Seorang budak lelaki berusia 10 tahun terkejut melihat seekor buaya jenis alligator sepanjang lebih 1 meter menyambar jorannya ketika dia memancing di sebuah terusan di sini, negeri Florida, Amerika Syarikat.
Jauh sekali melarikan diri, budak lelaki berkenaan, Michael Dasher sebaliknya bergelut dengan buaya tersebut selepas ia naik ke darat.
Dengan bantuan dua rakannya, Dasher mengikat mulut reptilia tersebut sebelum menyeret haiwan itu ke rumahnya yang terletak berdekatan kerana tidak mahu dituduh hanya mereka-reka cerita.
Dia hanya mengalami beberapa kesan calar dan luka kecil pada badannya dalam pergelutan tersebut.
"Cucu saya tidak takut pada apa-apa pun," kata datuknya yang berusia 57 tahun, Benji Cox.
Reptilia itu kemudian dibebaskan pihak berkuasa hidupan liar kerana ia tergolong dalam spesies yang dilindungi di AS dengan mereka yang menangkapnya berdepan denda AS$500 (RM1,512) dan hukuman penjara hingga 60 hari. - Agensi

KIEV, Ukraine - Seekor buaya berusia 14 tahun, Gena enggan makan sebarang makanan selepas ia menelan satu telefon bimbit milik seorang wanita yang terjatuh ke dalam kurungan haiwan itu di sebuah akuarium di bandar Dnipropetrovsk.
Pada mulanya, para pekerja akuarium itu tidak percaya dakwaan wanita tersebut yang berumur 20-an bahawa telefon bimbitnya ditelan buaya tersebut.
"Namun, apabila telefon itu berbunyi dan bunyinya datang dari dalam perut buaya tersebut, kami mengetahui dia (ibu tersebut) tidak berbohong," kata seorang pekerja di akuarium berkenaan, Alexandra.
Wanita berkenaan terjatuh telefon itu semasa dia mahu merakamkan aksi buaya tersebut sedang membuka mulutnya.
Ekoran tertelan telefon itu, buaya tersebut tidak makan selama empat minggu dan kelihatan murung dan sakit.
Alexandra berkata, kelakuan buaya jantan tersebut berubah selepas ia menelan telefon itu kerana ia kini bergerak amat perlahan dan kurang berenang berbanding sebelum ini.
Ketua doktor haiwan, Oleksandr Shushlenko berkata, jika buaya berkenaan masih enggan memakan sebarang makanan, haiwan itu akan menjalani pemeriksaan sinar X.

- AP/Kosmo



MIAMI, Amerika Syarikat - Gambar seekor buaya berwarna oren dirakamkan di Sorrento Woods, Venice di sini berhampiran rumah seorang nenek, Sylvia Methen baru-baru ini.
Menurut Methen yang berusia 74 tahun, dia tidak menyangka dapat melihat buaya tersebut semasa pulang dari tempat kerja.
"Saya menganggap ia (haiwan itu) hebat. Saya merakamkan gambar dan menghantarnya kepada cucu saya supaya mereka menganggap saya salah seorang nenek yang hebat di Florida," katanya.
Bukan dia sahaja dapat melihat seekor buaya itu tetapi seorang lagi saksi, Phillip Crosby turut melihat haiwan tersebut.
"Haiwan itu berjemur di atas simen," katanya.
Menurutnya, dia dapat melihat buaya itu dari dalam keretanya.
"Haiwan itu memang berwarna oren. Kulitnya berwarna oren," kata Crosby.
Namun, pakar-pakar hidupan liar yang meneliti gambar itu menyatakan haiwan berkenaan dipercayai berwarna oren kerana ia terkena bahan mengandungi warna tersebut.

- Agensi/Kosmo