Google Maps kesan kelibat UFO

Kelibat UFO ini dapat dilihat di dua kawasan berbeza di Amerika Syarikat menerusi aplikasi Google.

 
TEXAS - Objek terbang tidak dapat dikenal pasti (UFO) di dua kawasan berbeza telah dapat dilihat menerusi aplikasi Google Maps sehingga mencetuskan persoalan mengenai kesahihannya.


Difahamkan, objek misteri berwarna merah sedang berlegar-legar itu dapat di Jacksonville di Texas dan Sky City Casino Hotel di Acoma Pueblo di New Mexico.

Beberapa pihak membuat andaian bahawa objek tersebut mungkin terhasil daripada tindak balas lampu kilat kamera  atau pantulan cermin dari restoran berhampiran.

Wartawan stesen KLTV-TV, Jamey Boyum berkata, tiada penduduk yang mendakwa mereka ada melihat objek pelik di Jacksonville walaupun ia dapat dilihat dengan jelas menerusi aplikasi Google Street View itu.

"Kami telah menghubungi Google tetapi mereka belum memberi sebarang maklum balas," katanya. -MailOnline
Kelibat UFO gemparkan China

Objek misteri didakwa sebagai UFO ini diambil di Taman Hutan Gunung Phoenix pada minggu lalu.
BEIJING - Penduduk di Heilongjiang, kelmarin gempar selepas mendakwa mereka terlihat kelibat objek terbang tidak dapat dikenal pasti (UFO) dalam insiden kali kedua di wilayah timur laut China itu.

Kejadian tersebut turut disaksikan dua pekerja pemprosesanpasir di Harbin.

Mereka mendakwa objek terbang berwarna hitam itu seperti helang dan saiznya adalah lebih besar daripada pesawat.

"Ia berlegar-legar selama seminit pada jarak 500 hingga 1,000 meter dari permukaan tanah," menurut saksi, Zhang Wei.

Sementara itu, akhbar China Daily melaporkan Zhang Wei tidak dapat memastikan sama ada ia adalah objek misteri yang sama dilihat di Taman Hutan Gunung Phoenix pada minggu lalu yang terletak kira-kira 200 kilometer dari kilang pasir tersebut.

Pengurus Taman Hutan Gunung Phoenix, Kang Tai berkata, pihaknya sering kali menerima laporan mengenai kewujudan UFO di kawasan taman itu sejak 18 tahun lalu.

Namun, kurator di Planetarium Beijing yang membuat penyelidikan mengenai UFO mendakwa, objek itu sebenarnya adalah serangga.

"Imej menunjukkan ia adalah spesies serangga kerana mempunyai sayap. Objek itu kelihatan terang berikutan pancaran lampu kilat kamera," jelasnya.

YOGYAKARTA, Indonesia - Belum reda kekecohan mengenai bulatan tanaman yang dipercayai jejak objek terbang tidak dikenali (UFO) di Sleman, kelmarin, warga Yogyakarta kembali digemparkan dengan penemuan satu lagi bulatan misteri, lapor beberapa buah akhbar semalam.
Bulatan misteri kedua itu bercorak geometri yang baru itu ditemui di Dusun Wanujoyo Kidul, Desa Srimartani Kecamatan Piyungan, Kabupaten Bantul, Yogyakarta.
Ia terletak lima kilometer dari bentuk bulatan pertama yang ditemui di sawah padi di Sleman tetapi ukurannya pula lebih kecil.
"Saya sedang mencari rumput, saya lihat banyak padi yang landai dan membentuk bulatan," kata seorang pemuda Harjono, yang menemui corak bulatan misteri itu.
Ia dipercayai terbentuk lebih lima hari berdasarkan sebahagian padi yang rebah sudah mula tegak berdiri.
Lebih menghairankan, padi yang rebah itu juga tidak patah.
Menurut seorang penduduk tempatan Tukijo, 53, yang tinggal dalam jarak sekitar 100 meter dari tempat corak aneh itu ditemui, dia tidak mendengar bunyi suara atau melihat cahaya sebelum lingkaran itu ditemui.
"Tiada sebarang tanda-tanda ganjil sebelum bentuk bulatan itu ditemui," katanya.
Kawasan itu kini dipagari dengan garisan polis bagi mengelak dipijak oleh orang ramai yang berpusu-pusu tiba kerana mahu melihat fenomena tersebut.
Sementara itu, beribu-ribu orang membanjiri daerah Sleman semalam semata-mata untuk melihat sendiri bulatan misteri yang pertama.
Bulatan itu memiliki corak seperti bunga dengan luas sekitar 70 meter.
Ia kini menjadi tumpuan orang ramai sehingga polis terpaksa memagari kawasan itu dengan menggunakan pita berwarna kuning bagi menghalang bulatan itu dipijak oleh orang ramai.

Beberapa penduduk kampung di Sleman pula mengambil kesempatan dengan mengenakan bayaran kepada orang luar yang datang untuk melihat bentuk misteri itu.
Ketua kampung Jogotirto tempat corak aneh itu ditemui, Guntur Purwanto berkata, bulatan itu muncul di tengah-tengah sawah bendang pada Ahad lalu.
Antara yang hadir semalam dan turut memberikan pendapat mengenai bentuk itu ialah beberapa pegawai dari agensi angkasa lepas Indonesia, ahli-ahli astronomi dan pegawai-pegawai agensi nuklear.
Kesemua mereka bagaimanapun, bersetuju bentuk misteri itu bukan disebabkan UFO.

- Agensi


YOGYAKARTA, Indonesia - Tujuh petak sawah padi di Krasakan di Sleman, Yogyakarta mempunyai corak bulatan ganjil yang dipercayai penduduk dihasilkan oleh objek terbang tidak dikenali (UFO), lapor akhbar Jakarta Post semalam.
Bukan sahaja Jakarta Post tetapi banyak akhbar lain di Indonesia turut melaporkan mengenai penemuan unik itu.
Corak bulatan ganjil pada kebiasaannya ditemui di kawasan tanaman gandum di negara-negara Barat seperti Britain sejak tahun 1980.
Bentuk bulatan yang ganjil itu dikaitkan dengan UFO di Barat ekoran ia mempunyai bentuk geometri dan tiasa saksi yang melihat manusia yang melakukannya.
Bentuk ganjil yang ditemui di Sleman itu mengandungi corak segi tiga dan dua bulatan kecil di bahagian tengah bulatan yang besar berdiameter di antara 25 meter hingga 30 meter itu ditemui penduduk tempatan pada pagi Ahad lalu.
"Saya berpendapat, ia (bulatan ganjil itu) ditinggalkan oleh sebuah kapal angkasa asing seperti yang saya lihat di televisyen," kata seorang penduduk, Cahyo Utomo semalam.
"Adalah tidak munasabah, bulatan itu dibuat hasil tiupan angin atau haiwan lain," tambahnya.
Bulatan itu yang terletak dekat dengan sebuah kawasan rumah penduduk kelihatan seperti satu kerja seni geometri manakala kawasan sawah padi lain tidak mengalami sebarang kesan yang sama.
Bulatan ganjil itu kali pertama dilaporkan oleh seorang petani, Tukiman pada pukul 6 pagi Ahad lalu.

Ketua Polis Sleman, Iwan Ramaini berkata, dia tidak pasti jika corak bulatan itu dicipta oleh UFO atau ia merupakan fenomena semula jadi. Satu siasatan polis sedang dilakukan berhubung kejadian itu.
Namun, seorang pegawai polis yang mendegar keterangan daripada enam petani yang memiliki tujuh petak sawah percaya, bulatan itu bukan buatan manusia.
"Mereka bilang (para petani itu) nggak (tidak) mungkin itu dibuat oleh manusia," kata seorang pegawai polis, I Made Muliawan kepada wartawan akhbar dalam talian detikcom.
Menurutnya, petani-petani itu tidak melihat terdapat kegiatan mencurigakan di kawasan sawah padi tersebut.
"Tidak ada keterangan yang menyebutkan, melihat ada orang melakukan hal-hal aneh di sawah itu," katanya.
Dia berkata, salah seorang pemilik sawah itu pernah mendengar bunyi bising pada malam sebelum corak itu ditemui.
"Malam hari ada yang bilang mendengar suara seperti pesawat turun, terus pastinya dia melihat di sawahnya," kata pegawai polis itu.
Menurutnya, pihak polis menghalang orang ramai mendekati kawasan yang mengandungi objek misteri itu.
Dia berkata, sekatan itu dibuat kerana pihaknya bimbang orang ramai akan memijak pohon padi sekali gus menjadi rosak dan merugikan petani.

- Agensi

KUALA LUMPUR - Seorang penyelia kanan sebuah projek pembinaan di sini terkejut apabila mendakwa terlihat satu objek pelik yang dirakamnya melalui telefon bimbit melintasi ruang udara Menara Kuala Lumpur Selasa lalu.
Abdul Jalil Ibrahim, 50, berkata, pada kejadian pukul 7.46 pagi Selasa lalu, dia sedang merakam pemandangan awan dari tingkat 51 sebuah bangunan yang sedang dibina di sebelah sebuah hotel di Jalan Ampang di sini menggunakan telefon bimbit milik kawannya.
"Pada mulanya saya tidak menyedari ada objek pelik seakan-akan UFO (Objek Terbang Yang Tidak Dikenali) di dalam rakaman ini tetapi selepas empat hari, rakan setugas saya beritahu ada benda pelik pada gambar yang saya rakam dengan telefon bimbitnya.
"Apabila diteliti, saya terkejut melihat sebuah objek pelik berbentuk piring dan bujur berwarna hitam di ruang udara Menara KL," ceritanya lagi ketika ditemui Kosmo! semalam.
Bagaimanapun Abdul Jalil berkata, dia tidak dapat mengesahkan apa sebenarnya objek berkenaan walaupun jarak tapak binaan dengan Menara KL hanya sejauh satu kilometer.