Seorang budak lelaki berusia 10 tahun terkejut melihat seekor buaya jenis alligator sepanjang lebih 1 meter menyambar jorannya ketika dia memancing di sebuah terusan di sini, negeri Florida, Amerika Syarikat.
Jauh sekali melarikan diri, budak lelaki berkenaan, Michael Dasher sebaliknya bergelut dengan buaya tersebut selepas ia naik ke darat.
Dengan bantuan dua rakannya, Dasher mengikat mulut reptilia tersebut sebelum menyeret haiwan itu ke rumahnya yang terletak berdekatan kerana tidak mahu dituduh hanya mereka-reka cerita.
Dia hanya mengalami beberapa kesan calar dan luka kecil pada badannya dalam pergelutan tersebut.
"Cucu saya tidak takut pada apa-apa pun," kata datuknya yang berusia 57 tahun, Benji Cox.
Reptilia itu kemudian dibebaskan pihak berkuasa hidupan liar kerana ia tergolong dalam spesies yang dilindungi di AS dengan mereka yang menangkapnya berdepan denda AS$500 (RM1,512) dan hukuman penjara hingga 60 hari. - Agensi
Seorang lelaki, Dan Reeves menghabiskan masa selama sembilan tahun dan membelanjakan AS$45,000 (RM136,372) untuk membina sebuah pesawat ringan dua tempat duduk di dalam garaj di rumahnya di daerah Cumberland.
Jiran-jirannya hanya mengetahui dia membina pesawat itu selepas membawa kain rentang dipasang di rumahnya bagi memaklumkan kerja-kerja menarik keluar pesawatnya dari garaj bawah tanah bermula Rabu lalu.
Reeves terpaksa memecahkan dinding garajnya bagi menarik keluar pesawat itu dengan menggunakan sebuah trak, rantai dan bantuan beberapa jirannya.
Dia akan melakukan kerja-kerja akhir pada pesawatnya di sebuah hangar di Lapangan Terbang Capital City dengan menambahkan dua sayap sebelum ia terbang buat kali pertama. - Agensi

Seorang penembak upahan paling muda, Santre Sanchez Gayle yang menembak mati ibu muda, Gulistan Subasi pada Mac tahun lalu dihukum penjara seumur hidup oleh seorang hakim sebuah mahkamah di sini, lapor sebuah akhbar semalam.
Penembak upahan yang berusia 15 tahun semasa kejadian itu berlaku hanya dibayar sebanyak £200 (RM988) untuk membunuh Gulistan di rumah ibunya di Hackney, timur London dengan menggunakan selaras senapang patah.
Dia dikatakan sepatutnya menerima £2,000 (RM9,882) sebagai upah melakukan pembunuhan itu.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan Gayle membawa senapang itu di pintu masuk flat ibu muda tersebut sebelum menembaknya di bahagian dada di pintu rumah tersebut.
Ketika kejadian, ibu muda itu sedang melakukan persediaan untuk menyambut ulang tahun kelahiran seorang anaknya.
Gayle diarah untuk membunuh ibu muda itu oleh Izak Billy, 22, yang juga didapati bersalah melakukan pembunuhan dan dihukum penjara seumur hidup.
Bekas kekasih ibu muda itu, Serdar Ozbek, 28, sebelum ini dituduh mengarahkan pembunuhan itu tetapi kemudian dibebaskan bersama empat orang lagi.
Bekas kekasih itu dikatakan mengarahkan pembunuhan itu kerana bimbang Subasi akan membawa lari seorang anak lelaki mereka. – Agensi

Dua pekebun mencipta taman tergantung yang dipamerkan dalam Pertunjukan Bunga Chelsea sejak Sabtu lalu.
Taman unik sepanjang 26 meter ciptaan dua pekebun itu, Diarmuid Gavin dan Patrick Collins itu dibiarkan tergantung berhampiran Sungai Thames di sini.
Gavin berkata, dia berharap taman yang digantung pada ketinggian 25 meter itu akan mencuri perhatian pengunjung.
Taman itu digantung dengan menggunakan sebuah kren.
"Mereka yang bertuah akan dapat duduk di atas bangku di dalam taman itu dengan badan mereka dipasang abah-abah keselamatan," katanya.
Menurutnya, idea menghasilkan taman tergantung itu diambil daripada pulau tergantung Pandora dalam filem sains fiksyen Avatar yang diarahkan oleh James Cameron. - Agensi

Rahang ikan jerung terbesar di dunia dipercayai berusia dua juta tahun akan dilelong di pusat lelongan Heritage di Dallas di sini pada 21 Jun ini, lapor sebuah akhbar semalam. Ia berukuran 2.7 meter (m) panjang dan 3.3m lebar.
Menurut pengarah jabatan sejarah dan alam Heritage, David Herskowitz, bidaan minimum rahang jerung itu adalah sebanyak AS$625,000 (RM1.9 juta) tetapi dijangka dibida sehingga mencecah AS$700,000 (RM2.1 juta).
"Rahang ini memiliki empat gigi. Ia dianggap aneh. Dianggarkan kurang daripada 10 jerung spesies ini yang wujud," kata Herskowitz.
Rahang itu dihasilkan dengan 182 fosil gigi ikan jerung terbesar dunia, Carcharocles megalodon yang pupus kira-kira dua juta lalu.
Ia dihasilkan oleh pemburu fosil, Vito Bertucci yang menghabiskan masa hampir dua dekad mencari gigi untuk diletakkan pada rahang tersebut.

- Agensi

Seorang pemuda, Jon Ryder menyimpan sebuah kereta Ferrari F355 di dalam rumahnya sejak tahun lalu, lapor sebuah akhbar semalam.
Kereta buatan 1996 yang mempunyai kelajuan sehingga 294.50 kilometer sejam itu dibelinya lebih tiga tahun yang lalu.
Menurut Ryder, apabila berpindah rumah bersama isterinya pada tahun lalu, dia melihat terdapat ruang depan dalam rumahnya yang boleh diubahsuai untuk menjadi garaj menyimpan kereta idamannya itu.
Pintu 'garaj' yang menjadi laluan masuk kereta sport itu terlindung dengan kain langsir dan dia mengambil masa selama sebulan untuk melakukan pengubahsuaian.
Kereta itu berharga £83,000 (RM405,936) semasa dikeluarkan pada tahun 1990-an tetapi kini nilai kenderaan tersebut berkurangan kepada sekitar £35,000 (RM105,437).
"Saya masih tersenyum pada setiap hari kerana memiliki kereta idaman saya," kata Ryder.

- Agensi

Satu gambar rajah kapal Titanic yang digunakan dalam siasatan mengenai punca ia karam pada 1912 mungkin dilelong dengan harga £150,000 (RM451,500) dalam satu lelongan pada 28 Mei depan di Devizes, Wiltshire, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Gambar rajah sepanjang 9.93 meter itu menunjukkan bahagian kapal yang terkena bongkah ais yang menyebabkan kapal tersebut karam pada 15 April 1912 yang mengakibatkan 1,517 orang terbunuh di Lautan Atlantik.
Ia dilukis dengan menggunakan dakwat India dan dilukis di atas kain linen digantung di dalam bilik perbicaraan bagi memudahkan 100 saksi memberikan keterangan berhubung kes kapal tersebut karam.
Kapal itu karam dalam pelayaran menuju ke New York dari Southampton.

- Agensi

Seorang remaja berusia 22 tahun dilaporkan memandu sebuah kereta sport Lamborghini Murcielago bernilai AS$363,657 (RM1.1 juta) milik kawannya yang melanggar sebuah teksi, lapor sebuah akhbar semalam.
Dia memandu kereta itu pada pagi Ahad lalu sebelum hilang kawalan di sebatang jalan raya di Sydney, Australia. Lebih malang lagi, kereta tersebut kemudian bertembung dengan sebuah teksi yang mengakibatkan kedua-dua buah kereta mengalami kerosakan teruk.
Pemandu teksi itu merupakan wanita berusia 51 tahun dan dia terperangkap di dalam kenderaan lebih sejam sebelum diselamatkan dengan sebelah kakinya patah.
Pemilik kereta Lamborghini Murcielago yang berusia 30 tahun itu mungkin berdepan masalah untuk menuntut kerugian daripada syarikat insurans kerana kereta tersebut tidak diinsuranskan kepada pemandu berusia bawah 25 tahun.
Dia memberi pinjam kepada rakannya itu namun keretanya kini sukar untuk dikenali pasti kerana remuk teruk.
"Saya menganggap pemandu kereta itu berada (dirawat) dalam ambulans kedua. Sukar dipercayai dia masih boleh berjalan tanpa sebarang kecederaan," kata seorang saksi, Daisy Buckle.
Seorang lagi penumpang kereta sport itu yang berusia 26 tahun mengalami cedera ringan di bahagian dada.
Kereta sport Lamborghini Murcielago didedahkan kepada umum pada tahun 2002.
Pembuat kereta dari Itali itu menggunakan enjin bersesaran 6.2 liter V12.
Pihak polis sedang menyiasat kemalangan itu dan akan mendakwa pemandu tersebut kerana memandu secara berbahaya.
Seorang jurucakap polis mengesahkan bahawa pemandu itu tidak berada di bawah pengaruh alkohol. - Agensi


Kereta sport termahal di dunia kini bertukar takhta apabila kereta Lamborghini buatan Itali berjaya memintas pendahulu sebelum ini, Bugatti Veyron, lapor sebuah akhbar semalam.

Kereta Lamborghini Sesto Elemento itu dijual dengan perbezaan harga £170 ribu (RM830,389) dengan nilai £1.77 juta (RM8.7 juta).

Ia dibina pada tahun ini di Sant'Agata Bolognese, Itali.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Lamborghini, Stephan Winkelmann, model itu pertama kali dipamerkan dalam Pertunjukan Kereta Paris Oktober lalu.

Bagaimanapun, kereta Lamborghini Sesto Elemento yang memiliki kelajuan 321 kilometer sejam masih tidak dapat menandingi Bugatti Veyron 16.4 Grand Sport buatan Jerman dengan kelajuan maksimum 407 kilometer sejam.

Kereta terbaru Lamborghini itu menggunakan enjin 5.2 liter V10 dna beratnya kurang satu tan.

Hanya 20 buah nit kereta itu akan dibina.

Kereta Bugatti Veyron dikeluarkan di Molsheim, Alsace, Perancis.



 - Agensi
BEIJING - Fenomena baru, buah tembikai gergasi kini melanda China, sekali gus, ia mencetuskan kebimbangan terhadap tahap keselamatan buah-buahan yang boleh dimakan di negara itu.

Ia dikatakan berpunca daripada penyalahgunaan bahan kimia oleh para petani yang mahu mempercepatkan penghasilan buah tersebut.

Media tempatan melaporkan hampir 50 hektar tanaman tembikai di timur bandar Danyang dilanda fenomena buah gergasi selepas penggunaan sejenis bahan kimia yang didakwa merangsang tumbesaran buah itu dalam tempoh yang singkat.

Penggunaan bahan kimia dalam sektor pertanian didakwa tidak menjadi satu kesalahan di sisi undang-undang di negara tersebut.

Seorang penduduk mendakwa buah-buahan gergasi seperti strawberi sebesar bola ping pong dan anggur bersaiz seperti telur ayam turut ditemui di kebanyakan pasar di negara itu.

Satu pasangan suami isteri berkulit hitam begitu terkejut kerana cahaya mata baru mereka merupakan seorang bayi lelaki berkulit putih, lapor sebuah akhbar semalam.
Pasangan itu, Francis Tshibangu, 28, dan Arlette, 25, sebelum ini mempunyai seorang anak lelaki berusia dua tahun yang juga berkulit hitam.
Namun, Arlette melahirkan seorang lagi anak lelaki 11 bulan lalu yang berkulit putih dan berambut perang di sebuah hospital di sini.
Cahaya mata baharu itu didapati bukan sindrom albino yang menyebabkan penghidapnya mempunyai kulit berwarna putih.
"Saya berasa amat terkejut sehingga tidak mampu untuk bercakap dan saya dapat melihat beberapa doktor saling melihat antara satu sama lain dengan berfikir bayi itu bukan milik saya.
"Kemudian Arlette dan saya saling berpandangan dan tersenyum dan saya kemudian tahu bayi itu adalah milik kami," kata Francis yang merupakan seorang pelajar universiti jurusan antropologi.
Menurutnya, dia sudah tinggal bersama dengan isterinya selama tiga tahun dan isu mengenai kecurangan tidak pernah dipersoalkannya.
"Gambaran awal jururawat ialah Arlette mempunyai hubungan sulit. Namun, saya pasti bayi itu milik saya," tambahnya.
Dia berkata, bayi lelaki itu mewarisi hidungnya dan bibir isterinya.
Pasangan itu percaya kelahiran itu berlaku mungkin disebabkan nenek moyang Arlette pernah melahirkan anak berkulit putih enam generasi lalu.

 - Agensi
WASHINGTON - Sesuai untuk mereka yang tidak mempercayai pasangan masing-masing, ciptaan terbaru ini dipercayai boleh mendapatkan semula pesanan ringkas dan mesej yang telah dibuang daripada telefon bimbit seseorang.

Pemacu simpanan data mudah alih (USB) yang digelar iRecovery Stick ini direka untuk mendapatkan semula maklumat yang telah dipadam daripada telefon bimbit iPhone keluaran syarikat Apple.

Ia juga mampu mengesan maklumat panggilan, buku telefon dan pemetaan, yang akan menunjukkan destinasi dilawati pengguna telefon itu.

Tdak hairan, alat kecil itu begitu diminati individu yang mengesyaki pasangan mereka mempunyai hubungan dengan orang lain.

“Pemacu USB ini sesuai untuk semua orang termasuk isteri dan suami yang mengesyaki pasangan masing-masing dan kekasih,” kata jurucakap syarikat pengeluar Paraben, Ray Couch.

“Ia juga disasarkan kepada majikan dan polis,” katanya.
Seorang lelaki di Nigeria, Bello Maasaba berusia 87 tahun telah berkahwin dengan 107 wanita dan memiliki 185 orang anak, lapor sebuah akhbar kelmarin. Anak bongsunya baru berusia sebulan.
Bekerja sebagai seorang pengamal perubatan Islam, Bello kini memiliki 86 isteri berusia dari 19 tahun hingga 64 tahun. Sembilan isterinya telah meninggal dunia manakala dia menceraikan 12 yang lain.
"Saya mendapat ilham daripada Tuhan yang memberitahu saya wanita yang mana patut saya berkahwin," kata warga emas tersebut.
"Tanpa ilham tersebut, saya tidak akan mengahwini lebih daripada dua isteri," tambahnya. Dia tinggal bersama keluarganya di sebuah rumah yang memiliki 89 bilik di sini.
Seluruh keluarganya termasuk mertua, ipar, sepupu dan anak saudara kini berjumlah sekitar 5,000 orang.
Bello pernah dipenjara tiga tahun lalu apabila dia enggan menceraikan semua isterinya kecuali empat isterinya seperti yang diarahkan pihak berkuasa agama Islam Nigeria.
Semasa kes itu dibicarakan, puluhan isterinya memberi keterangan bahawa mereka berkahwin dengan ikhlas. Selepas mendengar keterangan 57 wanita, hakim mahkamah terbabit mengarahkan supaya Bello dibebaskan.
Mengenai kehebatannya di ranjang, Bello memberitahu, ia adalah anugerah Tuhan. "Sekiranya saya gagal memuaskan isteri-isteri saya, mereka akan meninggalkan saya," ujarnya.

- Agensi
Kapal mewah milik dua bilionair terkenal, Roman Abramovich dari Rusia dan Paul Allen yang merupakan pengasas syarikat perisian komputer, Microsoft menjadi tumpuan media semalam.
Kapal mewah milik Abramovich yang juga pemilik kelab bola sepak Chelsea diberi nama Luna, sepanjang 114.90 meter berlabuh dekat bandar Antibes, Perancis baru-baru ini.
Ia memiliki sebuah kolam renang dan tempat pendaratan helikopter, tingkap kalis peluru dan setiap bilik mengandungi skrin pawagam sebesar televisyen.
Namun, kapal milik Allen sepanjang 126.18 meter yang diberi nama Octopus pula mempunyai gelanggang bola keranjang dan dua tempat pendaratan helikopter.
Kapal pengasas bersama Microsoft itu dilengkapi dua kapal selam kecil, sebuah kolam renang dan sebuah studio muzik.
Allen menggunakan kapal itu untuk berparti.
Kedua-dua lelaki itu berada dalam senarai 100 individu paling kaya di dunia dengan Abramovich berada di tempat ke-53 dan Allen di tangga 57.
Kedua-dua kapal itu juga berlabuh dekat bandar Antibes, Perancis baru-baru ini. - Agensi

Bos perlumbaan kereta Formula Satu (F1), Bernie Ecclestone membiayai penyanyi Rihanna yang menaiki sebuah helikopter dari Paris ke London untuk menghiburkan tetamu dalam majlis pertunangan anaknya, lapor sebuah akhbar semalam.
Selain Rihanna, sebuah kereta Bugatti Veyron F1 yang bernilai £800,000 (RM3.92 juta) dan dianggap kereta terbaik pernah dihasilkan turut dipamerkan dalam majlis pertunangan itu.
Rihanna dibayar £250,000 (RM1.22 juta) untuk menyanyikan enam buah lagu.
Majlis pertunangan anak perempuan Bernie, Petra dengan seorang ahli perniagaan, Jamie Stunt berlangsung baru-baru ini.
Ia diadakan di dewan Stesen Kuasa Battersea di sini dan dihadiri 300 tetamu Petra termasuk kerabat diraja Britain, Puteri Beatrice dan kekasihnya, Dave Clark.
Kereta Bugatti Veyron berwarna putih itu dibawa dengan menggunakan sebuah lori.

- Agensi
Satu cahaya ganjil yang menjelma pada waktu malam sehingga menarik perhatian pemerhati angkasa lepas didapati berasal dari sebuah satelit komunikasi tentera milik Rusia, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Cahaya berwarna biru itu muncul di bandar Ekaterinburg di kawasan pergunungan Ural sehingga menyebabkan terdapat sangkaan sebelum ini bahawa ia merupakan objek terbang tidak dikenali (UFO).
Rusia mempunyai lebih 100 satelit di orbit.
Cahaya itu dihasilkan apabila booster roket terpisah dan jatuh di bumi.
Booster roket itu milik kapal angkasa Soyuz-2 yang membawa satelit Meridian 4 yang dilancarkan pada Rabu lalu dari pusat angkasa lepas Plesetsk, utara Rusia pada pukul 9.41 malam.
Kapal angkasa itu terdiri daripada pelbagai bahagian termasuk booster yang setiap satunya mengandungi enjin dan akan dilepaskan selepas kehabisan minyak. - Agensi
Kediaman di mana pemimpin Al-Qaeda, Osama Laden di-tembak mati tentera Amerika Syarikat (AS) mula menjadi tarikan pelancong tempatan dan luar negara.

Sejak kematian Osama diumumkan, ratusan pelawat membanjiri kawasan di pinggir bandar Abbottabad, Pakistan.

Pintu masuk utama di kediaman itu ditutup dan dikawal anggota keselamatan, namun orang ramai dibenarkan berada di kawasan berhampiran selepas pihak berkuasa Pakistan menjalankan siasatan.

Seorang penduduk tempatan, Ali Abbas, 43, memulakan kempen untuk menjadikan rumah terakhir Osama itu sebagai tarikan pelancongan rasmi yang didakwa akan menarik perhatian pelancong dari Eropah dan AS.

“Orang Barat tentu akan datang jika rumah ini diisytihar sebagai lokasi pelancongan rasmi dan ini akan memberi manfaat besar kepada bandar ini,” katanya.

Menurutnya, kediaman itu perlu dibiarkan dalam keadaan asal dan menjadi sebahagian daripada sejarah dunia.
Seorang penyeludup dadah ditangkap polis di negeri Santa Catarina selepas identitinya dikenal pasti menerusi 12 jarinya.
Menurut seorang pegawai polis, Enio de Oliveira Matos, pada mulanya penyeludup dadah itu menunjukkan identiti dirinya dengan menggunakan dokumen pengenalan milik adiknya menyebabkan pihak berkuasa tidak dapat menangkapnya, baru-baru ini.
Matos berkata, pihak polis kemudian mendapatkan maklumat daripada Institut Identitifikasi di negeri Parana iaitu lokasi tempat penyeludup tersebut dilahirkan.
Berdasarkan maklumat institut itu, setiap tangan penyeludup tersebut mempunyai enam jari.
Ekoran pengesahan tersebut, pihak polis kemudian menangkap penyeludup tersebut dengan jarinya sebagai bukti identiti dirinya sebagai penyeludup dadah.

- Agensi
WASHINGTON - Beberapa jam selepas Amerika Syarikat (AS) mengumumkan dengan bangganya Osama Laden berjaya dibunuh, gambar pemimpin Al-Qaeda dengan muka dipenuhi darah mula tersebar di Internet.

Foto itu disiarkan oleh sebuah stesen televisyen di Pakistan, di mana Osama dibunuh dalam satu operasi pasukan khas AS yang dijalankan, awal pagi kelmarin.

Namun foto yang dikatakan dikeluarkan oleh pasukan tentera AS itu ternyata palsu.

Foto itu mungkin dihasilkan pihak mahu menjadi yang pertama dalam menyiarkan mayat Osama tetapi penipuan itu ternyata hanya mencetuskan lebih banyak spekulasi masyarakat dunia.

Dan mereka masih menunggu foto asli yang sepatutnya dikeluarkan oleh pentadbiran Obama sebagai bukti kematian Osama.

Malang datang bertimpa buat seorang lelaki apabila dia disambar petir sebanyak dua kali dalam tempoh tidak sampai seminit, lapor sebuah akhbar semalam.
Lelaki berkenaan sedang berjoging di sebatang jalan raya di pinggir sebuah bandar di Amerika Syarikat pada 11 April lalu apabila insiden itu dirakam kamera video litar tertutup (CCTV).
Ketika kejadian, mangsa disambar petir dan tersungkur ke tanah. Selepas mengambil nafas dan menenangkan dirinya, dia bangkit semula 15 saat kemudian.
Dia sempat berjalan beberapa meter apabila petir sekali lagi menyambarnya menyebabkan dia rebah ke tanah semula.
Lelaki tersebut yang kelihatan bingung memikirkan tentang apa yang sebenarnya telah berlaku kemudian bangun semula dan meninggalkan tempat kejadian.
Rakaman video luar biasa itu mencetuskan sensasi di YouTube dengan beribu-ribu orang memberitahu, mereka terkejut melihat lelaki itu terselamat dalam kejadian tersebut.

- Agensi

Para peminat sukan golf boleh merasai pengalaman bermain golf di atas gugusan pulau tera- pung yang dihubungkan dengan beberapa terowong dasar laut menjelang tahun 2015, lapor sebuah akhbar semalam.
Sebuah syarikat Belanda mengumumkan rancangan membina padang golf terapung tersebut di kepulauan Maldives yang menelan belanja kira-kira AS$500 juta (RM1.48 bilion).
Menampilkan padang golf 18 lubang yang dihubungkan dengan terowong dasar laut, setiap pulau terapung di Lautan Hindi itu memiliki dua atau tiga lubang.
Pulau terapung itu akan turut mempunyai beberapa hotel mewah bagi kemudahan para pengunjungnya.
Pembinaannya akan menitikberatkan aspek alam sekitar. Apabila siap kelak ia bakal dilengkapi janakuasa solar dan mesin memproses air laut untuk dijadikan air bersih.

- Agensi