Seorang lelaki, Pego Guntoro berjaya merakamkan gambar hantu kuntilanak di celah sebatang pokok di sebuah jambatan yang runtuh di sini, lapor sebuah akhbar semalam.
Gambar itu dirakamkan oleh Guntoro menerusi telefon bimbit berkamera pada petang Isnin lalu.
Dalam imej tersebut, hantu kuntilanak itu memakai baju labuh berwarna putih, rambut panjang mengurai manakala tangannya tidak kelihatan.
"Jika diperhatikan, ia seperti kuntilanak," kata seorang rakan Guntoro yang hanya mahu dikenali sebagai Ratno.
Menurutnya, semasa gambar itu dirakamkan, Guntoro kelihatan ketakutan dan menghantar imej tersebut kepadanya.
Penduduk di sekitar lokasi jambatan itu mengaku kuntilanak pernah dilihat di kawasan tersebut.
Seorang penduduk yang hanya dikenali sebagai Agus menyatakan bahawa dia pernah melihat kuntilanak dengan wajahnya yang cukup cantik semasa melintas di atas jambatan itu.
Kuntilanak merupakan hantu yang dipercayai berasal dari ibu hamil yang mati.

- Agensi

Bekas Presiden Sony, Norio Ohga yang membantu mengubah industri muzik dengan memajukan format cakera padat (CD) meninggal dunia semasa berumur 81 tahun.
Graduan sekolah muzik itu yang menjadi presiden dari 1982 hingga 1995 meninggal dunia pada Sabtu lalu kerana kegagalan beberapa organnya berfungsi.
Di bawah kepimpinan Ohga, Sony merevolusikan industri muzik dengan format CD pada 1982 bersama dengan syarikat Royal Philips Electronics.
Keputusannya untuk membeli syarikat Columbia dengan harga AS$3.2 bilion (RM10.21 bilion) pada 1989 sekali gus menjadikan Sony sebagai konglomerat hiburan.
Dia turut mereka bentuk logo Sony dan pada zaman pentadbirannya, syarikat itu memasuki pasaran permainan video.
Pada 1993, Ogha melancarkan syarikat Sony Computer Entertainment Inc yang terlibat dalam pasa-ran permainan video yang didominasi syarikat Nintendo dan Sega. - Agensi
Sebuah ciptaan teknologi perubatan baru digelar 'hidung elektronik' mampu mengesan barah hanya melalui ujian pernafasan ke atas pesakit.

Penyelidik Institut Teknologi Technion di Israel berkata, rekaan baru seperti itu amat diperlukan untuk mengesan barah di bahagian kepala dan leher pada peringkat awal kerana sebelum ini, penyakit berbahaya itu hanya boleh dikesan melalui ujian khas iaitu selepas tahap penyakit menjadi lebih serius.

Hasil kajian awal menunjukkan hidung elektronik yang menggunakan teknologi nano itu dapat mengenal pasti sel barah peringkat awal dalam bentuk molekul paling kecil.

Dianggarkan 40,000 pesakit menghidap barah di kepala dan leher di Amerika Syarikat setiap tahun.

Para pengguna gimnasium Easy Gym di sini, Sepanyol dibenarkan berbogel termasuk wanita semasa mereka menggunakan peralatan untuk bersenam, lapor sebuah akhbar semalam.
Pemilik gimnasium itu, Mercehe Laseca memberitahu Perbadanan Penyiaran Britih bahawa keputusan itu dibuat adalah kerana untuk mendapatkan lebih ramai pengunjung.
"Ekoran krisis (ekonomi), kami mengetahui hanya terdapat sejumlah kecil orang yang menggunakan gimnasium.
"Namun, inisiatif (membenarkan pengguna berbogel) adalah kerana wang," kata Laseca.
Namun, dia berasa kecewa pada hari pertama para pengguna dibenarkan berbogel kerana hanya empat orang sahaja termasuk wanita yang tidak memakai sebarang pakaian semasa bersenam.
Walaupun sambutan kurang menggalakkan, seorang guru yoga sudah menawarkan untuk membuka kelas untuk para pelajarnya berbogel di gimnasium tersebut.

- Agensi

Sebongkah batu setinggi 1.21 meter didakwa menyelamatkan nyawa penduduk kampung di Aneyoshi ketika bencana tsunami melanda Jepun 11 Mac lalu di timur laut Jepun akibat gempa bumi kuat dalam laut, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Padanya, ditulis amaran yang meminta penduduk jangan membina rumah melepasi batu berkenaan kerana mereka mungkin berdepan dengan bencana banjir akibat tsunami.
Penduduk kampung tersebut mematuhi larangan purba itu.
Hasilnya, komuniti yang hanya melibatkan 11 buah rumah dan 34 orang penduduk terselamat daripada terkena ombak tsunami.
Aneyoshi terletak di kawasan pergunungan wilayah Iwate yang terjejas teruk dalam bencana tsunami baru-baru ini. Kira-kira 91.4 meter ke bahagian bawah bukit dari batu itu terdapat satu garisan biru dicat di atas jalan.
Garisan itu menandakan paras air banjir tsunami pernah sampai pada takat tertingginya iaitu 38.8 meter.
Sejarah Jepun menghadapi tsunami membawa kepada kewujudan batu-batu amaran itu yang juga menjadi pemandangan biasa di sepanjang pantai negara tersebut.
Generasi terdahulu cuba memberi amaran kepada anak cucu mereka tentang bahaya tsunami. Ada antara batu itu yang berusia 600 tahun.
"Batu-batu tsunami ini menjadi amaran dari satu generasi ke generasi. Ia memberitahu supaya mengelak daripada penderitaan yang dialami oleh nenek moyang mereka," kata pakar bencana alam dari Universiti Ritsumeikan di Kyoto, Itoko Kitahara.
Tsunami yang berlaku pada tahun 1896 dan meragut 22,000 nyawa telah meyakinkan penduduk Aneyoshi untuk berpindah ke kawasan tinggi.
Namun, apabila populasi kian bertambah, mereka berpindah semula ke kaki bukit. Apabila sekali lagi dilanda tsunami pada tahun 1933, hanya empat orang yang terselamat.
Selepas bencana itu, orang kampung menanam batu amaran dan berjaya menyelamatkan nyawa mereka apabila tsunami berlaku pada tahun 1960.
"Mereka tahu betapa dahsyatnya tsunami, jadi batu itu didirikan untuk memberi amaran kepada kami," kata ketua kampung di Aneyoshi, Tamishige Kimura.

- Agensi
SEPANG - Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan hari ini memutuskan untuk tidak menghalang tarian poco-poco di kalangan umat Islam selagi ia tidak melanggar garis panduan yang ditetapkan, kata Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin.

Sehubungan itu masyarakat Islam dinasihatkan sentiasa berhati-hati dan merujuk kepada garis panduan yang dikeluarkan badan itu sejak 2007 yang antara lain tidak melakukan ritual ibadat bukan Islam, menjaga pergaulan lelaki dan perempuan serta pakaian yang sesuai.

"Sekiranya tidak melanggar (peraturan ) maka tiada halangan. Malah kalau ia mendatangkan kebaikan kepada kesihatan, maka kita rasa tiada halangan kepada perkara itu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan di sini hari ini.

Bagaimanapun beliau berkata, Majlis Fatwa Kebangsaan tetap menghormati keputusan Majlis Fatwa Perak untuk mengharamkan tarian itu seperti diumumkan muftinya Tan Sri Harussani Zakaria sebelum ini kerana mempunyai unsur kepercayaan agama lain iaitu Kristian selain pemujaan roh.

Sementara itu, Harussani yang turut menghadiri muzakarah itu ketika dihubungi berkata, fatwa pengharaman itu dibuat selepas terdapat pertanyaan daripada persatuan Islam di Perak sama ada tarian itu patut diharamkan atau sebaliknya.

"Selepas itu kajian dibuat dan didapati ada unsur itu. Negeri-negeri lain tiada permintaan untuk mengkaji tarian itu sebab itu tiada fatwa mengenainya dibuat," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Shukor ketika diminta mengulas mengenai antara perkara utama yang dibincangkan pada muzakarah kali ini, beliau berkata ia termasuklah penggunaan vaksin 'mencevax' iaitu sejenis vaksin yang digunakan jemaah haji dan umrah sejak sekian lama.

"Jadi kita telah mengkaji dan mendapatkan pandangan pakar di mana selepas tahun 1997 penghasilannya lebih baik selain kos yang lebih munasabah. Kita setuju teruskan (penggunaannya) jika tiada gantian yang lebih baik daripada itu," katanya.

Menurutnya terdapat juga permohonan daripada syarikat lain untuk membekalkan vaksin untuk jemaah haji dan umrah, yang sudah berada di pasaran selama dua tahun.

"Pada prinsipnya kedua-dua vaksin itu harus dan boleh digunakan. Tetapi kita mengutamakan vaksin pertama kerana ia sudah lama digunakan," kata beliau.

Muzakarah tiga hari yang bermula 20 April turut membincangkan mengenai wang pampasan insurans konvensional yang tidak dituntut serta masalah wang khairat kematian.

Seorang wartawan di Kanada, Saphia Khambalia merah padam apabila hingusnya meleleh dari hidungnya semasa dia membuat liputan di depan kamera dan disaksikan oleh penonton, lapor sebuah akhbar semalam.
Insiden yang memalukan itu berlaku baru-baru ini semasa wanita itu yang bekerja untuk stesen televisyen City TV News Toronto membuat laporan langsung di sebuah dewan di sini.
Ketika itu, dia membuat liputan mengenai kehadiran pelakon popular Hollywood, Charlie Sheen di bandar ini.
Semasa kali pertama hingusnya keluar, Khambalia, 23, menyapunya dengan menggunakan rambutnya tetapi sejurus kemudian, hingusnya masih lagi meleleh.
Bagi mengelakkan dirinya daripada terus malu, dia segera menamatkan laporannya apabila melihat hingusnya terus meleleh dan mengenai mikrofon yang dipegangnya. - Agensi

Pekerja di loji nuklear Jepun yang rosak akibat gempa kuat, bulan lalu, mula mengepam keluar air yang mengandungi tahap radioaktif tinggi daripada sebuah reaktor, semalam, iaitu langkah penting bagi memulihkan semula sistem penyejukan di loji itu.

Gempa sekuat 9.0 pada skala Richter yang melanda timur laut Jepun pada 11 Mac lalu menjejaskan bekalan tenaga di loji Fukushima Daiichi dan menyebabkan sistem penyejukan gagal berfungsi sehingga mencetuskan beberapa letupan.

Bagi menghalang bencana nuklear berlaku, pekerja terpaksa mengepam ribuan tan air laut ke dalam reaktor bagi menyejukkan teras nuklear sekali gus menghasilkan takungan air yang mengandungi radioaktif tinggi.

Pengendali loji, syarikat Tokyo Electric Power mengumumkan usaha mengurangkan kebocoran loji itu dan penutupan sepenuhnya dijangka mengambil masa enam hingga sembilan bulan.

Sementara itu, kerajaan Jepun bercadang meningkatkan cukai jualan barangan bagi membantu negara itu membiayai kos pembinaan semula kawasan terjejas teruk akibat bencana itu yang dianggar mencecah RM900 bilion.

Seorang remaja berusia 20 tahun hilang kawalan menyebabkan kereta sport bapanya yang berharga £275,000 (RM1.35 juta) remuk akibat terbabas di sebatang jalan raya di sini, lapor sebuah akhbar semalam.
Namun, remaja tersebut dan seorang penumpang wanita berumur 19 tahun hanya mengalami cedera ringan selepas kereta sport Gumpert Apollo itu terbabas baru-baru ini.
Seorang jurucakap polis berkata: "Kereta itu remuk sepenuhnya dan hanya bahagian penumpang yang masih berada dalam keadaan baik."
Pihak berkuasa kini melakukan siasatan bagi mengetahui sama ada remaja itu memandu dengan laju di kawasan yang mempunyai had kelajuan 80 kilometer sejam.
Kereta sport itu merupakan salah sebuah kereta yang paling laju di dunia.
Ia mampu memecut dari 0 hingga 100 kilometer sejam dalam tempoh 2.8 saat.

- Agensi

Satu klip video di sebuah laman web di China menunjukkan dua kanak-kanak dipercayai berusia tiga dan empat tahun ketawa semasa mereka merokok di dalam kereta api, lapor sebuah akhbar semalam.
Dua budak itu berdiri di ruang yang kerap dikhaskan untuk penumpang yang merokok.
Dalam klip video tersebut, salah seorang budak itu menghembuskan rokok ke arah rakannya.
Klip video itu mencetuskan perdebatan terbaru mengenai amalan merokok di China yang mempunyai kira-kira 300 juta perokok dewasa.
Imej itu mencetuskan kemarahan daripada penonton yang melihat gelagat budak tersebut di laman Netease.com yang merupakan web portal terbesar di China.
Namun, tiada maklumat yang diberikan berhubung ibu bapa budak tersebut dan destinasi kereta api tersebut.

- Agensi


PAM air gergasi bergerak masuk ke dalam pesawat kargo Rusia di Atlanta, Amerika Syarikat pada Jumaat lalu.


ATLANTA, Amerika Syarikat (AS) - Sebuah pesawat kargo gergasi Rusia di sini digunakan untuk membawa pam air antara yang terbesar di dunia ke Jepun, lapor sebuah akhbar semalam.
Pam seberat 95 tan berharga AS$2 juta (RM6.04 juta) itu diletakkan di atas lori 26 roda dan akan digunakan untuk menyembur air ke dalam loji jana kuasa nuklear Fukushima Daiichi di timur laut Jepun yang rosak akibat gegaran gempa bumi kuat pada 11 Mac lalu.
Ketua Pegawai Ekekutif Putzmeister Amerika, Dave Adams berkata, pihaknya berharap peralatan yang dikeluarkan syarikatnya akan dapat membantu kerajaan Jepun menyelesaikan masalah di loji jana kuasa nuklear itu.
Masalah yang berlaku di loji tersebut kini ialah pekerja-pekerja berusaha untuk menyejukkan reaktor nuklear selepas sistem penyejukan mengalami kerosakan.

- Agensi
Sejumlah besar serpihan termasuk rumah, kereta, kapal, traktor, treler dan kereta kini dihanyutkan laut ke arah pantai barat Amerika Syarikat (AS) selepas tsunami yang berlaku pada 11 Mac lalu di timur laut Jepun, lapor sebuah akhbar semalam.
Menurut laporan berita stesen televisyen ABC, anggota-anggota Tentera Laut Armada Ketujuh AS mengesan serpihan itu yang terapung sekali gus menjadi ancaman kepada kapal.
Dalam tempoh tiga tahun, serpihan itu akan tiba dekat dengan pantai barat AS dan kemudian bergerak ke arah Hawaii dan berpusing semula ke arah Asia.
Putaran serpihan itu dikenali sebagai lingkaran Asia Pasifik.
Kebanyakan serpihan itu adalah plastik yang tidak akan patah menyebabkan ia akan mencetuskan kebimbangan mengenai pencemaran di laut dan mengancam kehidupan marin seperti penyu yang menggunakan laluan sama ke California dari Jepun.
Tsunami berlaku pada 11 Mac lalu akibat gegaran kuat gempa bumi yang berlaku di dalam laut dekat Sendai di timur laut Jepun mengakibatkan lebih 27,500 orang hilang dan terbunuh. - Agensi

Para pekerja di loji nuklear Fukushima Daiichi, Jepun mengepam gas nitrogen ke dalam reaktor yang rosak bagi mencegah letupan daripada berlaku manakala kerajaan Jepun menimbang untuk meluaskan zon pengasingan di sekitar loji berkenaan.
Ketika krisis kebocoran loji nuklear Fukushima Daiichi masuk minggu keempat semalam, pengendalinya, Syarikat Tenaga Elektrik Tokyo (TEPCO) menyatakan, pihaknya bimbang pengumpulan gas hidrogen di reaktor No.1 boleh menyebabkan satu lagi letupan berlaku di tapak loji tersebut.
Sebelum ini berlaku beberapa letupan di loji tersebut yang bermula sejak 12 Mac lalu.
Ketua Jurucakap Kerajaan Jepun, Yukio Edano menyatakan, Tokyo sedang menimbang untuk meluaskan zon perpindahan di sekitar loji itu daripada 20 kilometer yang dikuatkuasakan sekarang.
Langkah tersebut susulan kenyataan sebuah pertubuhan pemantau nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa zon tersebut perlu diperluaskan.
"Setakat ini, standard keselamatan kami untuk penduduk tempatan adalah mereka akan diarah supaya berpindah jika tahap radiasi mencecah bacaan 50 milisievert atau lebih tinggi," katanya.
Mengulas mengenai usaha mengepam gas nitrogen ke dalam reaktor terbabit, Edano memberitahu bahawa proses itu berjalan dengan lancar.
Katanya, sebanyak 6,000 kubik meter nitrogen akan digunakan dengan proses itu yang dijangka mengambil masa enam hari.
TEPCO menyatakan, ia turut merancang mengepam nitrogen ke dalam reaktor No.2 dan No.3 sebagai langkah berjaga-jaga.
Loji nuklear Fukushima Daiichi mengalami kerosakan akibat gempa bumi sekuat 9 pada skala Richter dan tsunami yang melanda timur laut Jepun pada 11 Mac lalu yang turut mengorbankan lebih 12,500 orang dengan 15,000 lagi masih hilang setakat ini.

- AFP

Seorang peluncur ombak, Chris Fallows berdayung menghampiri seekor jerung putih sambil berdiri di atas papan luncur bagi membuktikan pemangsa itu tidak seganas seperti yang digambarkan dalam filem Jaws, lapor sebuah akhbar semalam.
Sebelum ini, ramai peluncur ombak takut berbuat demikian kerana jerung putih dipercayai gemar menyerang peluncur ombak kerana mereka kelihatan seperti seekor penyu di permukaan laut.
Namun, bagi Fallows, 36, pendapat tersebut adalah tidak benar.
"Kebarangkalian untuk jerung putih menyerang manusia secara spontan adalah amat kecil," katanya.
Lelaki itu mengendalikan ekspedisi melihat ikan jerung di perairan di sini.
Namun, mereka yang tidak memiliki keseimbangan badan yang baik, dilarang meniru aksi tersebut.

- Agensi

TOKYO, Jepun - Seorang pakar nuklear memberi amaran pencemaran radiasi daripada loji nuklear Fukushima Daiichi akan berterusan kerana batang-batang bahan api nuklearnya mengambil masa hingga 100 tahun untuk sejuk, lapor sebuah akhbar semalam.
Bekas anggota dasar keselamatan nuklear Britain, Dr. John Price berkata, tempoh itu diperlukan sebelum batang-batang nuklear itu sejuk dan selamat untuk dipindahkan.
"Cara sekarang (untuk menyejukkan batang-batang nuklear tersebut) iaitu menyemburkan air ke dalam reaktor-reaktor itu kurang berkesan, kerana air kembali mengalir keluar akibat kebocoran dan menyebabkan pencemaran radiasi terus berlaku.
"Perlu ada cara supaya air yang dipam itu kekal di dalam reaktor-reaktor nuklear tersebut," katanya.
Komen beliau disiarkan stesen televisyen Amerika Syarikat (AS), ABC semalam selepas seorang ibu kepada pekerja-pekerja kecemasan yang bergelut untuk menghalang batang-batang nuklear di loji Fukushima Daiichi daripada mencair berkata, mereka semua akan mati akibat kesan radio aktif dalam masa beberapa minggu lagi.
"Anak lelaki saya memberitahu bahawa dia dan rakan-rakan sekerjanya sanggup berkorban demi negara," kata kata ibu berusia 32 tahun itu dalam satu wawancara telefon dengan stesen televisyen Fox News.
"Mereka sedar mereka akan mati dalam masa beberapa minggu lagi kerana radiasi kerana adalah mustahil untuk mengelakkan pancaran radiasi di dalam loji tersebut," tambahnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Jepun dilapor bersedia menimbus reaktor-reaktor nuklear itu dengan mencurahkan bertan-tan bahan konkrit sebagai jalan terakhir bagi mengatasi krisis nuklear Fukushima Daiichi sekiranya usaha yang dilaksanakan sekarang gagal.
Langkah itu dapat menghalang sinaran dan partikel radioaktif daripada tersebar.
Dalam pada itu, beribu-ribu mayat mangsa bencana gempa bumi kuat dan tsunami yang melanda Jepun pada 11 Mac lalu masih belum dipungut kerana mayat-mayat itu didapati dicemari tahap radiasi yang tinggi.
Setakat ini, 11,500 orang disahkan terkorban dengan 16,400 lagi masih hilang dan peluang untuk menemui mayat mereka amat tipis.
Tiga minggu selepas bencana itu berlaku, sejumlah 260,000 kediaman di timur laut Jepun masih terputus bekalan air manakala 170,000 rumah lagi terpaksa bergelap. 

- Agensi


Kajian menunjukkan hidrogen mampu menjadi satu jalan alternatif mesra alam untuk menggantikan petrol berikutan perkembangan teknologi baru yang membolehkan gas semula jadi itu disimpan dengan cara yang murah dan lebih praktikal.

Penyelidik di Makmal Cella Energy yang berpusat di Britain, Stephen Bennington berkata, proses ini berdasarkan cara baru menghasilkan serat nano daripada hidrida.

Menurutnya, teknik ini menggunakan bahan yang menyerap hidrogen seperti span dan kemudian mengurungnya dalam manik plastik kecil yang akan bertindak seperti cecair.

"Apa yang kami lakukan adalah dengan mengambil bahan ini dan mengurungnya dalam manik plastik kecil serta menukarkannya kepada serbuk halus untuk meningkatkan ciri-cirinya.

"Manik plastik itu boleh di pam seperti cecair petrol biasa dan selamat. Ia tidak mudah terbakar," katanya.

Gas hidrogen mampu menghasilkan air ketika dibakar dan ia dianggap sebagai satu jalan penyelesaian yang ideal untuk mengurangkan pembebasan karbon dioksida yang dibebaskan melalui petrol atau diesel.


Lelaki yang mempunyai masalah perut buncit pada lingkungan umur pertengahan boleh meningkatkan risiko golongan itu untuk menjadi buta seiring dengan peningkatan usia mereka, menurut satu kajian. 

Walaupun hanya pertambahan saiz pinggang yang kecil, ia tetap meningkatkan risiko sehingga 75 peratus untuk mereka menghidapi masalah penglihatan. 

Bagaimanapun, kajian mendapati golongan wanita pula tidak termasuk dalam kumpulan yang berisiko tinggi untuk menghidapi penyakit seperti itu. 

Ia adalah disebabkan hormon estrogen yang dimiliki oleh golongan wanita yang mana kandungan lemak pada perut mereka bertindak membebaskan hormon itu ke dalam sistem tubuh. 

Terdahulu, penyelidik di Universiti Melbourne melakukan pemerhatian terhadap perubahan saiz pinggang seramai lebih daripada 21,000 lelaki dan wanita, berumur antara 40 dan 69 selama beberapa tahun bagi mengesan jumlah dan kebarangkalian mereka untuk menghidapi penyakit berkaitan masalah penglihatan atau menjadi buta

GAMBAR yang disiarkan pada 24 April lalu menunjukkan kemusnahan loji nuklear Fukushima Daiichi di timur laut Jepun yang rosak akibat gegaran gempa bumi.



TOKYO - Ibu salah seorang pekerja loji nuklear Fukushima Daiichi yang rosak akibat gegaran gempa bumi kuat menyatakan anaknya dan pekerja lain menjangkakan mereka akan meninggal dunia akibat terkena radiasi tinggi, lapor sebuah akhbar semalam.
Anaknya itu merupakan antara 50 pekerja loji jana kuasa nuklear tersebut yang terdedah pada kadar radioaktif yang tinggi semasa melakukan kerja-kerja untuk menyejukkan reaktor selepas rosak akibat gegaran kuat hempa bumi pada 11 Mac lalu.
Gegaran kuat itu berlaku akibat gempa bumi yang berlaku di timur laut Jepun dekat dengan loji nuklear tersebut yang mencetuskan ombak tsunami.
Menurut ibu tersebut, semua pekerja yang berhempas-pulas menyelamatkan loji tersebut daripada menyebarkan radiasi menjangkakan mereka akan meninggal dunia dalam tempoh beberapa minggu lagi.
Ibu itu yang bercakap menerusi jurubahasa melalui telefon berkata kepada stesen televisyen Fox News: "Anak lelaki saya dan rakan-rakannya telah membincangkan dengan panjang lebar dan mereka komited untuk mati jika ia perlu untuk menyelamatkan negara.
"Dia (anak lelakinya) telah menerima sepenuh hati bahawa mereka kemungkinan akan mati akibat sakit disebabkan radiasi dalam tempoh jangka pendek atau kanser dalam tempoh jangka panjang."
Sementara itu, Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan semalam berkata, kebocoran radiasi daripada loji Fukushima Daiichi tidak membawa kesan terhadap kesihatan awam kecuali rakyat mematuhi nasihat kerajaan pada setiap masa.
"Jepun membuat keputusan bertindak di kawasan (pemindahan sekitar loji) berdasarkan nasihat dan cadangan pakar. Di Jepun, kita meminta penduduk supaya mematuhi peraturan kerana ia akan menjamin keselamatan dan kesihatan mereka," katanya. Negara itu juga buat kali telah menemui tahap radiasi melebihi paras selamat dalam daging-daging lembu berhampiran kawasan larangan loji nuklear.
Kementerian Kesihatan Jepun menjelaskan bahawa 510 becquerels sesium radioaktif dikesan dalam daging lembu dari Tenei, wilayah Fukushima, kira-kira 70 kilometer dari loji nuklear tersebut, menurut agensi berita Kyodo.
Dalam kejadian gempa bumi dan tsunami itu, lebih 28,000 orang didapati terbunuh dan hilang. - Agensi

Serangan udara tentera Amerika Syarikat (AS) ke atas Libya mencatatkan kos bernilai AS$550 juta (RM1.7 bilion) setakat ini, menurut laporan yang dikeluarkan oleh Pentagon, kelmarin.

Kos itu dijangka terus meningkat dengan AS$40 juta (RM121 juta) lagi akan dibelanjakan dalam beberapa minggu akan datang.

Jabatan Pertahanan AS membelanjakan lebih daripada 60 peratus dana itu untuk membeli peralatan senjata seperti peluru berpandu dan bom antara 19 Mac dan 28 Mac lalu.

Komander Tentera Bersekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), James Stavridis berkata, sebutir peluru berpandu Tomahawk yang digunakan AS bernilai AS$1.5 juta (RM4.5 juta) dan jumlah perbelanjaan untuk senjata sahaja mencecah AS$300 juta (RM908 juta).

Pasukan tentera AS telah membedil sekurang-kurangnya 192 daripada 199 peluru berpandu Tomahawk terhadap barisan pertahanan udara Libya.

Jepun akhirnya mengaku kalah dalam usaha mengekang pencemaran radiasi di empat reaktor nuklear loji Fukushima Daiichi yang rosak dan akan menutup kesemua reaktor berkenaan, lapor sebuah akhbar semalam.
Beberapa pegawai berkata, dalam sedikit masa lagi, semua bekalan kuasa ke reaktor-reaktor itu akan ditutup, manakala usaha untuk menyejukkan batang-batang bahan api nuklear akan dihentikan.
Langkah terakhir, melibatkan proses mencurahkan bertan-tan konkrit untuk menimbus reaktor-reaktor itu. Sekali gus memastikan tiada radiasi yang bocor keluar.
Perkembangan itu berlaku selepas agensi keselamatan nuklear Jepun mendedahkan bahawa bacaan radiasi di dalam laut sekitar loji Fukushima Daiichi melonjak sebanyak 4,385 kali ganda berbanding takat yang dibenarkan.
Pengumuman dramatik tentang penutupan semua empat reaktor itu dibuat pada Selasa lalu oleh Pengerusi Syarikat Tenaga Elektrik Tokyo (TEPCO), Tsunehisa Katsumata yang mengendalikan loji nuklear tersebut. .
Loji Fukushima Daiichi terletak sekitar 240 kilometer dari ibu negara Jepun, Tokyo.
Katsumata berkata, beliau berasa kasihan kepada orang ramai yang terpaksa meninggalkan kediaman mereka atau terpaksa tinggal di dalam rumah disebabkan oleh krisis nuklear berkenaan.
"Saya memohon maaf kerana kesusahan dan ketakutan yang berlaku akibat kebocoran radiasi ini," kata Katsumata.
"Kami telah gagal untuk menyejukkan reaktor-reaktor terbabit. Tetapi kami melakukan usaha paling maksimum untuk menstabilkan keempat-empat reaktor itu," tambahnya.
Krisis nuklear bermula selepas sistem penyejukan reaktor-reaktor nuklear di loji Fukushima Daiichi rosak akibat gegaran kuat gempa bumi berukuran 9 pada skala Richter yang melanda pada 11 Mac lalu, disusuli oleh tsunami.
Tidak lama kemudian, beberapa letupan dan kebakaran menyebabkan kebocoran radiasi berlaku di loji tersebut.
Setakat kelmarin, tahap radiasi di dalam laut sekitar loji Fukushima Daiichi ialah 3,355 kali ganda daripada bacaan normal.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang jurutera nuklear Amerika Syarikat (AS), Michael Friedlander memberitahu stesen televisyen CNN bahawa dia bimbang kesan pencemaran air laut yang berlaku.
"Plankton menyerap radiasi, ikan memakan plankton, ikan besar pula memakan banyak ikan kecil. Justeru, kandungan radiasi akan berlaku dalam rantaian makanan," katanya.
Aktiviti menangkap ikan kini dilarang dalam lingkungan sekitar 20 kilometer dari loji Fukushima Daiichi.