ORLANDO, Amerika Syarikat (AS) - Satu keping duit syiling satu sen (RM0.03) pada tahun 1793 dilelong pada harga AS$1.38 juta (RM4.34 juta) pada satu lelongan di Florida.
Seorang kakitangan firma Heritage Auctions, James Halperin memberitahu kelmarin bahawa nama orang yang membelinya tidak didedahkan tetapi dia merupakan seorang pengumpul duit.
Duit tersebut dibuat di Mint di Philadelphia pada 1793 iaitu tahun pertama AS menghasilkan duitnya sendiri.
Salah seorang pemilik awal duit tersebut ialah seorang ahli perbankan dari Baltimore, Louis E. Eliasberg, Sr.
Eliasberg diberi nama jolokan raja duit syiling sebelum kematiannya pada 1976.
Dia menyimpan koleksi yang mengandungi sekurang-kurangnya satu keping contoh duit syiling yang telah dikeluarkan oleh kilang syiling AS, Unites States Mint. - AP

SEREMBAN - Kilometer 243 Lebuh Raya Utara-Selatan menghala ke selatan berhampiran susur keluar Pedas dekat sini yang sentiasa sibuk semalam bagaikan 'pesta' apabila orang ramai berebut-rebut mengutip duit syiling yang bertaburan di lebuh raya itu.
'Pesta' itu berlaku apabila sebuah kenderaan Toyota Hilux yang membawa satu peti duit syiling berjumlah RM75,000 terlibat dalam kemalangan.
Dalam kejadian pada pukul 3 petang itu, peti tersebut tercampak keluar dari pacuan empat roda itu selepas kenderaan itu dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta BMW.
Akibatnya ribuan duit syiling 10 sen, 20 sen dan 50 sen bertaburan di lebuh raya sepanjang kira-kira 100 meter.
Keadaan itu menyebabkan ramai pengguna jalan raya menghentikan kenderaan masing-masing di bahu jalan untuk mengutip duit syiling.
Kehadiran beberapa anggota polis dan pekerja lebuh raya gagal menyuraikan orang ramai yang terus mengutip duit syiling tanpa menghiraukan keselamatan mereka.
Orang ramai meninggalkan lokasi itu selepas duit syiling itu habis dikutip tiga jam kemudian.