AHMAD terbaring sambil ditemani dua anaknya, Hamiah (kanan) dan Fatimah di Alor Setar semalam.

ALOR SETAR – Hasrat Sanah Ahmad (
Baca sini ), 82, untuk mendirikan rumah tangga dengan Ahmad Md. Isa yang berusia 110 tahun berkemungkinan besar tidak kesampaian.
Ini kerana keluarga Ahmad semalam berubah fikiran apabila menolak sebarang perbincangan mengenai perkahwinan warga emas itu.
Anaknya, Fatimah berkata, keputusan itu adalah hasil perbincangan semua ahli keluarga dan ia adalah muktamad.
“Saya minta maaf kepada keluarga Sanah kerana terpaksa tolak hasrat mereka. Jadi, saya rasa mereka perlu batalkan rancangan ke rumah kami Sabtu ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Alor Mengkudu di sini.
Menurut Fatimah, keputusan itu diambil atas dasar kesihatan ayah mereka yang kerap sakit seperti batuk, lelah dan muntah berkahak selain terpaksa membuang air kecil di dalam bekas kerana sudah tidak berdaya untuk berjalan ke bilik air.
Katanya, anak Sanah, Sabaha ada menghubungi suaminya Sabtu lepas memaklumkan kedatangan mereka.
“Mereka tetap mahu datang sebab hendak melihat sendiri keadaan ayah dan kami mungkin tidak benarkan ayah bersua muka dengan Sanah takut dia bersungguh-sungguh hendak berkahwin,” jelasnya.




SANAH (kanan) bersama anaknya, Sabaha membaca kisah mengenai Ahmad yang disiarkan akhbar di Kuala Lumpur semalam.



KUALA LUMPUR – Hasrat seorang lelaki warga emas berusia 110 tahun, Ahmad Md. Isa untuk mendirikan rumah tangga mungkin tercapai selepas seorang wanita di sini terpaut hati padanya.
Wanita itu, Sanah Ahmad, 82, yang hidup sendirian sejak kematian suami 28 tahun lalu, menyatakan kesediaan untuk bersuamikan warga emas itu selepas membaca kisahnya dalam akhbar Kosmo! pada Rabu lalu.
Menurut Sanah, hatinya berdebar apabila menatap gambar Ahmad yang disifatkannya saling tak tumpah seperti arwah suami keduanya yang merupakan bekas tentera.
“Saya faham kesunyian yang dialami oleh Ahmad kerana saya sendiri pun sunyi tinggal seorang diri di rumah ini,” katanya ketika ditemui di Flat Desa Rejang, Setapak di sini semalam.