Angkasawan Amerika Syarikat, Neil Armstrong dilaporkan telah meninggal dunia akibat satu komplikasi pembedahan.

Agensi berita AFP melaporkan, doktor menemui sekatan di saluran darah Armstrong, 82, yang menjalani pembedahan jantung pada awal bulan ini.

Keluarga Armstrong dilaporkan berkata, mereka sedih dengan pemergian perintis angkasa lepas itu yang sering memencilkan diri daripada perhatian media.

Siaran televisyen pada 20 Julai 1969 menunjukkan Armstrong dan seorang lagi angkasawan dalam pesawat Apollo 11, Edwin "Buzz" Aldrin mendarat di permukaan bulan.

Armstrong menerima sanjungan ramai tokoh Amerika Syarikat termasuk presiden negara itu, Barack Obama menyifatkan angkasawan tersebut sebagai "wira Amerika".


CHICAGO - Satu tengkorak yang ditemui di dalam sebuah gua di Laos mungkin merupakan fosil manusia yang paling tua pernah ditemui di Asia Tenggara, menurut satu kajian yang disiarkan kelmarin. Tengkorak yang ditemui di kawasan pergunungan Annamite itu dipercayai berusia antara 46,000 hingga 63,000 tahun.
Penemuan itu memperkukuhkan kajian genetik sebelum ini yang mempercayai manusia moden tinggal di kawasan tersebut sejak 60,000 tahun lalu.
Tengkorak itu ditemui pada kedalaman lebih dua meter di gua tersebut pada tahun 2009.
Kajian tentang tengkorak itu disiarkan dalam jurnal Proceedings of the National Academy of Sciences. - AFP