak mahu namanya didedahkan.
“Berdozen terbunuh... bukan 15, tetapi berdozen. Kami di tengah pembunuhan beramai-ramai di sini,” katanya dipetik Reuters.
Sebelum semalam, badan pemerhati Human Rights Watch menganggarkan 84 orang telah terbunuh ekoran tunjuk perasaan rakyat di negara itu.

SINGAPURA 18 FEB : Rantau Asia Tenggara dijangka mengalami cuaca kering semasa musim kemarau yang sering berlaku antara Jun dan September tahun ini.
Ini disebabkan kemungkinan La Nina berlaku untuk meneutralkan keadaan dalam separuh kedua tahun ini, menurut ramalan Asean Specialised Meteorological Centre (ASMC).
Keadaan cuaca ini dilaporkan oleh ASMC kepada menteri-menteri alam sekitar Brunei, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand yang mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu peringkat kecil Menteri Rantau ke-11 mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan di sini semalam.
Malaysia diwakili Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Douglas Uggah Embas.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat itu, menteri-menteri berkenaan juga mengambil kira jangkaan cuaca ASMC bagi tempoh yang kadangkala cuaca kering dalam masa dua bulan akan datang di rantau ini.
Negara-negara MSC juga bersetuju untuk terus mengawasi dan bersiap sedia menghadapi berlakunya jerebu rentas sempadan akibat dari kebakaran semasa tempoh cuaca kering yang berpanjangan dalam bulan akan datang.
Kenyataan itu berkata menteri-menteri berkenaan juga melahirkan penghargaan mereka kepada Indonesia kerana meningkatkan usaha baru mereka dalam pelaksanaan Pelan Tindakan (PoA) Menangani Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan di negara.
Antara tindakan yang diambil Indonesia ialah mengukuhkan kapasiti (Masyarakat Peduli Api) mengenai sistem amaran kebakaran pengawaalan awal,peningkatan penyaluran maklumat mengenai tompok panas dan kempen teknik bebas dan mesosialisasikan undang-undang dan peraturan di Sumatra dan Kalimantan,Indonesia.
Indonesia juga memperuntukkan kira-kira US$18.2 juta untuk mengukuhkan Briged Api Manggala Agni di Taman Negara dan unit pemuliharaan sumber asli di seluruh negara.
Menteri-menteri itu juga berjaya melaksanakan kerjasama Indonesia-Malaysia di Provinsi Riau, dan kerjasama Indonesia-Singapura di Provinsi Jambi, dalam pengurusan mengawal jerebu. 
Agensi Angkasa Lepas Jepun sedang mempertimbangkan untuk menghantar robot manusia ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) untuk menjadi pembantu dan menjadi pemerhati keadaan tahap kesihatan para angkasawan.

Agensi Penerokaan Aeroangkasa Jepun (JAXA) mengumumkan rancangan untuk menghantar robot manusia itu menjelang 2013 dan ia juga boleh berkomunikasi dengan manusia di bumi dengan menggunakan laman blog Twitter.

JAXA menyatakan bahawa robot itu adalah sebahagian daripada usaha projek besar di Jepun untuk mencipta robot bersifat seperti manusia.

Rancangan itu adalah susulan daripada program R-2 'Robonaut' yang diusahakan oleh Pusat Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Antarabangsa (NASA) dan akan dilancarkan oleh pesawat angkasa lepas Discovery pada minggu hadapan.

Jepun adalah antara negara utama yang menghasilkan pelbagai jenis robot.
MUMBAI - Bandar Mumbai merupakan salah satu kota terpadat di Asia dengan penduduknya mencecah 27,000 orang di setiap kilometer persegi di India, menurut laporan terbaru NGO, Isnin lalu.

Indeks Bandar Raya Hijau Asia, yang ditugaskan oleh sebuah kumpulan syarikat kejuruteraan Jerman terbesar di Eropah, Siemens dan Unit Perisikan Pakar Ekonomi (EIU), menganalisis kepadatan persekitaran di 22 bandar utama di seluruh Asia.

Kesemua bandar yang dianalisis termasuk Singapura, Tokyo, Seoul, Bangkok, Beijing, Delhi, Bangalore, Kolkata dan Karachi.

Dari jumlah tersebut, Mumbai memiliki kepadatan penduduk tertinggi dengan 27,000 orang setiap kilometer persegi, 27 kali lebih padat dari bandar Wuhan, China yang mempunyai kurang daripada 1,000 orang di setiap kilometer persegi kota itu.

Indeks Bandar Raya Hijau Asia menyemak prestasi persekitaran 22 bandar itu melalui lapan kategori, iaitu tahap tenaga dan karbon dioksida, penggunaan tanah dan jumlah bangunan, pengangkutan, sampah, air, kebersihan bandar, kualiti udara dan pentadbiran alam sekitar
azlanJumlah kekayaan terkumpul 40 individu terkaya di Malaysia meningkat 30 peratus disebabkan oleh pasaran saham yang aktif dan pengembangan ekonomi negara, lapor majalah perniagaan
Malaysian Business.

Menurut majalah terbitan 16 Februari itu, jumlah kekayaan terkumpul mereka pada 21 Januari tahun ini RM206.27 bilion berbanding RM156.7 bilion setahun lalu.

Peningkatan itu selaras dengan kenaikan 20 peratus di FBM KLCI.

Jumlah bilionaire bagi tahun ini juga meningkat iaitu 27 orang - lima lebih ramai berbanding tahun lalu.

Daripada 20 individu terkaya itu, hanya tiga adalah golongan bumiputera.

Mereka adalah Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary dari Yayasan Albukhary Foundation yang menerajui Kumpulan DRB-Hicom. Beliau menduduki tangga ketujuh dengan kekayaan RM8.84 bilion.

Di tangga kesebelas adalah Tan Sri Azman Hashim daripada Kumpulan Arab-Malaysian dengan kekayaan RM3.9 bilion manakala anak mantan perdana menteri, Datuk Mokhzani Mahathir (kanan) dari Kenchana Petroleum di tangga ke-19 dengan RM1.6 bilion.

Terus mendahului senarai itu adalah Tan Sri Robert Kuok, dengan kekayaan RM50.04 bilion manakala Tan Sri T Ananda Krishnan di tangga kedua dengan RM45.78 bilion.

Tan Sri Teh Hong Piow dari Public Bank pula naik ke tangga ketiga dengan kekayaan diramalkan pada RM12.77 bilion. Tempat keempat adalah pemilik IOI Corporation Bhd - Tan Sri Lee Shin Cheng dengan kekayaan RM12.74 bilion.

Kedudukan Tan Sri Lim Kok Thay dari Kumpulan Genting kekal pada tangga kelima pada nilaiRM10.89 bilion manakala pemilik Kumpulan Hong Leong - Tan Sri Quek Leng Chan menduduki tangga keenam pada RM10.75 bilion.


Seorang hakim Itali semalam memerintahkan Perdana Menteri, Silvio Berlusconi dibicarakan atas tuduhan membayar sejumlah wang kepada seorang gadis bawah umur dari Maghribi untuk mendapatkan khidmat seksnya dan cuba menutup perbuatan itu.
Hakim Cristina Di Censo membuat keputusan tersebut semalam dan menetapkan kes Berlusconi dibicarakan pada 6 April depan.
Kes beliau akan didengar oleh satu panel yang disertai oleh tiga juri wanita.
Berlusconi didakwa membayar gadis tersebut yang dikenali sebagai Ruby yang ketika itu berusia 17 tahun untuk melakukan hubungan seks dengannya.
Beliau juga didakwa menyalahgunakan pengaruhnya untuk membebaskan Ruby yang nama sebenarnya Karima El Mahroug daripada tahanan polis.
Ruby ditahan polis kerana disyaki mencuri wang berjumlah AS$4,103 (RM12,522) tetapi Berlusconi campur tangan bagi meminta polis membebaskannya.
Perdana Menteri itu dipercayai berusaha untuk membebaskan gadis tersebut kerana bimbang rahsianya akan bocor.
Undang-undang Itali membenarkan pelacur dilanggan tetapi mengharamkan hubungan seks dengan remaja berusia di bawah 18 tahun.
Bagi kesalahan pertama, beliau berdepan hukuman penjara antara enam bulan hingga tiga tahun manakala hukuman salah guna kuasa adalah lebih serius iaitu penjara maksimum 12 tahun.
Berlusconi, bagaiamanapun, menafikan semua tuduhan ke atas dirinya itu.
Perdana menteri berkenaan memberitahu, arahan pembebasan Ruby dilakukan bagi mengelak ketegangan diplomatik kerana beliau percaya gadis itu ialah cucu Presiden Mesir ketika itu, Hosni Mubarak.
Hosni telah meletakkan jawatan pada Jumaat lalu.
Berlusconi turut mendakwa tindakan pihak pendakwa raya mengheretnya ke mahkamah adalah bermotifkan politik dengan tujuan untuk menggulingkannya.
Berlusconi, 74, pernah dibicarakan kerana beberapa kes berkaitan perniagaan tetapi ini adalah kali pertama beliau dihadapkan ke mahkamah kerana tingkah lakunya.
Berlusconi didakwa susulan pihak pendakwa raya memberitahu, mereka memiliki bukti kukuh untuk mensabitkannya dalam kes tersebut.

- AP

BEIJING - Kerajaan China mengharamkan adegan merokok dalam semua filem atau rancangan televisyen kerana bimbang mempengaruhi lebih 300 juta perokok tegar di negara itu. 

Pihak Pentadbiran Radio, Filem dan Televisyen Kebangsaan (SARFT) diarahkan supaya mengeluarkan arahan keras dan mengharamkan semua adegan merokok di dalam semua tayangan filem atau rancangan televisyen di negara itu.

SARFT mengumumkan di dalam laman sesawangnya bahawa semua jenama rokok tidak boleh disiarkan di televisyen atau filem dan adegan merokok mestilah dilakukan dalam tempoh masa yang pendek.

Kajian terhadap 11,000 pelajar sekolah menengah rendah di Beijing mendapati hampir 33 peratus daripada mereka ingin cuba merokok selepas menonton pelakon melakukan adegan merokok di televisyen.

Tembakau merupakan pembunuh utama di China, dan merupakan pengeluar serta pengguna terbesar tembakau di dunia.


SOMERSET - Sepasang suami isteri menemui lukisan mural Raja Henry VIII pada dinding rumah mereka semasa mengubah suai rumah mereka di Milverton, Somerset.

Angie dan Rhodri Powell terkejut apabila melihat lukisan penuh Raja Tudor setinggi enam kaki itu.

Rumah lama itu sebelum ini didiami oleh ketua pemimpin Revolusi Inggeris semasa era pemerintahan Raja Henry VIII dan Raja Edward VI, Thomas Cranmer.

Seorang penyiasat, Jeremy Lile berasa teruja untuk mendedahkan rahsia di sebalik penemuan lukisan mural itu.


LENGGONG – Penemuan tapak sebuah bengkel masyarakat paleolitik tertua di dunia di Bukit Bunuh dekat sini bakal mengubah sejarah awal tamadun manusia sebagaimana tercatat dalam buku-buku sejarah.
Penemuan beberapa artifak dipercayai berusia 1.83 juta tahun di kawasan seluas empat kilometer persegi itu menunjukkan masyarakat berkenaan tidak mengamalkan kehidupan berpindah-randah sebagaimana difahami selama ini.
Lebih menakjubkan, penemuan ribuan batu jenis suevite yang berselerakan di kawasan itu menunjukkan kawasan tersebut pernah menerima hentaman tahi bintang jutaan tahun lalu.
Pengarah Pusat Arkeologi Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mokhtar Saidin berkata, penemuan artifak kapak genggam diperbuat daripada batu yang berusia 1.83 juta tahun merupakan bukti kukuh bahawa manusia zaman tersebut sudah hidup menetap di satu kawasan.

BANDUNG - Walaupun baru berusia 13 tahun, seorang budak lelaki di Indonesia, Muhamad Yahya Harlan ternyata hebat apabila dia mencipta laman jaringan sosial mirip Facebook, lapor akhbar dalam talian, Tribunnews.com semalam.
Laman itu yang dinamakan salingsapa.com dapat disiapkan Muhamad yang belajar di Sekolah Alam Bandung, di sini, dalam masa sebulan.
Konsep salingaapa.com hampir menyerupai Facebook yang diasaskan oleh Mark Zuckerberg dari Amerika Syarikat tetapi Muhamad berkata, laman webnya menampilkan beberapa ciri tambahan.
"Pada awalnya, saya menonton berita tentang ada orang Indonesia yang mencipta laman web seperti Facebook dalam bahasa Indonesia.
"Saya terus terfikir, saya juga boleh mencipta laman web serupa, tetapi lebih baik lagi," kata Muhamad ketika ditemui di sekolahnya kelmarin.
Seterusnya, anak sulung pasangan Yan Harlan, 45, dan isterinya, Fidriana, 37, itu mulai 'mengklik' komputernya untuk merancang ciri-ciri laman sosial yang akan dihasilkan nanti.
Dia turut mendapat bantuan daripada ayahnya yang menyumbang idea tentang ciri-ciri yang diperlukan untuk menghasilkan salingsapa.com.
Kini, kejayaan pelajar cilik itu mendapat penghargaan daripada pelbagai pihak.
Menurut ibunya, Muhammad membentangkan hasil kerjanya itu di hadapan 12 mahasiswa Institut Teknologi Bandung semalam.
"Harapan kami ialah laman sosial ciptaan anak saya ini akan digunakan untuk tujuan kebaikan," kata ibunya.

- Agensi

GAMBAR yang dirakamkan James Morgan menunjukkan Enal bermain dengan seekor ikan jerung di perairan Sulawesi, Indonesia.


MANADO - Seorang jurugambar Britain, James Morgan merakamkan gambar seorang budak lelaki dikenali sebagai Enal bermain dengan anak ikan jerung di perairan Sulawesi, Indonesia, lapor sebuah akhbar semalam.
Enal yang berketurunan Bajau Laut, menjadikan ikan jerung dan pelbagai spesies haiwan laut sebagai haiwan peliharaan.
Sejak berabad-abad lamanya, keturunan Bajau Laut menjadikan laut sebagai tempat tinggal mereka.
"Kanak-kanak dalam salah satu gambar saya ialah Enal dan ya, dia memelihara seekor ikan jerung," katanya.
Morgan, 24, yang merupakan bekas pelajar Universiti Sussex, Britain tinggal selama enam bulan dengan kaum Bajau Laut kerana dia mahu merakamkan kehidupan mereka yang unik.

 - Agensi
LONDON - Seorang pensyarah wanita dari Universiti Durham, Naomi Hoogesteger berbogel semasa dia mendayung bersama lima pendayung lelaki bagi memecahkan rekod mendayung merentasi Lautan Atlantik, lapor sebuah akhbar semalam.
Naomi yang berusia 29 tahun terpaksa berbogel selepas lima pendayung lelaki yang merupakan rakan sepasukannya dalam sebuah perahu menanggalkan pakaian semasa mendayung bagi mengelak kulit melepuh.
"Lepuh dan kesakitan di belakang tubuh kami amat teruk dan mula merebak. Satu-satunya cara untuk kami mengubatinya adalah dengan mendedahkan semua tubuh badan di bawah sinaran matahari," katanya.
Perahu mereka tiba di garisan penamat di Port St Charles, Barbados pada Isnin lalu selepas bergerak dari Tenerife di Kepulauan Canary, Sepanyol pada 6 Januari lalu.
Mereka mendayung selama 31 hari berbanding rekod lama selama 33 hari.

- Agensi

LELAKI itu memakai topi keledar tersebut. GAMBAR KECIL : KEPALA lelaki berkenaan botak selepas topi keledar itu mencukur rambutnya dengan terdapat kesan krim di kulit kepalanya.


NEW YORK - Seorang penduduk di sini mencipta topi keledar yang berfungsi untuk mencukur rambut hanya dalam tempoh 20 saat, lapor sebuah akhbar semalam.
Topi keledar itu mempunyai empat pisau pencukur yang melakukan tugas dengan bantuan dua motor selain dilengkapi krim pencukur.
Klip video topi keledar itu disiarkan di laman URLesque.com dan dicipta oleh seorang lelaki dikenali hanya dengan nama Boris.
Dalam klip tersebut, seorang lelaki menguji topi keledar tersebut walaupun dia kelihatan menggigil.
Selepas dia memakai topi keledar itu, rambut lelaki berkenaan licin dicukur dan terdapat krim berwarna putih pada kulit kepalanya.

 - Agensi


DUA kanak-kanak seolah-olah berada dekat dengan dua ekor beruang kutub di Habitat Beruang Kutub di Cochrane, Kanada baru-baru ini.


COCHRANE, Kanada - Kanak-kanak kini dapat berenang beberapa sentimeter dari beruang kutub di sebuah taman haiwan, lapor sebuah akhbar semalam.
Sebuah cermin lut sinar setebal 25.4 sentimeter didirikan di sebuah kolam renang yang membolehkan kanak-kanak berenang sambil melihat beruang gergasi itu.
Kemudahan itu disediakan di Habitat Beruang Kutub di sini sebagai salah satu cara untuk membangkitkan pengetahuan mengenai haiwan unik yang terdapat di dunia. - Agensi

SATU lembaga penunggang kuda (dalam bulatan) berada di sebatang jalan raya dekat Dataran Tahrir di Kaherah pada Khamis lalu.

KAHERAH - Stesen televisyen MSNBC merakamkan imej hantu dipercayai seorang lelaki yang menunggang kuda dalam rusuhan bagi menuntut Presiden Mesir, Hosni Mubarak meletakkan jawatan di sini pada Khamis lalu.
Imej misteri itu disiarkan dalam lintasan berita mengenai situasi yang berlaku dekat Dataran Tahrir di sini pada awal pagi.
Dalam imej tersebut, bayang penunggang kuda yang berwarna hijau dan bercahaya itu seolah-olah melihat gelagat para penunjuk perasaan membaling batu dan kebakaran kereta di tepi sebatang jalan raya dalam rusuhan itu.
Kuda yang dinaiki lelaki itu kemudian bergerak perlahan-lahan sebelum ia berlari ke langit dan lenyap ditelan kegelapan.
Imej tersebut kini menjadi perdebatan hangat dalam beberapa laman web di Internet mengenai kejadian misteri itu.
Beberapa pengguna Internet yang menyaksikan rakaman video itu menyatakan ia disebabkan oleh cahaya kilat kamera atau pantulan cahaya.
Imej misteri itu juga boleh dilihat di laman YouTube.

- Agensi

ISLAMABAD - Seorang lelaki melontarkan kasut ke arah bekas Presiden Pakistan, Pervez Musharraf sewaktu persidangan berlansung di London, kelmarin. 

Lelaki itu melontarkan kasutnya ke arah Musharraf ketika beliau mula berucap di persidangan yang diadakan di daerah Walthamstow, London yang mengandungi jumlah penduduk Pakistan yang ramai.

Kasut tersebut bagaimanapun tidak mengenai sasaran dan lelaki tersebut kemudiannya diusir keluar dari persidangan itu oleh pegawai keselamatan.

Persidangan tersebut dianjurkan oleh Parti Liga Islam Pakistan pimpinan Musharraf dan dihadiri sejumlah 1,500 orang.

DR. AHMED ZAAFAN dan Ola Abdel Hamid melangsungkan perkahwinan merekadi Dataran Tahrir, Kaherah kelmarin.

KAHERAH - Satu pasangan pengantin, Dr. Ahmed Zaafan dan Ola Abdel Hamid melangsungkan perkahwinan di lokasi para penunjuk perasaan anti-Presiden Mesir, Hosni Mubarak di Dataran Tahrir, Kaherah kelmarin.
Majlis perkahwinan mereka dihadiri lebih 300,000 orang yang terdiri daripada keluarga mereka dan para penunjuk perasaan.
Menurut pasangan itu, mereka melangsungkan perkahwinan selepas 10 hari berada di dataran tersebut bagi menuntut peletakan jawatan Hosni sebagai presiden.
"Saya berasa bimbang kerana ibu bapa saya mungkin tidak dapat menghadiri majlis perkahwinan kami. Namun, saya berasa gembira kerana penduduk Mesir dan Arab menjadi saksi perkahwinan saya," kata Dr. Ahmed berusia 29 tahun.
Isterinya itu menyatakan bahawa dia tidak dapat mencari satu tempat yang lebih sesuai selain dataran tersebut sebagai lokasi majlis perkahwinannya.
"Saya amat gembira mengenai idea untuk mengadakan majlis perkahwinan di dataran ini yang menjadi saksi kelahiran semula negara kami," katanya yang berusia 22 tahun dan graduan sains komputer.
Lokasi itu menjadi tempat penunjuk perasaan berhimpun bagi menuntut supaya Hosni yang memerintah selama 30 tahun meletakkan jawatan kerana gagal memajukan taraf hidup rakyat selain dakwaan pentadbirannya yang korup.
Sejumlah orang bersorak apabila pasangan itu sah selepas majlis akad nikah berakhir.
Pasangan tersebut menyatakan pemilihan dataran itu sebagai lokasi majlis perkahwinan adalah sebagai lambang keazaman mereka untuk memastikan tuntutan penunjuk perasaan dipenuhi.
Seorang aktivis penunjuk perasaan anti-Hosni berkata: "Kedua-dua mereka memilih untuk melangsungkan perkahwinan di depan berjuta-juta penduduk Mesir yang memperjuangkan kebebasan. Semoga Tuhan memberkati perkahwinan mereka." - Agensi



Imej yang disiarkan Persatuan Kelautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) menunjukkan Hemisfera Utara termasuk Amerika Utara diliputi salji sejak 29 Januari lalu, lapor akhbar Daily Mail semalam.
Dalam imej itu, salji menyelubungi sejumlah besar kawasan dari pantai barat Kanada hingga ke timur China.
Imej itu disiarkan ketika bekas Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Al-Gore mempertahankan dakwaan bahawa salji tebal yang melanda AS disebabkan oleh pemanasan global.
Al-Gore dalam blognya, Al's Journal pada Selasa lalu menyatakan bahawa pemanasan global bukan sahaja penyebab kemarau tetapi juga ia boleh mencetuskan ribut salji.
Sementara itu, salji masih melanda di 30 buah negeri di AS kelmarin dengan ketebalan salji kurang 60 sentimeter di kawasan pertengahan barat AS.
Puluhan juta orang terpaksa berkurung di dalam rumah manakala di Chicago, salji setebal 51 sentimeter mencipta rekod sebagai yang ketiga paling tebal dalam sejarah.
Di Taman Central New York, kawasan-kawasan lorong kecil umpama gelanggang luncur akibat cuaca terlalu sejuk.


- Agensi

KAHERAH – Perhimpunan ribuan penunjuk perasaan di Dataran Tahrir di sini bagi menuntut Presiden Hosni Mubarak masih diadakan semalam sejak 25 Januari lalu.
Perhimpunan itu dibuat semasa penduduk Mesir kembali semula menjalani kehidupan harian dengan sejumlah bank dan pasar mula dibuka di sini.
Trafik di bandar ini kembali sesak manakala lorong-lorong dipenuhi dengan orang ramai selepas pihak pemerintah meminta para pekerjanya kembali ke pejabat.
Lebih banyak kedai dan perniagaan mula dibuka semula.
“Adalah baik untuk bekerja semula. Saya tidak pernah meninggalkan rumah sejak demonstrasi bermula dan saya merindui kehidupan saya,” kata seorang peguam, Dalia Fahim.
Di bandar kedua terbesar di Mesir, Iskandariah, para pekerja universiti kembali bekerja manakala para pelajar masih bercuti.
“Kehidupan seperti pulih sedia kala di sini, terdapat ramai orang berbaris di bank, orang ramai di jalanan dan banyak pengangkutan awam di sini,” kata seorang profesor universiti.
Pengemis dan penjaja menjual tisu, biskut dan barang kecil yang lain.
Bilangan orang awam yang membuat kawalan sendiri juga semakin berkurangan semasa anggota-anggota polis mula kembali bertugas di kawasan-kawasan perumahan.

– Agensi

Seekor ular albino berkepala dua menjadi tumpuan dalam satu pertunjukan haiwan di Bazel, Switzerland baru-baru ini.
Pemilik haiwan itu, Tom Beser berkata, ular peliharaannya itu merupakan yang pertama di dunia memiliki dua kepala tetapi berwarna putih.
Menurutnya, ularnya itu yang diberi nama Mince bernilai lebih daripada AS$64,115 (RM195,037).
Dia berkata, sebelum ini terdapat seorang pengumpul haiwan yang mahu menjual seekor ular berkepala dua yang bukan albino pada harga tersebut.

 - Agensi

Perkembangan terkini di Mesir menyaksikan kumpulan pelajar Malaysia  berjaya dibawa keluar dari Kaherah, Mesir ke sini telahpun dihantar pulang ke tanah air secara berperingkat-peringkat bermula kelmarin.
Pegawai operasi bilik gerakan Pertubuhan Sukarela Briged Amal Selangor Ustaz Mohd Firdaus Misnan berkata sebanyak dua penerbangan akan dilakukan setiap hari bermula Khamis lalu sehinggalah kesemua pelajar Selangor yang berada disana dibawa pulang.
"Penerbangan yang pertama pada hari Jumaat, semalam 4 Februari, jumlah pelajarnya 37 orang, bertolak 7.50 malam waktu Mesir kemudian tiba di Jeddah pada pukul 11.10 malam waktu Mesir, kemudian penerbangan kedua, jumlah pelajar  125 orang bertolak pada pukul 3.50 pagi waktu Mesir dan baru tiba pada pukul 6 pagi waktu Mesir," katanya.
Setakat ini, kerajaan negeri Selangor dengan kerjasama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) juga Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah berjaya membawa keluar lebih 200 pelajar ke Jeddah dan hari ini merupakan hari terakhir membawa keluar  pelajar-pelajar ini dari Mesir.
Sementara itu, Tv Selangor berjaya menghubungi Kamarudin Ismail, salah seorang pelajar Malaysia yang berada disana sempat berkongsikan pengalamannya ketika mengharungi saat genting di Mesir sebelum dikeluarkan ke Jeddah.
"Keadaan masih terkawal cumanya masa peringkat mula-mula rusuhan itu berlaku hari Jumaat , rumah saya pada hari Sabtu tu di masuki  perompak tetapi dia menyamar sebagai polis, dia ada dua orang jadi kami pun akurlah kerana dia kata nak buat spot-check , jadi macam-macam yang dia minta, dia check semua barang, dia geledah satu rumah, dia minta duit , nak hand phone, lepas tu dia minta VISA. 
"Kita ingat dia nak VISA passport rupa-rupanya dia nak VISA card," jelasnya.
Pihak berkuasa yang sepatutnya mengawasi keadaan juga tidak lagi berfungsi dan menjejaskan keselamatan pelajar.
"Kami cuba nak hubungi polis tapi waktu tu polis mula dah takde. Akhirnya kami berjaya keluar dari rumah dan dikejar. Waktu itu, dia (perompak) pegang sahabat saya dan dia keluarkan pisau dan saya hampir ditikam ketika itu," ceritanya lanjut.
Tambahnya, pelajar-pelajar ini juga menghadapi kesukaran untuk ke lapangan terbang kerana dihalang oleh penunjuk-penunjuk perasaan pro kerajaan.
" Semalam dalam perjalanan untuk ke airport dalam pukul 10 pagi kami, kami ditahan oleh sekumpulan penyokong-penyokong Hosni Mubarak  kerana tempat yang kami tinggal ialah tempat kelahiran Hosni Mubarak," katanya.
Ketika dihubungi tadi, Kamarudin masih berada di Lapangan Terbang Cairo dan masih menunggu sebelum dapat berlepas ke Jeddah. Juga difahamkan lapan lagi pelajar Selangor terkandas sebelum dapat dibawa ke Kaherah.

Puluhan ribu penduduk Mesir bersolat di Dataran Tahrir, Kaherah dan berdoa bagi menuntut supaya Presiden Mesir, Hosni Mubarak berundur dengan segera.
Perhimpunan itu menumpukan usaha ke arah meminta Hosni yang memerintah selama 30 tahun berundur dengan segera.
"Hari ini merupakan hari terakhir, hari ini adalah yang terakhir," kata para penunjuk perasaan.
Suasana di Dataran Tahrir kelmarin umpama satu pesta dengan nyanyian beramai-ramai para penunjuk perasaan anti-Hosni.
Menteri Pertahanan, Mohamed Hussein Tantawi turut hadir di dataran itu manakala tentera mengawal ketenteraman.
Mohamed kelihatan berbual dengan beberapa askar di dataran tersebut.
Hosni dibenci oleh para penunjuk perasaan kerana beliau dianggap gagal membawa kemajuan di negaranya ekoran kadar pengangguran yang tinggi, menindas ahli politik pembangkang dan pentadbirannya dianggap melakukan korupsi. - Agensi
Seorang pelajar Malaysia yang menuntut di Universiti Iskandariah, Mesir semalam, Nur Akma Zainol Shahrom, 20, mendakwa seramai tujuh pelajar Malaysia ditahan tentera Mesir di daerah Iskandariah kerana melanggar arahan perintah berkurung yang dikatakan semakin singkat setiap hari.

Nur Akma berkata sedemikian ketika dihubungi ibunya, Maizatul Aziah Jamaluddin, 45, dan Sinar Harian di sini kira-kira jam 4 petang semalam (jam 10 pagi waktu Mesir) di rumahnya di Taman Mangga, Alor Mengkudu di sini semalam.

Menurutnya, perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh seorang pelajar senior universiti sama sewaktu mengarahkan mereka untuk segera mengemas barang dan berpindah ke wilayah berdekatan iaitu Rakoda.

“Beberapa pelajar senior turut memaklumkan keadaan keselamatan di Iskandariah kini tidak lagi selamat berikutan kehadiran puak penunjuk perasaan yang dikatakan sudah memasuki daerah itu dan kami mengambil langkah segera untuk angkat kaki,” katanya.

Nur Akma turut dimaklumkan semua pelajar Malaysia bakal bergerak secara berkumpulan untuk berpindah bagi memastikan tiada pelajar yang tercicir.

Mengenai bekalan makanan yang semakin meruncing, Nur Akma mendedahkan kebanyakan pelajar Malaysia yang berada di Iskandariah semakin kekurangan bekalan makanan dan terpaksa bergantung kepada biskut kering untuk mengisi perut.

“Pada masa sama, saya turut mengalami masalah mendapatkan dokumen perjalanan berikutan dipegang oleh Pegawai Bahagian Hal Ehwal Pelajar Malaysia di Universiti Iskandariah.

“Bagaimanapun, kebimbangan saya lenyap setelah dimaklumkan dokumen perjalanan tidak diperlukan untuk keluar dari Mesir pada waktu kecemasan dan saya berharap tidak berlaku masalah di kemudian hari,” katanya.

Nur Akma turut dimaklumkan pelajar Malaysia yang menetap di daerah Iskandariah akan dipindahkan ke Jeddah, Arab Saudi dalam masa terdekat.

“Bagaimanapun, tempoh sebenar kami akan dibawa pulang masih tidak diketahui memandangkan kami tidak menerima sebarang maklumat lanjut daripada pihak kedutaan sendiri,” katanya.

Sementara itu, Maizatul Aizah difahamkan oleh anak­nya terdapat dua pelajar Malaysia yang lebih senior yang menuntut di universiti sama dilaporkan hilang setelah mengambil keputusan untuk pergi ke Kaherah bersendirian beberapa hari lalu.

Menurutnya, beberapa rakan pelajar senior terbabit gagal menghubungi mereka sejak dilaporkan hilang sehingga menimbulkan kebimbangan sesuatu yang buruk berlaku berikutan jarak perjalanan dari Iskandariah ke Kaherah mengambil masa empat setengah jam.

“Berikutan peristiwa itu, saya menasihati anak saya tidak membuat keputusan sendiri untuk keluar dari daerah Iskandariah di samping memintanya sentiasa bergerak dalam keadaan berkumpulan.

“Saya menangis mendengar pengumuman kerajaan semalam bahawa kapal laut yang dihantar membawa pulang pelajar Malaysia di Mesir hanya akan sampai pada 5 Februari. Saya harap usaha menyelamat itu dipercepatkan,” katanya.

WASHINGTON - Berjuta-juta warga Amerika Syarikat (AS) terputus bekalan elektrik apabila ribut salji yang dikatakan lebih hebat daripada fenomena sama pada tahun 1967 melanda lebih 30 buah negeri dan memberi kesan kepada satu pertiga penduduk di AS semalam.
Ribut salji itu menyebabkan banyak lapangan terbang, sekolah, kolej dan pejabat pentadbiran ditutup.
Ais dilihat meliputi jalan raya Chicago.
"Jangan pergi ke mana-mana. Duduk di dalam rumah. Angin kencang dan salji tebal membuatkan perjalanan hampir mustahil," jelas satu mesej daripada Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan.
Sementara itu, Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA) menggesa orang ramai supaya bersiap sedia untuk menghadapi cuaca buruk itu.
Presiden AS, Barack Obama telah diberi taklimat tentang kejadian ribut itu dan pelan-pelan bantuan kecemasan sedang disediakan.
Pakar meteorologi, Jeff Johnson yakin ribut salji itu akan melumpuhkan sistem pengangkutan selama beberapa hari. Hampir 6,000 penerbangan terpaksa dibatalkan.
Keadaan ini dijangka mengakibatkan huru-hara apabila perkhidmatan penjadualan semula terpaksa dibuat seperti mana yang berlaku ketika sambutan Krismas dan Tahun Baru yang lalu. - Agensi

TORONTO, Kanada - Seorang lelaki, John Looser (gambar kecil) mencipta beberapa hotel kecil untuk pelbagai jenis burung seperti perling di sini, lapor sebuah akhbar semalam.
Salah satu hotel itu mengandungi 103 bilik dan sebuah kolam renang manakala sebuah lagi mempunyai terowong yang membolehkan haiwan tersebut terbang.
Harga hotel itu boleh mencecah sehingga AS$24,000 (RM73,008) dan dijual kepada peminat burung.
"Saya menyanyangi burung dan apabila saya bersara awal, saya merasakan saya perlu melakukan sesuatu.
"Justeru, saya mendapat idea untuk membina kediaman untuk burung," kata Looser berusia 46 tahun.
Dia membuat kediaman burung itu supaya haiwan berkenaan hidup dengan selesa di bandar ini. - Agensi