Tujoh Pelajar Malaysia Di Tahan

MogaSejahtera | 7:25 AM | 5 comments

Seorang pelajar Malaysia yang menuntut di Universiti Iskandariah, Mesir semalam, Nur Akma Zainol Shahrom, 20, mendakwa seramai tujuh pelajar Malaysia ditahan tentera Mesir di daerah Iskandariah kerana melanggar arahan perintah berkurung yang dikatakan semakin singkat setiap hari.

Nur Akma berkata sedemikian ketika dihubungi ibunya, Maizatul Aziah Jamaluddin, 45, dan Sinar Harian di sini kira-kira jam 4 petang semalam (jam 10 pagi waktu Mesir) di rumahnya di Taman Mangga, Alor Mengkudu di sini semalam.

Menurutnya, perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh seorang pelajar senior universiti sama sewaktu mengarahkan mereka untuk segera mengemas barang dan berpindah ke wilayah berdekatan iaitu Rakoda.

“Beberapa pelajar senior turut memaklumkan keadaan keselamatan di Iskandariah kini tidak lagi selamat berikutan kehadiran puak penunjuk perasaan yang dikatakan sudah memasuki daerah itu dan kami mengambil langkah segera untuk angkat kaki,” katanya.

Nur Akma turut dimaklumkan semua pelajar Malaysia bakal bergerak secara berkumpulan untuk berpindah bagi memastikan tiada pelajar yang tercicir.

Mengenai bekalan makanan yang semakin meruncing, Nur Akma mendedahkan kebanyakan pelajar Malaysia yang berada di Iskandariah semakin kekurangan bekalan makanan dan terpaksa bergantung kepada biskut kering untuk mengisi perut.

“Pada masa sama, saya turut mengalami masalah mendapatkan dokumen perjalanan berikutan dipegang oleh Pegawai Bahagian Hal Ehwal Pelajar Malaysia di Universiti Iskandariah.

“Bagaimanapun, kebimbangan saya lenyap setelah dimaklumkan dokumen perjalanan tidak diperlukan untuk keluar dari Mesir pada waktu kecemasan dan saya berharap tidak berlaku masalah di kemudian hari,” katanya.

Nur Akma turut dimaklumkan pelajar Malaysia yang menetap di daerah Iskandariah akan dipindahkan ke Jeddah, Arab Saudi dalam masa terdekat.

“Bagaimanapun, tempoh sebenar kami akan dibawa pulang masih tidak diketahui memandangkan kami tidak menerima sebarang maklumat lanjut daripada pihak kedutaan sendiri,” katanya.

Sementara itu, Maizatul Aizah difahamkan oleh anak­nya terdapat dua pelajar Malaysia yang lebih senior yang menuntut di universiti sama dilaporkan hilang setelah mengambil keputusan untuk pergi ke Kaherah bersendirian beberapa hari lalu.

Menurutnya, beberapa rakan pelajar senior terbabit gagal menghubungi mereka sejak dilaporkan hilang sehingga menimbulkan kebimbangan sesuatu yang buruk berlaku berikutan jarak perjalanan dari Iskandariah ke Kaherah mengambil masa empat setengah jam.

“Berikutan peristiwa itu, saya menasihati anak saya tidak membuat keputusan sendiri untuk keluar dari daerah Iskandariah di samping memintanya sentiasa bergerak dalam keadaan berkumpulan.

“Saya menangis mendengar pengumuman kerajaan semalam bahawa kapal laut yang dihantar membawa pulang pelajar Malaysia di Mesir hanya akan sampai pada 5 Februari. Saya harap usaha menyelamat itu dipercepatkan,” katanya.

Category :

5 comments :

  1. Semoga Allah selamat kan saudar-saudaraIslm kita di sana. Ada hikmah disebalik semua ini.

    ReplyDelete
  2. semoga cepat2 lah tragedi ni sume berakirkn... aminnn..

    ReplyDelete
  3. harap2 diorang pndai jaga diri, sama-samalah kita berdoa

    ReplyDelete
  4. @tigasukumaut @ TSM..... moga Allah menjaga keselamatan mereka semua

    ReplyDelete
  5. @Gadis Melayu.....Insyaalallah tuhan akan selamatkan mereka

    ReplyDelete