Jepun akhirnya mengaku kalah dalam usaha mengekang pencemaran radiasi di empat reaktor nuklear loji Fukushima Daiichi yang rosak dan akan menutup kesemua reaktor berkenaan, lapor sebuah akhbar semalam.
Beberapa pegawai berkata, dalam sedikit masa lagi, semua bekalan kuasa ke reaktor-reaktor itu akan ditutup, manakala usaha untuk menyejukkan batang-batang bahan api nuklear akan dihentikan.
Langkah terakhir, melibatkan proses mencurahkan bertan-tan konkrit untuk menimbus reaktor-reaktor itu. Sekali gus memastikan tiada radiasi yang bocor keluar.
Perkembangan itu berlaku selepas agensi keselamatan nuklear Jepun mendedahkan bahawa bacaan radiasi di dalam laut sekitar loji Fukushima Daiichi melonjak sebanyak 4,385 kali ganda berbanding takat yang dibenarkan.
Pengumuman dramatik tentang penutupan semua empat reaktor itu dibuat pada Selasa lalu oleh Pengerusi Syarikat Tenaga Elektrik Tokyo (TEPCO), Tsunehisa Katsumata yang mengendalikan loji nuklear tersebut. .
Loji Fukushima Daiichi terletak sekitar 240 kilometer dari ibu negara Jepun, Tokyo.
Katsumata berkata, beliau berasa kasihan kepada orang ramai yang terpaksa meninggalkan kediaman mereka atau terpaksa tinggal di dalam rumah disebabkan oleh krisis nuklear berkenaan.
"Saya memohon maaf kerana kesusahan dan ketakutan yang berlaku akibat kebocoran radiasi ini," kata Katsumata.
"Kami telah gagal untuk menyejukkan reaktor-reaktor terbabit. Tetapi kami melakukan usaha paling maksimum untuk menstabilkan keempat-empat reaktor itu," tambahnya.
Krisis nuklear bermula selepas sistem penyejukan reaktor-reaktor nuklear di loji Fukushima Daiichi rosak akibat gegaran kuat gempa bumi berukuran 9 pada skala Richter yang melanda pada 11 Mac lalu, disusuli oleh tsunami.
Tidak lama kemudian, beberapa letupan dan kebakaran menyebabkan kebocoran radiasi berlaku di loji tersebut.
Setakat kelmarin, tahap radiasi di dalam laut sekitar loji Fukushima Daiichi ialah 3,355 kali ganda daripada bacaan normal.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang jurutera nuklear Amerika Syarikat (AS), Michael Friedlander memberitahu stesen televisyen CNN bahawa dia bimbang kesan pencemaran air laut yang berlaku.
"Plankton menyerap radiasi, ikan memakan plankton, ikan besar pula memakan banyak ikan kecil. Justeru, kandungan radiasi akan berlaku dalam rantaian makanan," katanya.
Aktiviti menangkap ikan kini dilarang dalam lingkungan sekitar 20 kilometer dari loji Fukushima Daiichi.
Operasi itu dilakukan bertujuan supaya batang bahan bakar dalam reaktor dan kolam penghadang ditenggelami air bagi mengurangkan pendedahan bahan pada udara dan menyebabkan bahan radioaktif tersebar ke alam sekitar.
Sebelum ini radiasi bocor dari reaktor nuklear itu tetapi dalam kadar yang masih tidak dianggap membahayakan kesihatan manusia.
Menteri Pertahanan Jepun, Toshimi Kitazawa berkata, sebanyak 11 kenderaan tentera juga akan dihantar bagi menyertai usaha untuk menyejukkan reaktor itu.
Agensi Keselamatan Nuklear Jepun menyatakan keutamaan akan diberikan kepada reaktor nombor tiga dan empat yang kemungkinan berada pada tahap terlalu panas.
Menurut seorang jurucakap loji nuklear itu yang dikendalikan syarikat Tokyo Elektric Power Co (TEPCO), kolam penghadang di reaktor nombor empat seperti sudah ditenggelami air pada Rabu lalu berdasarkan kepada pemerhatian dari helikopter.
"Kami tidak pasti berapa banyak air sudah berada di dalam reaktor tersebut dan kami juga tidak mempunyai informasi berapa banyak batang bahan bakar yang sudah terdedah," kata seorang jurucakap TEPCO.
Sebelum ini, pekerja-pekerja TEPCO sedang berusaha membaikpulih bekalan tenaga sistem penyejukan yang lumpuh ketika serangan gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun.
Loji itu pernah meletup sebanyak empat kali selepas ia rosak akibat gegaran gempa bumi yang berpusat di timur laut Jepun pada Jumaat lalu.
Gempa bumi kuat itu turut menyebabkan ombak tsunami setinggi 10 meter berlaku dan melanda kawasan di utara dan timur Jepun.
- Agensi
TOKYO - Igauan tragedi letupan loji nuklear Chernobyl di Ukarine yang mengorbankan hampir 9,000 nyawa kembali menghantui rakyat Jepun selepas awan radioaktif kesan daripada siri letupan di stesen tenaga nuklear Fukushima dibimbangi akan sampai ke ibu negara Jepun, dalam tempoh beberapa jam, lapor sebuah akhbar semalam.
Amaran itu dikeluarkan selepas kerajaan Jepun semalam membuat pengumuman bahawa radiasi dari loji nuklear milik Syarikat Tenaga Elektrik Tokyo (TEPCO) itu kini merupakan ancaman terhadap nyawa manusia.
Loji tersebut yang memiliki empat reaktor nuklear, terletak sekitar 245 kilometer dari Tokyo.
Tahap radiasi atau pencemaran radioaktif yang boleh menyebabkan kanser meningkat dengan mendadak di kawasan sekitar loji tersebut selepas reaktor No.4 terbakar semalam disyaki akibat satu letupan.
Sejak minggu lalu berlaku tiga letupan melibatkan beberapa reaktor di loji nuklear berkenaan.
Selepas kebakaran pada reaktor No. 4 berlaku, bacaan pencemaran radiasi di kawasan sekitarnya melonjak jauh melepas tahap selamat kepada 400 millisieverts sejam (mSv/j). Pendedahan radiasi yang selamat untuk manusia adalah cuma setakat 3mSv untuk setahun.
Tidak lama selepas itu, Kedutaan Perancis di sini pula memberi amaran bahawa awan radioaktif boleh sampai ke ibu negara Jepun itu dalam masa cuma beberapa jam.
Dalam nada serupa, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), turut mendedahkan bahawa radiasi daripada reaktor nuklear itu telah dibebaskan ke udara.
Mengulas mengenai perkembangan tersebut, Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan ketika berucap di televisyen tempatan, buat kali pertama mengakui bahawa radiasi telah tersebar dari loji nuklear Fukushima.
"Tahap radiasi itu amat tinggi dan risiko lebih banyak radiasi tersebar juga sangat tinggi," kata Kan.
"Kami sedang melakukan segala usaha untuk menghalang kebocoran radiasi itu daripada terus tersebar. Saya faham bahawa orang ramai kini bimbang tetapi saya merayu anda supaya bertenang," tambahnya.Radiasi boleh membunuh dan mengubah sel badan manusia yang menyebabkan penyakit barah. Setakat semalam, tahap radiasi yang tinggi dicatatkan di Ibaraki, sebuah bandar yang berada sekitar 128 kilometer dari sini.
Di bandar Saitama, dekat sini, tahap pencemaran radiasi yang direkodkan pula adalah 40 kali ganda lebih tinggi daripada normal.
Setakat ini, kerajaan Jepun telah mengkuarantin 150 orang kerana mereka dikhuatiri terdedah kepada pencemaran radiasi.
Pihak berkuasa turut mengambil langkah membersihkan pencemaran radiasi melibatkan 23 orang yang berada berhampiran loji nuklear di Fukushima.
Kerajaan Jepun meminta penduduk yang tinggal dalam lingkungan 32 kilometer dari loji nuklear Fukushima supaya tinggal di dalam rumah, menutup semua tingkap dan berhenti menggunakan penghawa dingin sebagai langkah keselamatan.
Lebih 100,000 orang dipercayai berada dalam zon tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, negara-negara luar bermula dengan China mula memindahkan rakyat mereka dari sini kerana bimbang tentang pencemaran radiasi. Setakat ini, beberapa negara asing termasuk Austria dan Perancis mengumumkan akan memindahkan kedutaan mereka ke bandar Osaka yang terletak 400 kilometer dari Tokyo.
Sementara itu, gempa bumi kuat berukuran 9 pada skala Richter yang melanda timur Jepun pada Jumaat lalu memusnahkan kawasan seluas sehingga berpuluh-puluh kilometer dan menyebabkan lebih 550,000 orang hilang tempat tinggal.
- Agensi


