DUBAI - Pemanjat nekad dari Perancis, Alain Robert berdepan cabaran terhebatnya apabila memanjat binaan setinggi 828 meter yang merupakan bangunan tertinggi di dunia, Burj Khalifa, semalam.
Halangan angin kencang menyebabkan Robert, 48, tiba di puncak Burj Khalifa lewat beberapa jam daripada jadual asalnya.
Mendapat jolokan Spiderman kerana kehebatannya memanjat, dia mengambil masa sekitar enam jam untuk memanjat bangunan setinggi lebih 160 tingkat itu dengan menggunakan tali dan abah-abah seperti yang ditetapkan oleh penganjur.
"Sebenarnya, saya berdepan tekanan yang besar kerana mereka memasang semuanya untuk saya di sini. Terdapat sebuah skrin gergasi setinggi 50 meter dan sepanjang 30 meter. Saya sedar saya menjadi tumpuan orang ramai dan faktor tersebut memberi tekanan kepada saya," kata Robert sebelum mula memanjat.
Dia memanjat bangunan seawal usia 12 tahun apabila terpaksa memanjat untuk masuk ke dalam apartmen setinggi lapan tingkat milik keluarganya selepas tertinggal kunci rumah.
Sejak itu, Robert telah memanjat lebih 80 buah bangunan pencakar langit di seluruh dunia termasuk Menara Sears di Chicago, Amerika Syarikat (AS) dan Taipei 101 di Taiwan.- Reuters

 Sekumpulan saintis Britain merancang untuk menggerudi lapisan batu-batan untuk sampai ke bahagian mantel bumi buat kali pertama, lapor sebuah akhbar semalam.
Ekspedisi itu bertujuan membawa naik sampel mantel Bumi untuk kajian. Ia melibatkan operasi menggerudi melepasi lapisan batu pejal sejauh 8 kilometer di dasar laut dengan suhu mencecah 298° Celsius.
Projek itu bakal dilaksanakan pada tahun 2018 dan diketuai oleh pakar Pusat Oseanografi Southampton, Dr. Damon Teagle serta Dr. Benoit Ildefonse dari Universiti Montpellier, England.
Terdapat beberapa cubaan untuk menggali mantel Bumi pada tahun 1960-an tetapi gagal kerana masalah organisasi dan kos.

- Agensi

Seorang jurugambar, Erik Mikhailov merakamkan gambar seekor haiwan yang mirip satu watak dalam siri filem Star Wars, Yoda ketika dia mengunjungi sebuah kawasan hutan hujan di Filipina baru-baru ini, lapor sebuah akhbar semalam.
Sebenarnya, haiwan yang dirakamkan gambar itu merupakan Tarsier yang mempunyai ciri-ciri fizikal mirip watak Yoda.
Haiwan itu mempunyai bentuk telinga yang tajam ke atas dan memiliki mata besar.
"Saya terus teringatkan Yoda (semasa melihat haiwan tersebut). Ketika itu, saya tidak tahu jenis makhluk tersebut walaupun terdapat pelbagai kehidupan yang menakjubkan untuk dilihat," katanya.
Tarsier merupakan haiwan yang hidup di Asia Tenggara. Ia dikenali dengan nama Maumag di Filipina dan mempunyai mata sangat besar dan menjadikan serangga sebagai makanan. - Agensi

Seorang peminat fanatik kereta, John McArthur, 22, mencipta kelainan apabila dia menukarkan kereta jenama Skoda Felicia miliknya menjadi sebuah padang golf mini, lapor sebuah akhbar semalam.
McArthur hanya membeli kereta tersebut pada harga murah iaitu £347 (RM1,718.13) daripada sebuah laman web lelong, eBay bagi menggantikan kereta lama berjenama Renault Megane Scenic.
"Adik perempuan saya tidak akan menaikinya tetapi rakan-rakan saya yang turut sama meminati kereta suka dengan kereta ini.
"Mereka menyatakan orang ramai pasti akan melihatnya apabila saya memandu dan saya ada melihat beberapa orang merakamkan gambar dan bertanyakan pelbagai soalan," katanya.
Dia meletakkan rumput palsu di atas kereta tersebut dengan dilengkapi lubang dan tiang bendera

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan pencemaran radiasi dalam makanan susulan letupan di loji nuklear Fukushima-Daiichi akibat gempa bumi dan tsunami merupakan situasi yang serius.
Dalam satu kenyataannya semalam, WHO memberitahu bahawa debu radioaktif yang kini tersebar di udara telah menyebabkan makanan dan bekalan air bersih tercemar.
"Tidak dapat dinafikan, pencemaran ini adalah serius," kata jurucakap WHO di Manila, Peter Cordingley dalam wawancara telefon dengan agensi berita Reuters.
"Ia jauh lebih serius berbanding jangkaan awal bahawa pencemaran ini cuma terhad dalam lingkungan 20 hingga 30 kilometer dari loji tersebut. Beberapa bahan makanan tercemar telah ditemui di luar zon kontaminasi," tambahnya.
Susulan perkembangan tersebut, Kementerian Luar Jepun menggesa orang ramai yang tinggal dekat dengan loji berkenaan supaya tidak meminum air paip selepas ia dikesan mengandungi bahan iodin radioaktif.
Setakat ini, beberapa kes sayuran dan susu dicemari radiasi mencetuskan kebimbangan di Jepun dan negara-negara serantau walaupun Tokyo berulang kali memberi jaminan bahawa tahap pencemaran itu tidak merbahaya.
Sebagai langkah pencegahan, kerajaan Jepun melarang penjualan susu mentah dari negeri Fukushima dan bayam di sebuah kawasan berdekatan. Mengulangi jaminan kerajaan Jepun sebelum ini, Cordingley berkata, tiada bukti bahawa makanan tercemar yang dikeluarkan di Fukushima sampai ke negara-negara lain.

Jepun mengeksport buah-buahan, sayuran, produk tenusu dan makanan laut dengan Hong Kong, China dan Amerika Syarikat (AS) merupakan pelanggan terbesarnya.
Sementara itu, Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Yukiya Amano mengaku situasi nuklear Jepun masih amat serius tetapi memberi jaminan negara itu akan dapat menanganinya secara efektif.
Amano melahirkan keyakinan itu ketika mempengerusikan satu mesyuarat tergempar 35 negara yang membentuk lembaga pentadbiran IAEA di Vienna semalam.
"Krisis loji nuklear Fukushima-Daiichi yang terletak 240 kilometer ke utara Tokyo masih belum selesai dengan situasi di loji itu masih serius. Namun saya yakin ia akan dapat ditangani," katanya.
Beberapa reaktor nuklear di loji Fukushima-Daiichi meletup dan terbakar seterusnya melepaskan pencemaran radiasi sejak timur laut Jepun dilanda gempa bumi kuat berukuran 9 pada skala Richter dan tsunami pada 11 Mac lalu.
Setakat ini, angka rasmi kematian adalah 8,450 orang dengan 12,931 masih hilang manakala anggaran kerugian akibat malapetaka berkembar itu mencecah AS$235 bilion (RM717 bilion).

- Reuters

Bukan sahaja manusia memerlukan masa berehat dan untuk menenangkan fikiran tetapi kucing juga perlu melakukan perkara yang sama, lapor sebuah akhbar semalam.
Kini terdapat trend dalam kalangan pengguna komputer di beberapa laman web, e-mel dan blog yang menyiarkan foto-foto kucing yang sedang duduk dengan gaya seperti seorang manusia sedang bersandar.
Kucing sering kali dikaitkan dengan manusia sejak hampir 9,500 tahun lalu dan merupakan haiwan peliharaan manusia yang paling popular di dunia.- Agensi

Seorang wanita, Gemma Woods, 28, melahirkan bayi perempuan terbesar di Britain seberat 5.6 kilogram (kg), dua kali ganda berat bayi normal pada Oktober lalu, lapor sebuah akhbar semalam.
Walaupun saiznya besar, bayi yang bernama Libby itu dilahirkan secara normal dengan proses bersalin pendek iaitu selama enam jam di sini baru-baru ini.
"Saya seperti tidak percaya apabila bidan memberitahu berat Libby, bunyinya seperti mendengar berat sesuatu barang," kata Gemma.
Sepupu Libby, seorang bayi lelaki bernama Thomas yang lahir tiga minggu lebih awal hanya mempunyai berat 3kg.
Bayi paling berat di dunia setakat ini dilahirkan di Aversa, Itali pada September 1955 yang mempunyai berat mencecah 10.17kg. - Agensi

ENGLAND - Sekumpulan monyet di Taman Safari Longleat diberi sebuah kereta Mercedes-Benz lama untuk dimusnahkan dan aksi mereka dirakam sebelum disiarkan menerusi satu klip video di laman web YouTube, baru-baru ini.
Sebanyak 100 ekor monyet daripada spesies beruk itu kelihatan seperti mahu menanggalkan kereta itu dengan mencabut cermin sisi dan tayar kereta tersebut. Sebuah beg pakaian di atas bumbung kereta pula, turut dimusnahkan.
Menurut kakitangan safari, monyet-monyet tersebut sudah dua tahun tidak melakukan kerja memusnahkan kereta kerana safari itu ditutup untuk kerja-kerja membaik pulih.

Jadi, mereka mengambil keputusan untuk memberi layanan istimewa kepada monyet-monyet nakal itu sebelum pembukaan semula safari tersebut pada hujung minggu ini.

- Agensi

Seorang wanita berusia 80 tahun dan cucu remajanya diselamatkan dari kawasan gempa bumi dan tsunami di wilayah timur laut Jepun hari ini.
Cucu lelaki wanita itu berjaya menyelamatkan diri dari runtuhan rumah dua tingkat mereka, 10 hari selepas bencana itu.
Jin Abe, 16, meminta bantuan dari bumbung rumah mereka di Ishinomaki, demikian menurut polis Miyagi.
Seperti rumah-rumah lain, mereka juga terputus bekalan elektrik dan perkhidmatan telefon sejak gempa bumi melanda Jepun 11 Mac lalu.
Remaja itu membawa polis ke rumah untuk membantu neneknya, Sumi Abe.
Kedua-dua mereka yang kelihatan lemah, bergantung pada makanan dari peti sejuk rumah mereka, kata pegawai jabatan polis Ishinomaki, Shizuo Kawamura.
Laporan msnbc menyebut wanita itu tidak dapat keluar dari rumahnya sebab mengalami masalah untuk berjalan manakala Abe pula rendah suhu badan sehingga hari ini dan tidak dapat bergerak keluar.

Helikopter Pasukan Pertahanan daripada jenis CH-47 Chinooks berkuasa dua enjin itu memulakan misi pertama dengan membawa sebuah bekas yang berkapasiti tujuh tan air ke loji tersebut.
Operasi itu dilakukan bertujuan supaya batang bahan bakar dalam reaktor dan kolam penghadang ditenggelami air bagi mengurangkan pendedahan bahan pada udara dan menyebabkan bahan radioaktif tersebar ke alam sekitar.
Sebelum ini radiasi bocor dari reaktor nuklear itu tetapi dalam kadar yang masih tidak dianggap membahayakan kesihatan manusia.
Menteri Pertahanan Jepun, Toshimi Kitazawa berkata, sebanyak 11 kenderaan tentera juga akan dihantar bagi menyertai usaha untuk menyejukkan reaktor itu.
Agensi Keselamatan Nuklear Jepun menyatakan keutamaan akan diberikan kepada reaktor nombor tiga dan empat yang kemungkinan berada pada tahap terlalu panas.
Menurut seorang jurucakap loji nuklear itu yang dikendalikan syarikat Tokyo Elektric Power Co (TEPCO), kolam penghadang di reaktor nombor empat seperti sudah ditenggelami air pada Rabu lalu berdasarkan kepada pemerhatian dari helikopter.
"Kami tidak pasti berapa banyak air sudah berada di dalam reaktor tersebut dan kami juga tidak mempunyai informasi berapa banyak batang bahan bakar yang sudah terdedah," kata seorang jurucakap TEPCO.
Sebelum ini, pekerja-pekerja TEPCO sedang berusaha membaikpulih bekalan tenaga sistem penyejukan yang lumpuh ketika serangan gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun.
Loji itu pernah meletup sebanyak empat kali selepas ia rosak akibat gegaran gempa bumi yang berpusat di timur laut Jepun pada Jumaat lalu.
Gempa bumi kuat itu turut menyebabkan ombak tsunami setinggi 10 meter berlaku dan melanda kawasan di utara dan timur Jepun.

- Agensi

TOKYO - Pekerja di loji Fukushima berusaha mengelakkan peleburan nuklear daripada berlaku walaupun selepas dikeluarkan daripada kawasan itu buat sementara waktu sejurus radiasi meningkat kepada tahap yang berbahaya untuk kesihatan mereka, pagi semalam.

Usaha untuk mengawal keselamatan di loji itu disambung semula beberapa jam kemudian bagi menghalang kobocoran radiasi yang lebih serius.

Pengendali loji itu, Tokyo Electric Power cuba menggunakan helikopter untuk menyembur air ke atas reaktor No.4 bagi menghalang kebocoran terus berlaku namun kaedah itu dilaporkan tidak berjaya akibat kehadiran radiasi yang tinggi dalam udara.

Kumpulan pekerja yang terdiri daripada lebih 50 jurutera itu bekerja sepanjang masa bagi memadamkan kebakaran di salah sebuah reaktor dan cuba menyejukkan reaktor lain bagi mengelak peningkatan suhu.

Jurucakap kerajaan, Yukio Edano berkata, Jepun sedang mempertimbang untuk meminta bantuan daripada tentera Amerika Syarikat.

Kesemua enam reaktor nuklear di loji yang terletak di utara Jepun itu rosak selepas gempa bumi sekuat 9.0 pada skala Richter melanda Jepun sehingga mencetuskan tsunami, 11 Februari lalu.

Sehingga kini, lebih 10,000 orang dipercayai terkorban.

Krisis nuklear di Jepun mendapat perhatian dunia sehingga menenggelamkan laporan mengenai usaha mencari dan menyelamat mangsa gempa dan tsunami di seluruh negara itu.
Terdahulu, kerajaan Jepun mengarahkan 140,000 orang yang tinggal dalam jarak 30 kilometer dari loji itu untuk berlindung di dalam rumah selepas tahap radiasi di udara semakin meningkat.

Tokyo, yang terletak lebih 200 kilometer dari Fukushima, mula merasai kesan letupan loji itu apabila tahap radiasi dalam udara dikesan 10 kali ganda lebih tinggi daripada biasa tetapi kerajaan menegaskan ia tidak menjejaskan kesihatan.


TOKYO - Igauan tragedi letupan loji nuklear Chernobyl di Ukarine yang mengorbankan hampir 9,000 nyawa kembali menghantui rakyat Jepun selepas awan radioaktif kesan daripada siri letupan di stesen tenaga nuklear Fukushima dibimbangi akan sampai ke ibu negara Jepun, dalam tempoh beberapa jam, lapor sebuah akhbar semalam.

Amaran itu dikeluarkan selepas kerajaan Jepun semalam membuat pengumuman bahawa radiasi dari loji nuklear milik Syarikat Tenaga Elektrik Tokyo (TEPCO) itu kini merupakan ancaman terhadap nyawa manusia.
Loji tersebut yang memiliki empat reaktor nuklear, terletak sekitar 245 kilometer dari Tokyo.
Tahap radiasi atau pencemaran radioaktif yang boleh menyebabkan kanser meningkat dengan mendadak di kawasan sekitar loji tersebut selepas reaktor No.4 terbakar semalam disyaki akibat satu letupan.
Sejak minggu lalu berlaku tiga letupan melibatkan beberapa reaktor di loji nuklear berkenaan.
Selepas kebakaran pada reaktor No. 4 berlaku, bacaan pencemaran radiasi di kawasan sekitarnya melonjak jauh melepas tahap selamat kepada 400 millisieverts sejam (mSv/j). Pendedahan radiasi yang selamat untuk manusia adalah cuma setakat 3mSv untuk setahun.
Tidak lama selepas itu, Kedutaan Perancis di sini pula memberi amaran bahawa awan radioaktif boleh sampai ke ibu negara Jepun itu dalam masa cuma beberapa jam.
Dalam nada serupa, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), turut mendedahkan bahawa radiasi daripada reaktor nuklear itu telah dibebaskan ke udara.
Mengulas mengenai perkembangan tersebut, Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan ketika berucap di televisyen tempatan, buat kali pertama mengakui bahawa radiasi telah tersebar dari loji nuklear Fukushima.
"Tahap radiasi itu amat tinggi dan risiko lebih banyak radiasi tersebar juga sangat tinggi," kata Kan.
"Kami sedang melakukan segala usaha untuk menghalang kebocoran radiasi itu daripada terus tersebar. Saya faham bahawa orang ramai kini bimbang tetapi saya merayu anda supaya bertenang," tambahnya.Radiasi boleh membunuh dan mengubah sel badan manusia yang menyebabkan penyakit barah. Setakat semalam, tahap radiasi yang tinggi dicatatkan di Ibaraki, sebuah bandar yang berada sekitar 128 kilometer dari sini.
Di bandar Saitama, dekat sini, tahap pencemaran radiasi yang direkodkan pula adalah 40 kali ganda lebih tinggi daripada normal.
Setakat ini, kerajaan Jepun telah mengkuarantin 150 orang kerana mereka dikhuatiri terdedah kepada pencemaran radiasi.
Pihak berkuasa turut mengambil langkah membersihkan pencemaran radiasi melibatkan 23 orang yang berada berhampiran loji nuklear di Fukushima.
Kerajaan Jepun meminta penduduk yang tinggal dalam lingkungan 32 kilometer dari loji nuklear Fukushima supaya tinggal di dalam rumah, menutup semua tingkap dan berhenti menggunakan penghawa dingin sebagai langkah keselamatan.
Lebih 100,000 orang dipercayai berada dalam zon tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, negara-negara luar bermula dengan China mula memindahkan rakyat mereka dari sini kerana bimbang tentang pencemaran radiasi. Setakat ini, beberapa negara asing termasuk Austria dan Perancis mengumumkan akan memindahkan kedutaan mereka ke bandar Osaka yang terletak 400 kilometer dari Tokyo.
Sementara itu, gempa bumi kuat berukuran 9 pada skala Richter yang melanda timur Jepun pada Jumaat lalu memusnahkan kawasan seluas sehingga berpuluh-puluh kilometer dan menyebabkan lebih 550,000 orang hilang tempat tinggal.

 - Agensi

Sebuah kedai di wilayah Zhejiang, timur China menjual telur yang direbus dengan air kencing budak sekolah dan ia merupakan resipi tradisonal berusia ribuan tahun, lapor sebuah akhbar semalam.
Chef makanan tradisonal, Lu Ming berkata, dia mahu mempromosikan semula makanan tradisional itu sehingga ke peringkat antarabangsa.
"Air kencing tersebut dikumpul daripada pelajar sekolah lelaki yang berumur 10 tahun, mereka kencing di dalam sebuah tong dan kami mengambil air itu pada setiap hari.
"Telur-telur itu akan direbus dalam air kencing tersebut dengan kulitnya," katanya.
Menurutnya, telur tersebut berasa sedap dan berkhasiat untuk menyembuhkan demam selain meningkatkan konsentrasi serta menghilang rasa mengantuk.

- Agensi


Gempa bumi kuat yang melanda Jepun dilaporkan begitu berkuasa sehingga mengubah bentuk persisiran negara itu dan menganjak paksi bumi.

Menurut saintis Amerika Syarikat dan Itali, gempa itu bukan sahaja menyebabkan sebahagian daripada tanah Jepun bergerak hampir 2.5 meter tetapi juga menganjakkan bumi daripada titik paksi sekurang-kurangnya lapan hingga 10 sentimeter ke timur.

Selain itu, gempa terkuat yang pernah melanda Jepun itu turut mempercepatkan pusingan harian bumi sebanyak 1.6 mikrosaat pada hari kejadian.

Profesor dari Universiti Tokyo, Satoko Oki berkata, gempa bumi sekuat itu yang disebabkan pergerakan lantai bumi di bawah laut hanya berlaku sekali setiap 1,000 tahun.

Sebuah replika kapal Queen Mary yang berukuran 7.62 meter panjang, 0.9 meter lebar dan 1.8 meter tinggi berjaya dihasilkan dengan hanya menggunakan lebih 800,000 pencungkil gigi, lapor sebuah akhbar semalam.
Pengaturcara komputer, Wayne Kusy, 50, dianggarkan menghabiskan masa selama hampir 12 tahun untuk menyiapkan replika kapal tersebut.
"Saya hanya menggunakan playar, pisau cukur, penyepit kecil, gam dan kesabaran yang banyak untuk menyiapkan replika itu," katanya
Replika kapal Queen Mary itu akan dijual pada harga £6,000 (RM29,318).
Sebelum ini, Wayne pernah menghasilkan replika kapal Titanic dan Cutty Sark yang menggunakan bahan yang sama. - Agensi

NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) - Taikun telekomunikasi Mexico, Carlos Slim kekal menjadi manusia paling kaya di dunia dengan anggaran kekayaannya mencecah AS$74 bilion (RM224.7 bilion), lapor majalah Forbes kelmarin.
Bilionair berusia 71 tahun itu mengetepikan pengasas bersama Microsoft, Bill Gates yang menduduki tempat kedua dengan kekayaan berjumlah AS$56 bilion (RM170 bilion).
Pelabur AS, Warren Buffet menduduki tempat ketiga dengan kekayaan AS$56 bilion (RM170 bilion).
Tempat keempat menjadi milik taikun barangan mewah dari Perancis, Bernard Arnault dengan anggaran kekayaan AS$41 bilion (RM124.5 bilion).
Senarai Forbes kali ini menyaksikan 332 bilionair adalah dari Asia berbanding 79 bilionair Eropah.
Perkembangan itu menyaksikan Asia memiliki lebih ramai bilionair berbanding Eropah untuk kali pertama.
Menurut Forbes, 115 bilionair Asia dalam senarai tahunannya kali ini berasal dari China
Senarai bilionair dari China itu diungguli Robin Li, usahawan di sebalik kejayaan enjin carian tempatan, Baidu, dengan nilai kekayaan AS$9.4 bilion (RM28.5 bilion).
Pengasas Facebook, Mark Zuckerberg berada di tempat ke-52 dengan kekayaan dianggarkan berjumlah AS$13.5 bilion (RM40.9 bilion).
Sementara itu, seramai sembilan bilionair dari Malaysia turut berada dalam senarai Forbes kali ini diketuai oleh raja gula, Robert Kuok, 87, dengan kekayaan AS$8.3 bilion (RM25.2 bilion).
Jumlah itu menyaksikan beliau berada pada kedudukan ke-61 sekali gus mengatasi pengasas Apple, Steve Jobs yang memiliki aset AS$8.3 bilion (RM25.2 bilion) untuk menduduki tempat ke-110 senarai yang sama.
Taikun telekomunikasi tempatan, Ananda Krishnan, menduduki tempat ke-93 senarai Forbes dengan kekayaan AS$9.5 bilion (RM28.8 bilion) manakala bilionair sektor perladangan, Lee Shin Cheng yang memiliki kekayaan AS$5 bilion (RM15.1 bilion) berada di tempat ke-208.
Lain-lain bilionair Malaysia yang menduduki senarai Forbes ialah Tan Sri Quek Leng Chen menduduki senarai ke-219 dengan kekayaan AS$4.8 (RM14.5 bilion).
Bilionair Malaysia, Tan Sri Teh Hong Piow menduduki tempat ke- 229 dengan kekayaan AS$4.7 bilion (RM14.2 bilion).
Tan Sri Yeoh Tiong Lay dan keluarga berada di tempat ke-420 dengan kekayaan AS$2.7 bilion (RM8.1 bilion) manakala Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary menduduki tempat ke-459 dengan kekayaan AS$2.5 bilion (RM7.5 bilion).
Bilionair Tan Sri Tiong Hiew King dan Tan Sri Vincent Tan menduduki tempat ke-993 dengan kekayaan AS$1.2 bilion (RM3.6 bilion). - Agensi

BEIJING - Seorang budak lelaki berusia empat tahun, Li Shenghan dari Shenyang, timur laut China menghidap penyakit kanser yang ganjil dikenali sebagai acute manocytic leukemia dengan menyebabkan kulit badannya seperti cangkerang, lapor sebuah akhbar semalam.
Pada mulanya keluarganya mengesan terdapat bintik kecil di lengannya setahun lalu tetapi ia kemudian disilap diagnosis sebagai gigitan serangga.
Bintik kecil itu terus membesar dan merebak ke seluruh tubuhnya termasuk di dalam mulut dan di bawah kelopak mata menyebabkan dia kelihatan seperti terumbu karang hidup.
Doktor-doktor berkata, budak tersebut memerlukan rawatan kemoterapi untuk menghalang kanser tersebut merebak ke tulang sumsum.
Namun, ibunya, Mu Xiaojie dan bapa budak itu, Li Wenrui yang memperoleh pendapatan kurang 1,061 yuan (RM490.76) seminggu tidak mampu untuk membiayai rawatan perubatan.
Ibu dan bapanya juga tidak mempunyai simpanan wang selepas ia digunakan untuk membiayai rawatan anak mereka setahun lalu.
Menurut ibunya, doktor-doktor mengesyaki penyakit itu disebabkan pencemaran atau alam sekitar.
Walaupun budak itu menjalani pemindahan tulang sumsum dan rawatan kemoterapi untuk mengubati penyakitnya, doktor-doktor memberinya peluang 50-50 untuk budak tersebut terus hidup.

 - Agensi
Hujan lebat menyebabkan banjir menenggelamkan rumah dan kedai di beberapa bandar di kawasan timur laut Australia,semalam.

Hujan monsun yang lebat di kawasan pantai di timur Cairns menyebabkan amaran banjir dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi di Queensland.

Pihak pentadbiran tempatan telah menyediakan pusat perlindungan banjir sementara pasukan Perkhidmatan Kecemasan Negeri bersiap sedia untuk mengharungi banjir bagi melaksanakan operasi menyelamat.

Banjir minggu ini telah membunuh seorang wanita berusia 42 tahun yang maut selepas keretanya dihanyutkan air banjir di Kuranda, utara Cairns.

Banjir disebabkan silikon Yasi merupakan yang terburuk di Australia, menyebabkan 35,000 buah rumah musnah serta membunuh 35 orang penduduk di Brisbane yang merupakan bandar ketiga terbesar di negara tersebut.
LONDON - Bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak yang digulingkan dalam revolusi negara itu mungkin adalah individu terkaya di dunia dengan aset sebanyak AS$70 bilion (RM212 bilion).

Kekayaan Mubarak dilaporkan disimpan di dalam akaun bank rahsia atau dilabur melalui pembelian rumah dan hotel.

Sepanjang pemerintahan kuku besi Mubarak selama 30 tahun, beliau mengawal semua perjanjian pelaburan negara itu dan mendapat keuntungan besar melaluinya.

Kemewahan Mubarak juga dapat dilihat melalui pilihan pakaiannya di mana beliau menempah khas baju sut berjalur yang dihiasi ejaan namanya sendiri dengan kos AS$16,200 (RM50,000) bagi setiap pasang.

Pendedahan mengenai harta Mubarak yang tidak diisytihar itu meletakkannya jauh di hadapan dua individu terkaya dunia, usahawan Mexico, Carlos Slim dan pengasas Microsoft, Bill Gates yang masing-masing mempunyai aset sebanyak AS$53.5 bilion (RM162 bilion) dan AS$53 bilion (RM160 bilion).

Mubarak meletak jawatan selepas protes antikerajaan besar-besaran yang mengorbankan 300 rakyat negara itu, 11 Februari lalu.
NORWICH - Satu burger gergasi yang didakwa terbesar di Britain mengandungi 13,000 kalori menjadi menu hidangan tengah hari di Restoran Over De Flames, Norwich, lapor sebuah akhbar semalam.
Mempunyai diameter berukuran 30 sentimeter, burger yang diberi nama Over de Flames itu mengandungi tiga kilogram daging lembu dan 40 keping keju serta dihidang bersama sos tomato, mayonis, dua biji bawang, tiga biji tomato dan salad.
Pemilik restoran itu, Sudeep De yang mewarisi perniagaan daripada bapanya pada bulan September tahun lalu mendapat inspirasi menghasilkan burger gergasi itu selepas menonton rancangan televisyen Amerika yang bertajuk Man v Food.
Burger Over De Flames itu berharga £30 (RM148.70) tetapi ia percuma jika pelanggan berjaya menghabiskan makanan itu dalam masa dua jam.
Dia kini menawarkan £200 (RM989.70) kepada sesiapa yang berjaya menyahut cabaran menghabiskan burger tersebut.
Sehingga kini hanya 26 orang yang tampil untuk mencuba menghabiskan burger dan hidangan sampingan seperti kentang goreng.
Namun, mereka semuanya gagal untuk menghabiskan burger tersebut.

- Agensi

Sebanyak 34 buah kereta remuk setelah dihempap pokok ekoran hujan lebat dalam dua kejadian berasingan di tempat letak kereta swasta di Jalan Tun Razak di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata kejadian pertama berlaku berhampiran dengan Wisma Time di Jalan Tun Razak di mana 30 kereta remuk apabila lima pokok termasuk empat pokok besar tumbang dan menghempap kereta yang dipakir di situ pada pukul 5.30 petang.
Pada masa yang sama empat kereta remuk apabila sebatang pokok besar di tempat letak kereta swasta berhampiran bangunan Bank RHB, yang terletak seberang jalan Wisma Time, tumbang dan menghempap kereta tersebut, katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata seramai 20 anggota bomba dan Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) memotong dan mengalihkan pokok-pokok yang tumbang itu sejak pukul 5.50 petang hingga 9 malam ini

Seorang saintis Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) mendakwa dia menemui sejenis bakteria pada tahi bintang yang terhempas ke bumi, lapor sebuah akhbar semalam.
Saintis NASA itu, Dr. Richard Hoover berkata, dia telah mengembara mengelilingi dunia seperti di Antartika, Siberia dan Alaska selama 10 tahun untuk mengkaji kewujudan bakteria tersebut.
Menurutnya, bakteria itu dikenali sebagai CI1 carbonaceous chondrites.
Saintis itu menyatakan hanya terdapat sembilan jenis sahaja bakteria itu di bumi.
Dr. Hoover menyatakan ia kelihatan serupa dengan bakteria yang terdapat di bumi seperti Titanospirillum velox.
Dia telah mengumpulkan setiap batu dari tahi bintang yang terhempas, pecahkan batu-batu tersebut dan membuat imbasan untuk mencari fosil yang masih tertinggal.
Saintis itu menyatakan kemungkinan setiap organisma yang berada di alam semesta adalah akibat daripada tahi bintang yang jatuh di bumi.
Hasil penemuannya itu diterbitkan dalam Journal of Cosmology edisi Mac.

- Agensi
Seorang peguam bela bersara, Anthony Johnson dan ibunya kerugian 53 juta pound (RM261 juta) kerana tidak menerima sebarang bayaran untuk pasu antik China yang dilelong.

Menurutnya, mereka belum menerima sebarang bayaran selepas empat bulan mereka melelong pasu antik berusia 271 tahun itu dari Dinasti Qing yang dijumpai dalam sebuah rumah yang akan dijual.

Menurutnya lagi, terdapat kecurigaan bahawa mereka telah menjadi mangsa terbaru plot kerajaan China untuk mensabotaj lelongan yang melibatkan barang antik yang dicuri dari negara itu.

"Mereka kemudian menghantar pembida untuk membeli semula artifak itu tetapi gagal menyerahkan wang lelongan," katanya.

Terdahulu, kerajaan China pernah menubuhkan Program Pemulihan Khazanah Kebudayaan yang Hilang pada 2002, untuk merebut kembali artifak-artifak yang diambil oleh warga asing selama berabad-abad lamanya.

Bagaimanapun, terdapat kes lain, di mana program lelongan disabotaj oleh agen yang mempunyai hubungan dengan kerajaan China yang memenangi tawaran, kemudian gagal untuk membayar wang, dipercayai mereka sepatutnya tidak harus membayar barang hak milik mereka.

Seorang pereka Amerika Syarikat (AS), Shane Chen mencipta ekasikal (basikal satu tayar) elektrik yang terkecil di dunia, lapor sebuah akhbar semalam.
Kenderaan satu tayar itu yang dinamakan Solowheel, sesuai untuk kegunaan harian atau riadah dan ia boleh dilipat supaya mudah dibawa ke mana sahaja.
Solowheel dijana motor elektrik berkuasa 1,000 watt dan memiliki kelajuan maksimum 20 kilometer sejam
Ia boleh bergerak selama dua jam dan boleh dicas semula dalam masa cuma 45 minit.
"Solowheel cuma seberat 9 kilogram dan anda tidak perlu merantainya seperti basikal," kata Chen.
Kenderaan itu dilengkapi beberapa sensor giroskop bagi memastikan ia seimbang dan stabil.
Penunggang hanya perlu mencondongkan badannya ke hadapan, kiri atau kanan untuk menggerakkan Solowheel atau mencodongkan badan ke belakang untuk memberhetikannya.
Solowheel yang berharga £975 (RM4,800) akan berada dalam pasaran pada bulan depan. - Agensi

Seorang lelaki kaya Perancis meminta supaya tiada sesiapa menyentuh rumah agam mewah miliknya selama 100 tahun selepas dia meninggal dunia pada 1905. 

Louis Mantin mewasiatkan rumah agam digelar sebagai 'Maison Mantin' yang terletak di Moulins, Perancis Tengah itu untuk dijadikan muzium khas dan didekasikan khas untuk dirinya.

Matlamatnya adalah untuk memastikan pengunjung mengalami sendiri cara hidupnya pada masa itu dan menyaksikan keunikan rumah dan perabot mewah yang melengkapi rumah agam itu.

Mantin yang tidak pernah berkahwin dan meninggal dunia pada umur 54 tahun juga mempunyai minat terhadap hasil seni, sejarah alam dan bidang arkeologi.

Tetapi, kini dengan dana sebanyak 2.9 juta pound (RM14 juta) yang dibiayai kerajaan tempatan, rumah agam itu bertukar menjadi muzium seperti apa yang dihajatkan oleh Mantin.

Proses pemulihan rumah itu bermula sejak empat tahun lalu dan dilakukan oleh 30 pakar untuk memastikan ia menjadi seperti dalam keadaan asal.

MUSCAT - Kumpulan penunjuk perasaan prodemokrasi di Oman menyekat beberapa jalan menuju ke sebuah kawasan industri utama semalam walaupun mereka berdepan tembakan peluru getah dan gas pemedih mata oleh pasukan keselamatan.
Tindakan nekad itu dilakukan sehari selepas beberapa pertempuran dengan tentera telah menyebabkan enam orang terbunuh.
Kumpulan penunjuk perasaan itu menyekat jalan-jalan menuju ke kawasan perindustrian Sohar, utara Oman, yang menempatkan sebuah kilang aluminium dan pelabuhan memproses minyak.
Beberapa saksi berkata, pasukan keselamatan menembak peluru getah dan gas pemedih mata ke arah sekitar 2,000 penunjuk perasaan untuk menyuraikan mereka.
Para penunjuk perasaan tersebut berarak untuk menuntut lebih banyak peluang pekerjaan dan reformasi politik dilaksanakan di Oman.
Sebuah pasar raya utama di Soha turut terbakar semalam selepas penduduk memecah masuk dan melarikan pelbagai barangan di dalamnya.
Seorang jurucakap pelabuhan Sohar memberitahu, penghantaran minyak mentah dari pelabuhan tersebut masih berjalan lancar setakat ini.
Pelabuhan Sohar mengeksport 160,000 tong minyak mentah sehari.
Tunjuk perasaan di Oman itu didorong kebangkitan di dunia Arab yang tercetus sejak beberapa bulan lalu.
Pada Sabtu lepas iaitu seminggu selepas demontrasi tercetus di ibu kota Oman, di sini, pemerintahnya, Sultan Qaboos bin Said telah melakukan rombakan Kabinet.
Beliau memegang kuasa sejak empat dekad lalu selepas melakukan rampasan kuasa ke atas bapanya sendiri pada 1970.
Kelmarin, pemerintah Oman itu berjanji akan mewujudkan lebih 50,000 pekerjaan baru dan memberikan insentif wang kepada golongan penganggur.

- Agensi