PARIS - Para saintis mencipta sebuah robot yang boleh memanjat dinding tegak tanpa menggunakan gam, lekapan dan cecair melekap.
Robot seberat 240 gram itu mempunyai tapak yang diliputi dengan mikrofiber kering yang direka berdasarkan bulu jari kaki cicak.
Cicak boleh bergerak di dinding kerana terdapat bulu terlalu halus yang dikenali sebagai setae.
Tapak robot itu dilengkapi dengan mikrofiber polimer yang selebar 0.017 milimeter (mm) dan setinggi 0.01mm.
Rambut manusia hanya setebal 0.1mm.
Robot itu memanjat 3.4 sentimeter pada setiap satu saat.
Penerangan mengenai robot itu dijelaskan dalam jurnal Britain, Smart Materials and Structure.
Menurut ketua penyelidik projek itu dari Universiti Simon Fraser di Burnaby, wilayah British Columbia di Kanada, Jeff Krahn, robot itu masih lagi dalam peringkat prototaip.

- AFP
Agensi Angkasa Lepas Jepun sedang mempertimbangkan untuk menghantar robot manusia ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) untuk menjadi pembantu dan menjadi pemerhati keadaan tahap kesihatan para angkasawan.

Agensi Penerokaan Aeroangkasa Jepun (JAXA) mengumumkan rancangan untuk menghantar robot manusia itu menjelang 2013 dan ia juga boleh berkomunikasi dengan manusia di bumi dengan menggunakan laman blog Twitter.

JAXA menyatakan bahawa robot itu adalah sebahagian daripada usaha projek besar di Jepun untuk mencipta robot bersifat seperti manusia.

Rancangan itu adalah susulan daripada program R-2 'Robonaut' yang diusahakan oleh Pusat Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Antarabangsa (NASA) dan akan dilancarkan oleh pesawat angkasa lepas Discovery pada minggu hadapan.

Jepun adalah antara negara utama yang menghasilkan pelbagai jenis robot.

ROBOT digunakan untuk mengajar bahasa Inggeris di sebuah sekolah rendha di Korea Selatan.



SEOUL - Hampir 30 robot mula mengajar bahasa Inggeris kepada murid-murid sekolah rendah di bandar Daegu, Korea Selatan, kata beberapa pegawai semalam.
Robot yang diberi nama Engkey itu dicipta oleh Institut Teknologi Sains mula mengajar kelmarin di 21 buah sekolah di bandar Daegu.
Sebanyak 29 buah robot setinggi satu meter yang mempunyai panel televisyen di muka bergerak di sekitar bilik darjah semasa mengajar murid-murid.
Robot itu membaca buku untuk murid-murid dan menari dengan menggoyangkan kepala dan tangannya.
Ia turut dikawal dengan menggunakan alat kawalan oleh guru-guru yang mengajar bahasa Inggeris dari Filipina.
Guru-guru itu boleh melihat dan mendengar suara murid-murid melalui sistem alat kawalan jauh.
"Gaji guru-guru yang berpendidikan tinggi dari Filipina adalah lebih murah daripada rakan-rakan sejawatan mereka dari negara lain," kata seorang saintis kanan institut tersebut, Sagong Seong-dae yang menjelaskan kenapa guru dari negara itu digunakan.

- AFP/KosmoOnline