Sebuah syarikat alat muzik digital, Misa Instruments membina gitar yang dimainkan dengan memetik tali 'maya' pada skrin sesentuhnya, lapor sebuah akhbar semalam
Dinamakan Kitara dan dibina untuk generasi iPhone, gitar berkenaan memiliki skrin sesentuh, alat sintesis muzik dan tali maya yang boleh memainkan 100 bunyi yang berlainan.
Alat itu yang boleh dimainkan seperti gitar biasa dijual pada harga £3,200 (RM9,660) sebuah.

- Agensi

Seorang bekas askar Britain yang menjadi ahli perniagaan, Paul Haynes menghiasi sebuah kereta kebal yang dibelinya tiga tahun lalu dengan televisyen dan sistem bunyi, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Haynes yang juga bekas askar yang ditugaskan memandu kereta kebal turut memandu kenderaan berkenaan di jalan raya di sini.
"Orang ramai berhenti dan memandang kereta kebal ini sebelum merakamkan gambar, melambaikan tangan dan memberikan senyuman," katanya merujuk kepada kereta kebal tersebut.
Kereta kebal itu menggunakan enjin Rolls-Royce enam silinder dan dikeluarkan di sebuah kilang di Coventry sejak tahun 1966.
Ia kini dilelong di laman e-Bay dengan harganya bakal mencecah £12,000 (RM59,269).
Hasil wang lelongan itu akan disumbangkan kepada dana kebajikan untuk membantu kehidupan askar-askar Britain yang dikenali sebagai Help For Heroes.

- Agensi