Kumpulan semut akan meleraikan habitatnya ketika gempa akan berlaku
MANUSIA hanya boleh mengetahui kehadiran gempa bumi apabila dapat merasai gegarannya.
Dipetik OurAmazing Planet, penelitian dilakukan sekumpulan penyelidik
Jerman mendapati, gempa boleh dirasai lebih awal oleh semut merah hutan.
Penelitian dilakukan Gabriele Berberich dari University Duisburg-Essen
di Jerman mendakwa, perilaku semut akan berubah ketika gempa akan
berlaku di mana kumpulan semut akan menunjukkan reaksi ‘kegelisahan’
apabila pola kehidupannya terancam.
Beliau mendapati, perubahan akan berlaku pada perilaku semut hasil rangsangan reseptor yang milikinya.
“Ketika gempa akan berlaku, perubahan ketara akan terjadi pada magnet
bumi. Semut memiliki reseptor sangat sensitif iaitu reseptor
chemoreceptor untuk mengesan karbon dioksida dan reseptor
magnetoreceptor sebagai memantau elektromagnet bumi,” katanya.
Menurutnya, dari dua ujian dalam tiga fasa getaran, kesemua semut dari
15 ribu sarang akan bertindak meleraikan sarangnya dengan berpindah ke
kawasan lebih selamat.
Bangkai misteri ditemui orang awam di pantai Bay of Plenty, Auckland.
SATU bangkai reput berukuran 9.1 meter ditemui
terdampar di pantai Bay of Plenty, Auckland, New Zealand, mengundang
persoalan sama ada ia spesies reptilia atau raksasa laut.
Dipetik MailOnline, kejadian itu terbongkar menerusi rakaman video Youtube oleh seorang wanita, Elizabeth Ann, bulan lalu.
Rakaman tersebut menunjukkan, bangkai haiwan misteri itu mempunyai
rahang gergasi, bergigi tajam dengan sebahagian anggota badannya hilang.
Menurut suara rakaman itu, bangkai reput tersebut amat panjang dan
bahagian bawah badannya terputus akibat diserang atau terkena benda
tajam.
"Makhluk laut yang sangat besar ini mungkin dihanyutkan ke pantai selepas ribut," kata Ann.
Sementara itu, beberapa saintis tempatan tidak menolak sama ada ia
adalah bangkai seekor buaya tembaga, belut moray, ikan lumba-lumba atau
dinosaur.
Bagaimanapun, rakaman bangkai misteri itu dihantar ke Jabatan
Pemuliharaan dan Akuarium Kelly Tarlton, New Zealand bagi penyelidikan.
Rangka dipercayai pasangan kekasih Romeo and Juliet ditemui di Republik Dominican.
RANGKA sepasang kekasih berusia antara 1450 dan 1550 tahun ditemui dalam posisi berpegangan tangan di Republik Dominican.
Dipeti MailOnline, arkeologi dari Cluj-Napoca Institute of Archaeology
and History of Art, Adrian Rasu mendakwa, rangka itu kemungkinan milik
sepasang kekasih Romeo and Juliet.
“Penemuan ini timbul misteri kerana penguburan sedemikian belum pernah
terjadi ketika zaman itu. Rangka lelaki berkenaan dalam keadaan luka
parah kerana pinggangnya patah berbanding rangka wanita yang masih
sempurna,” katanya.
Beliau berpendapat, pasangan itu disemadikan bersama sebagai penghormatan cinta mereka oleh penduduk kampung ketika itu.
Pengarah biologi di Stanford Universiti, California, Garry Nolan,
melakukan ujian DNA bagi mengenal pasti rangka dipercayai makhluk asing
bersaiz 15 sentimeter dijumpai di Chile.
Menurutnya, ujian awal mengesahkan, rangka berusia kira-kira enam ke
lapan tahun itu bukan dari spesies monyet kerana ia mempunyai gigi dan
sembilan tulang rusuk.
Rangka tersebut dijumpai Oscar Munoz pada 2003 di La Noria, sebuah bandar hantu di Gurun Atacama, dipetik daripada MailOnline.
SOFIA - Sejumlah artifak emas pada abad ketiga Sebelum Masihi dipamerkan oleh pihak Muzium Arkeologi Bulgaria di sini kelmarin.
Antara artifak yang ditemui itu ialah patung emas berbentuk muka kuda, cincin, mahkota dan gelang emas.
Sekumpulan ahli arkeologi menemui artifak itu semasa melakukan
kerja-kerja penggalian di sebuah makam dekat Kampung Sveshtari di utara
negara ini pada Khamis lalu.
Artifak tersebut milik suku kaum Thrace, Getae pada akhir abad keempat atau permulaan abad ketiga Sebelum Masihi.
Menurut ketua pasukan arkeologi itu, Diana Gergova, makam tersebut mungkin mempunyai kaitan dengan pemerintah Getae, Cothelas.
Dia berkata, ia kemungkinan ditanam pada satu majlis pengebumian. - Agensi
AP SEORANG wanita membawa sebuah bekas yang mengandungi tengkorak di sebuah kawasan perkuburan di La Paz, Bolivia kelmarin.
|
LA PAZ, Bolivia - Satu majlis bagi menghormati tengkorak diadakan di
sini kelmarin oleh sekumpulan penganut agama Kristian Katolik.
Kira-kira 300 tengkorak diarak ke sebuah gereja kecil di tanah perkuburan di sini.
Sekumpulan penganut itu mendakwa tengkorak tersebut mempunyai kuasa ajaib.
Tengkorak tersebut dipercayai boleh menolong mereka mendapatkan
pekerjaan dan membantu pasukan bola sepak yang diminati memperoleh
kemenangan.
Kalungan bunga turut diletakkan pada tengkorak itu pada majlis itu.
Para penganut tersebut juga memperdengarkan muzik dan menyediakan hidangan makanan untuk tengkorak itu.
Lima tahun lalu, seorang ketua biskop Kristian Katolik di negara ini
pernah mengutuk majlis itu kerana ia dianggap bertentangan dengan agama
tersebut.
LIMA - Mumia kanak-kanak berusia kira-kira 700 tahun, dikembalikan
semula ke Peru selepas diseludup oleh penyeludup barangan antik ke
Bolivia, kelmarin.
"Kita mengiktirafnya sebagai artifak warisan kebudayaan negara yang perlu dipelihara," kata Menteri Kebudayaan, Luis Peirano.
Ia ditemui dalam kotak kertas, dua tahun lalu, daripada rakyat Bolivia yang cuba menghantarnya ke Compiegne, Perancis.
Mumia berkenaan diserahkan kepada Peru oleh Menteri Kebudayaan Bolivia,
Pablo Groux dalam keadaan baik dan dibungkus bagi melambatkan proses
pereputan.
Pakar arkeologi percaya, ia berasal daripada zaman pra-Inca pantai Peru dan ia adalah kanak-kanak berumur dua tahun. -AP
RIYADH - Kegigihan seorang warga Bosnia nekad berjalan kaki sejak
Disember lalu berbaloi selepas beliau selamat tiba di Makkah pada Sabtu
lalu.
Senad Hadzic, 47, berjaya mengharungi pelbagai cabaran sejauh 5,700
kilometer (km) dalam tempoh 314 hari dengan merentasi tujuh negara
termasuk Syria.
Hadzic turut membawa beg galas seberat 20 kilogram bagi merealisasikan hasratnya untuk menunaikan haji pada tahun ini.
"Saya tiba di Syria pada April lalu dan berjalan sejauh 500 km
merentasi negara itu dalam tempoh 11 hari. Berikutan konflik meruncing
di negara tersebut, saya juga terpaksa melalui pemeriksaan di puluhan
pos kawalan keselamatan yang dikawal oleh tentera kerajaan dan
pemberontak.
Bagaimanapun, saya tidak pernah ditahan oleh mereka kerana segala urusannya seperti dipermudahkan oleh ALLAH SWT," katanya.
Selain itu, Hadzic terpaksa berhadapan dengan perubahan suhu di beberapa negara.
Menurutnya yang terendah dicatatkan adalah -35 darjah Celsius di
Bulgaria, manakala suhu paling panas adalah 44 darjah Celsius di Jordan.
Sebelum tiba di Makkah, beliau terkandas beberapa minggu di Istanbul untuk memperoleh kebenaran bagi merentasi Selat Bosphorus.
Dia juga terpaksa menunggu dua bulan di sempadan Jordan-Arab Saudi untuk mendapatkan visa.
WALLACE (kiri) bercakap kepada Kelly
dan Michael (kanan) tentang buah labu gergasi miliknya pada program
Live with Kelly and Michael di New York kelmarin.
NEW YORK - Seorang penanam labu, Ron Wallace dari Greene, Pulau Rhode, Amerika Syarikat diundang menghadiri program bual bicara
Live with Kelly and Michael di sini kelmarin.
Dia diundang bagi menceritakan tentang buah labunya yang seberat 849 kilogram (kg).
Buah labu itu direkodkan sebagai yang terbesar di dunia.
Ia mengatasi rekod Guinness World Records hampir 90.71kg.
Wallace memenangi pertandingan buah labu terbesar pada pertandingan hasil pertanian di Topsfield, Massachusetts baru-baru ini.
Dia menenangi hadiah wang tunai sebanyak AS$5,500 (RM16,694) ekoran kemenangannya.
Wallace juga memperoleh wang tunai sebanyak AS$10,000 (RM30,353) kerana berjaya memecahkan rekod dunia
Kelibat UFO ini dapat dilihat di dua kawasan berbeza di Amerika Syarikat menerusi aplikasi Google.
TEXAS - Objek terbang tidak dapat dikenal pasti (UFO) di dua kawasan
berbeza telah dapat dilihat menerusi aplikasi Google Maps sehingga
mencetuskan persoalan mengenai kesahihannya.
Difahamkan, objek misteri berwarna merah sedang berlegar-legar itu
dapat di Jacksonville di Texas dan Sky City Casino Hotel di Acoma Pueblo
di New Mexico.
Beberapa pihak membuat andaian bahawa objek tersebut mungkin terhasil
daripada tindak balas lampu kilat kamera atau pantulan cermin dari
restoran berhampiran.
Wartawan stesen KLTV-TV, Jamey Boyum berkata, tiada penduduk yang
mendakwa mereka ada melihat objek pelik di Jacksonville walaupun ia
dapat dilihat dengan jelas menerusi aplikasi Google Street View itu.
"Kami telah menghubungi Google tetapi mereka belum memberi sebarang maklum balas," katanya. -MailOnline
SEBUAH kubur kuno yang ditemui di puncak Gunung Kamhantik di Filipina pada 26 Februari tahun lalu.
MANILA - Sepasukan ahli arkeologi menemui tinggalan sebuah kampung
purba di puncak sebuah gunung yang dilitupi hutan di Flipina bersama
beberapa keranda batu kapur yang belum pernah ditemui di negara Asia
Tenggara berkenaan, kata seorang pegawai semalam.
Pegawai Muzium Nasional, Eusebio Dizon berkata, kampung tersebut
terletak di kawasan seluas lima hektar di atas Gunung Kamhantik dekat
bandar Mualanay di wilayah Quezon.
Menurut Dizon, tinggalan bersejarah itu berusia sekurang-kurangnya 1,000 tahun.
Usia itu, katanya, adalah berdasarkan teknik pengiraan usia karbon ke
atas sebatang gigi manusia yang ditemui di dalam satu daripada 15 kubur
batu kapur tersebut.
Penemuan beberapa kubur segi empat tepat itu penting kerana artifak
tersebut menjadi bukti masyarakat Filipina ketika itu mengamalkan
upacara pengebumian yang lebih canggih berbanding tanggapan sebelum ini.
Mereka juga menggunakan peralatan diperbuat daripada logam untuk menghasilkan keranda batu kapur berkenaan.
Beberapa penemuan lalu menunjukkan masyarakat Filipina pada era
tersebut menggunakan keranda kayu, keranda tanah liat dan balang untuk
menyimpan mayat manusia di beberapa bahagian di negara itu. - AP
SEBUAH kereta perisai meronda kawasan di sekitar Kem Bastion, selatan Afghanistan pada 10 Januari 2007.
|
LONDON - Seorang anggota tentera Britain melahirkan anak lelaki
semasa berkhidmat di sebuah kem tentera tempat Putera Harry ditempatkan
di Afghanistan.
Kelahiran di zon perang itu dipercayai kes pertama seumpamanya dalam sejarah tentera Britain.
Askar wanita berkenaan yang merupakan seorang pengendali meriam, melahirkan bayinya pada Selasa lalu di Kem Bastion.
Terletak dalam wilayah Helmand, kem tersebut merupakan pangkalan utama tentera Britain di selatan Afghanistan.
Pangkalan itu diserang hebat oleh kumpulan Taliban pada minggu lalu
dengan menyebabkan dua askar Marin Amerika Syarikat (AS) terbunuh
manakala enam pesawat pejuang AS turut musnah.
Mengulas kelahiran mengejut itu, Kementerian Pertahanan Britain (MOD)
dalam satu kenyataan semalam menyatakan ia tidak menyedari askar
tersebut sedang mengandung.
Kenyataan MOD menegaskan bahawa pihaknya tidak akan membenarkan askar wanita dikerahkan ke medan perang sekiranya mereka hamil.
Kenyataan sama enggan mendedahkan sama ada askar tersebut yang tidak didedahkan identitinya menyedari tentang kehamilannya.
"Kedua-dua ibu dan anak berada dalam keadaan baik di hospital
tersebut dengan mereka kini diberikan rawatan terbaik," kata kementerian
berkenaan.
Menurut kementerian itu lagi, sepasukan doktor akan diterbangkan ke
Afghanistan dalam tempoh beberapa hari lagi bagi membantu askar terbabit
dan bayinya pulang ke Britain.
Askar wanita berkenaan hamil sebelum dihantar ke medan perang ekoran dia dikerahkan ke Afghanistan pada Mac lalu.
Ditanya tentang insiden tersebut, sebuah badan amal penjagaan
kanak-kanak di Britain, National Childbirth Trust menyatakan tugas berat
askar terbabit dipercayai menyebabkan dia tidak menyedari atau cuba
untuk tidak mengendahkan kehamilannya.
"Askar ini mungkin terlalu fokus pada tugasnya tambahan pula, dia
berada dalam situasi hidup mati di zon perang. Ini menyebabkan dia tidak
menyedari atau tidak mengendahkan kehamilannya," kata ketua eksekutif
badan amal tersebut, Belinda Phipps.
Menurutnya, kehamilan tersebut mungkin tidak disedari oleh askar-askar lain.
"Bukan semua wanita memiliki perut yang besar semasa hamil,
sebahagian wanita mempunyai rahim yang jauh ke dalam," tambahnya. - AP