Pekerja di loji nuklear Jepun yang rosak akibat gempa kuat, bulan lalu, mula mengepam keluar air yang mengandungi tahap radioaktif tinggi daripada sebuah reaktor, semalam, iaitu langkah penting bagi memulihkan semula sistem penyejukan di loji itu.
Gempa sekuat 9.0 pada skala Richter yang melanda timur laut Jepun pada 11 Mac lalu menjejaskan bekalan tenaga di loji Fukushima Daiichi dan menyebabkan sistem penyejukan gagal berfungsi sehingga mencetuskan beberapa letupan.
Bagi menghalang bencana nuklear berlaku, pekerja terpaksa mengepam ribuan tan air laut ke dalam reaktor bagi menyejukkan teras nuklear sekali gus menghasilkan takungan air yang mengandungi radioaktif tinggi.
Pengendali loji, syarikat Tokyo Electric Power mengumumkan usaha mengurangkan kebocoran loji itu dan penutupan sepenuhnya dijangka mengambil masa enam hingga sembilan bulan.
Sementara itu, kerajaan Jepun bercadang meningkatkan cukai jualan barangan bagi membantu negara itu membiayai kos pembinaan semula kawasan terjejas teruk akibat bencana itu yang dianggar mencecah RM900 bilion.
Para pekerja di loji nuklear Fukushima Daiichi, Jepun mengepam gas nitrogen ke dalam reaktor yang rosak bagi mencegah letupan daripada berlaku manakala kerajaan Jepun menimbang untuk meluaskan zon pengasingan di sekitar loji berkenaan.
Ketika krisis kebocoran loji nuklear Fukushima Daiichi masuk minggu keempat semalam, pengendalinya, Syarikat Tenaga Elektrik Tokyo (TEPCO) menyatakan, pihaknya bimbang pengumpulan gas hidrogen di reaktor No.1 boleh menyebabkan satu lagi letupan berlaku di tapak loji tersebut.
Sebelum ini berlaku beberapa letupan di loji tersebut yang bermula sejak 12 Mac lalu.
Ketua Jurucakap Kerajaan Jepun, Yukio Edano menyatakan, Tokyo sedang menimbang untuk meluaskan zon perpindahan di sekitar loji itu daripada 20 kilometer yang dikuatkuasakan sekarang.
Langkah tersebut susulan kenyataan sebuah pertubuhan pemantau nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa zon tersebut perlu diperluaskan.
"Setakat ini, standard keselamatan kami untuk penduduk tempatan adalah mereka akan diarah supaya berpindah jika tahap radiasi mencecah bacaan 50 milisievert atau lebih tinggi," katanya.
Mengulas mengenai usaha mengepam gas nitrogen ke dalam reaktor terbabit, Edano memberitahu bahawa proses itu berjalan dengan lancar.
Katanya, sebanyak 6,000 kubik meter nitrogen akan digunakan dengan proses itu yang dijangka mengambil masa enam hari.
TEPCO menyatakan, ia turut merancang mengepam nitrogen ke dalam reaktor No.2 dan No.3 sebagai langkah berjaga-jaga.
Loji nuklear Fukushima Daiichi mengalami kerosakan akibat gempa bumi sekuat 9 pada skala Richter dan tsunami yang melanda timur laut Jepun pada 11 Mac lalu yang turut mengorbankan lebih 12,500 orang dengan 15,000 lagi masih hilang setakat ini.
- AFP
GAMBAR yang disiarkan pada 24 April lalu menunjukkan kemusnahan loji nuklear Fukushima Daiichi di timur laut Jepun yang rosak akibat gegaran gempa bumi.
TOKYO - Ibu salah seorang pekerja loji nuklear Fukushima Daiichi yang rosak akibat gegaran gempa bumi kuat menyatakan anaknya dan pekerja lain menjangkakan mereka akan meninggal dunia akibat terkena radiasi tinggi, lapor sebuah akhbar semalam.
Anaknya itu merupakan antara 50 pekerja loji jana kuasa nuklear tersebut yang terdedah pada kadar radioaktif yang tinggi semasa melakukan kerja-kerja untuk menyejukkan reaktor selepas rosak akibat gegaran kuat hempa bumi pada 11 Mac lalu.
Gegaran kuat itu berlaku akibat gempa bumi yang berlaku di timur laut Jepun dekat dengan loji nuklear tersebut yang mencetuskan ombak tsunami.
Menurut ibu tersebut, semua pekerja yang berhempas-pulas menyelamatkan loji tersebut daripada menyebarkan radiasi menjangkakan mereka akan meninggal dunia dalam tempoh beberapa minggu lagi.
Ibu itu yang bercakap menerusi jurubahasa melalui telefon berkata kepada stesen televisyen Fox News: "Anak lelaki saya dan rakan-rakannya telah membincangkan dengan panjang lebar dan mereka komited untuk mati jika ia perlu untuk menyelamatkan negara.
"Dia (anak lelakinya) telah menerima sepenuh hati bahawa mereka kemungkinan akan mati akibat sakit disebabkan radiasi dalam tempoh jangka pendek atau kanser dalam tempoh jangka panjang."
Sementara itu, Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan semalam berkata, kebocoran radiasi daripada loji Fukushima Daiichi tidak membawa kesan terhadap kesihatan awam kecuali rakyat mematuhi nasihat kerajaan pada setiap masa.
"Jepun membuat keputusan bertindak di kawasan (pemindahan sekitar loji) berdasarkan nasihat dan cadangan pakar. Di Jepun, kita meminta penduduk supaya mematuhi peraturan kerana ia akan menjamin keselamatan dan kesihatan mereka," katanya. Negara itu juga buat kali telah menemui tahap radiasi melebihi paras selamat dalam daging-daging lembu berhampiran kawasan larangan loji nuklear.
Kementerian Kesihatan Jepun menjelaskan bahawa 510 becquerels sesium radioaktif dikesan dalam daging lembu dari Tenei, wilayah Fukushima, kira-kira 70 kilometer dari loji nuklear tersebut, menurut agensi berita Kyodo.
Dalam kejadian gempa bumi dan tsunami itu, lebih 28,000 orang didapati terbunuh dan hilang. - Agensi
TOKYO - Pekerja di loji Fukushima berusaha mengelakkan peleburan nuklear daripada berlaku walaupun selepas dikeluarkan daripada kawasan itu buat sementara waktu sejurus radiasi meningkat kepada tahap yang berbahaya untuk kesihatan mereka, pagi semalam.
Usaha untuk mengawal keselamatan di loji itu disambung semula beberapa jam kemudian bagi menghalang kobocoran radiasi yang lebih serius.
Pengendali loji itu, Tokyo Electric Power cuba menggunakan helikopter untuk menyembur air ke atas reaktor No.4 bagi menghalang kebocoran terus berlaku namun kaedah itu dilaporkan tidak berjaya akibat kehadiran radiasi yang tinggi dalam udara.
Kumpulan pekerja yang terdiri daripada lebih 50 jurutera itu bekerja sepanjang masa bagi memadamkan kebakaran di salah sebuah reaktor dan cuba menyejukkan reaktor lain bagi mengelak peningkatan suhu.
Jurucakap kerajaan, Yukio Edano berkata, Jepun sedang mempertimbang untuk meminta bantuan daripada tentera Amerika Syarikat.
Kesemua enam reaktor nuklear di loji yang terletak di utara Jepun itu rosak selepas gempa bumi sekuat 9.0 pada skala Richter melanda Jepun sehingga mencetuskan tsunami, 11 Februari lalu.
Sehingga kini, lebih 10,000 orang dipercayai terkorban.
Krisis nuklear di Jepun mendapat perhatian dunia sehingga menenggelamkan laporan mengenai usaha mencari dan menyelamat mangsa gempa dan tsunami di seluruh negara itu.
Terdahulu, kerajaan Jepun mengarahkan 140,000 orang yang tinggal dalam jarak 30 kilometer dari loji itu untuk berlindung di dalam rumah selepas tahap radiasi di udara semakin meningkat.
Tokyo, yang terletak lebih 200 kilometer dari Fukushima, mula merasai kesan letupan loji itu apabila tahap radiasi dalam udara dikesan 10 kali ganda lebih tinggi daripada biasa tetapi kerajaan menegaskan ia tidak menjejaskan kesihatan.



