SANTIAGO - Sejumlah fosil ikan paus prasejarah ditemui di padang pasir paling kering dunia, Gurun Atacama di utara Chile.
Penemuan itu berlaku secara tidak sengaja semasa pekerja-pekerja sedang meluaskan sebuah lebuh raya melintasi gurun berkenaan pada Jun tahun lalu tetapi projek tersebut telah dihentikan.
Setakat ini, fosil-fosil itu ditemui di sebuah kawasan sepanjang 240 meter atau berkeluasan dua buah padang bola sepak di lebuh raya berkenaan.
Seorang saintis Institusi Smithsonian yang mengkaji penemuan tersebut, Nicholas Pyenson berkata, lokasi berkenaan merupakan sebuah lagun pada masa dahulu.
Menurutnya, ikan-ikan paus itu dipercayai mati antara dua juta hingga tujuh juta tahun lalu.
Lebih 75 ekor fosil ikan paus ditemui setakat ini termasuk 20 rangka yang sempurna.
"Saya berpendapat ikan-ikan paus itu mati pada masa yang sama," kata Pyenson.
Kebanyakan fosil tersebut merupakan ikan paus baleen yang berukuran sekitar lapan meter atau sebesar sebuah bas.
- AP
TORONTO, Kanada - Pihak pengurusan Zoo Toronto di sini mengumumkan bahawa mereka akan memisahkan dua ekor penguin jantan di zoo berkenaan selepas kedua-dua haiwan tersebut menonjolkan perlakuan gay.
Dalam satu kenyataan media kelmarin, pihak Zoo Toronto memberitahu bahawa keputusan memisahkan dua ekor penguin Afrika bernama Pedro dan Buddy itu dibuat bagi mengekalkan kesinambungan spesies terancam berkenaan.
Menurut kenyataan sama, Pedro dan Buddy akan disatukan semula selepas 'mereka' mengawan dengan penguin betina lain di zoo berkenaan.
- Reuters
Menurut seorang ahli biologi Universiti Tengah Florida, Daniel Parker, ular berkepala dua telah didokumentasikan hidup selama 20 tahun dalam kurungan.MIAMI, Amerika Syarikat (AS) - Seekor anak ular susu albino yang baru menetas di sebuah pusat penetasan haiwan itu di Ridge Manor, Florida didapati mempunyai dua kepala baru-baru ini.
Namun, katanya, dengan dua otak mengawal badan ular itu, haiwan itu sukar untuk terus hidup dalam alam hidupan liar.
Ular dikategorikan albino jika ia mempunyai warna merah, oren dan putih. Menurut mitos, ular susu dikatakan menyedut susu daripada kantung susu lembu. Namun, sebenarnya ular itu hidup di dalam bangsal dan suka suasana gelap dan sejuk. Ia tidak berbisa dan makan cicak, burung, serangga dan mamalia kecil.
- Agensi
PARIS - Para saintis mencipta sebuah robot yang boleh memanjat dinding tegak tanpa menggunakan gam, lekapan dan cecair melekap.
Robot seberat 240 gram itu mempunyai tapak yang diliputi dengan mikrofiber kering yang direka berdasarkan bulu jari kaki cicak.
Cicak boleh bergerak di dinding kerana terdapat bulu terlalu halus yang dikenali sebagai setae.
Tapak robot itu dilengkapi dengan mikrofiber polimer yang selebar 0.017 milimeter (mm) dan setinggi 0.01mm.
Rambut manusia hanya setebal 0.1mm.
Robot itu memanjat 3.4 sentimeter pada setiap satu saat.
Penerangan mengenai robot itu dijelaskan dalam jurnal Britain,
Smart Materials and Structure.
Menurut ketua penyelidik projek itu dari Universiti Simon Fraser di Burnaby, wilayah British Columbia di Kanada, Jeff Krahn, robot itu masih lagi dalam peringkat prototaip.
- AFP
Seorang bayi perempuan seberat 2.5 kilogram dilahirkan tengah malam semalam, di sebuah hospital di Manila, Filipina, dianggap secara simbolik sebagai individu ketujuh bilion di dunia.
Menurut laporan, Danica Camacho, anak kepada pasangan Camille dan Florante Camacho, dilahirkan beberapa minit sebelum tengah malam.
Setiausaha Kesihatan Filipina, Enrique Ona berkata, pihaknya akan menghantar nama dan masa kelahiran bayi itu kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia untuk mengetahui sama ada Danica adalah bayi ketujuh bilion dunia.
PBB sebelum ini menjangkakan penduduk ketujuh bilion dunia akan dilahirkan, semalam, namun tiada pengesahan tepat dapat dilakukan mengenai siapa menjadi individu bertuah itu.
Negara lain di seluruh dunia turut menyambut kelahiran bayi di negara masing-masing sejurus tengah malam semalam sebagai simbolik populasi dunia kini mencecah tujuh bilion orang.