Gerhana cetus 'lingkaran api'
Kombinasi foto kejadian bulan menutup permukaan matahari yang mencetuskan gerhana anulus.

JUTAAN penduduk Australia tidak melepaskan peluang melihat keindahan cakerawala dikenali sebagai 'lingkaran api' atau gerhana matahari dalam tempoh enam bulan di utara negara, kelmarin.

Dipetik MailOnline, kejadian alam yang turut digelar gerhana matahari anulus itu bagaimanapun tidak begitu dramatik seperti yang berlaku pada tahun lalu kerana jarak Bumi terlalu jauh dan bulan kelihatan kecil serta gagal menutup penuh matahari.

Berlainan pula pada November lalu, ratusan pelancong asing serta pasukan saintis berhimpun di wilayah timur laut Australia bagi menyaksikan gerhana matahari penuh yang menggelapkan keseluruhan kawasan itu.

"Gerhana anulus ini memberi peluang kepada kita untuk melihat satu lingkaran cahaya berbentuk cincin yang cukup indah di langit.

"Ia adalah gerhana anulus yang memalapkan cahaya matahari berbanding dengan gerhana matahari penuh yang pada dasarnya waktu siang bertukar menjadi malam," kata ahli astronomi tempatan, Andrew Jacob.

Gerhana anulus selama enam minit itu berlaku di seluruh wilayah selatan Australia sebelum bergerak ke timur melalui Wilayah Utara dan Queensland.

Pertindihan bulan dan planet terbesar itu turut memberi peluang kepada penduduk di Papua New Guinea, Kepulauan Solomon, pulau kecil Kiribati, Indonesia, New Zealand serta Lautan Pasifik untuk menyaksikannya.
Semut boleh kesan gempa
Kumpulan semut akan meleraikan habitatnya ketika gempa akan berlaku

MANUSIA hanya boleh mengetahui kehadiran gempa bumi apabila dapat merasai gegarannya.

Dipetik OurAmazing Planet, penelitian dilakukan sekumpulan penyelidik Jerman mendapati, gempa boleh dirasai lebih awal oleh semut merah hutan.

Penelitian dilakukan Gabriele Berberich dari University Duisburg-Essen di Jerman mendakwa, perilaku semut akan berubah ketika gempa akan berlaku di mana kumpulan semut akan menunjukkan reaksi ‘kegelisahan’ apabila pola kehidupannya terancam.

Beliau mendapati, perubahan akan berlaku pada perilaku semut hasil rangsangan  reseptor yang milikinya.

“Ketika gempa akan berlaku, perubahan ketara akan terjadi pada magnet bumi. Semut memiliki reseptor sangat sensitif iaitu reseptor chemoreceptor untuk mengesan karbon dioksida dan reseptor magnetoreceptor sebagai memantau elektromagnet bumi,” katanya.

Menurutnya, dari dua ujian dalam tiga fasa getaran, kesemua semut dari 15 ribu sarang akan bertindak meleraikan sarangnya dengan berpindah ke kawasan lebih selamat.
Tulang gergasi cetus misteri
Bangkai misteri ditemui orang awam di pantai Bay of Plenty, Auckland.

SATU bangkai reput berukuran 9.1 meter ditemui terdampar di pantai Bay of Plenty, Auckland, New Zealand, mengundang persoalan sama ada ia spesies reptilia atau raksasa laut.

Dipetik MailOnline, kejadian itu terbongkar menerusi rakaman video Youtube oleh seorang wanita, Elizabeth Ann, bulan lalu.

Rakaman tersebut menunjukkan, bangkai haiwan misteri itu mempunyai rahang gergasi, bergigi tajam dengan sebahagian anggota badannya hilang.

Menurut suara rakaman itu, bangkai reput tersebut amat panjang dan bahagian bawah badannya terputus akibat diserang atau terkena benda tajam.

"Makhluk laut yang sangat besar ini mungkin dihanyutkan ke pantai selepas ribut," kata Ann.

Sementara itu, beberapa saintis tempatan tidak menolak sama ada ia adalah bangkai seekor buaya tembaga, belut moray, ikan lumba-lumba atau dinosaur.

Bagaimanapun, rakaman bangkai misteri itu dihantar ke Jabatan Pemuliharaan dan Akuarium Kelly Tarlton, New Zealand bagi penyelidikan.