Batu mistik selamatkan penduduk terkena tsunami

MogaSejahtera | 10:14 PM | 0 comments


Sebongkah batu setinggi 1.21 meter didakwa menyelamatkan nyawa penduduk kampung di Aneyoshi ketika bencana tsunami melanda Jepun 11 Mac lalu di timur laut Jepun akibat gempa bumi kuat dalam laut, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Padanya, ditulis amaran yang meminta penduduk jangan membina rumah melepasi batu berkenaan kerana mereka mungkin berdepan dengan bencana banjir akibat tsunami.
Penduduk kampung tersebut mematuhi larangan purba itu.
Hasilnya, komuniti yang hanya melibatkan 11 buah rumah dan 34 orang penduduk terselamat daripada terkena ombak tsunami.
Aneyoshi terletak di kawasan pergunungan wilayah Iwate yang terjejas teruk dalam bencana tsunami baru-baru ini. Kira-kira 91.4 meter ke bahagian bawah bukit dari batu itu terdapat satu garisan biru dicat di atas jalan.
Garisan itu menandakan paras air banjir tsunami pernah sampai pada takat tertingginya iaitu 38.8 meter.
Sejarah Jepun menghadapi tsunami membawa kepada kewujudan batu-batu amaran itu yang juga menjadi pemandangan biasa di sepanjang pantai negara tersebut.
Generasi terdahulu cuba memberi amaran kepada anak cucu mereka tentang bahaya tsunami. Ada antara batu itu yang berusia 600 tahun.
"Batu-batu tsunami ini menjadi amaran dari satu generasi ke generasi. Ia memberitahu supaya mengelak daripada penderitaan yang dialami oleh nenek moyang mereka," kata pakar bencana alam dari Universiti Ritsumeikan di Kyoto, Itoko Kitahara.
Tsunami yang berlaku pada tahun 1896 dan meragut 22,000 nyawa telah meyakinkan penduduk Aneyoshi untuk berpindah ke kawasan tinggi.
Namun, apabila populasi kian bertambah, mereka berpindah semula ke kaki bukit. Apabila sekali lagi dilanda tsunami pada tahun 1933, hanya empat orang yang terselamat.
Selepas bencana itu, orang kampung menanam batu amaran dan berjaya menyelamatkan nyawa mereka apabila tsunami berlaku pada tahun 1960.
"Mereka tahu betapa dahsyatnya tsunami, jadi batu itu didirikan untuk memberi amaran kepada kami," kata ketua kampung di Aneyoshi, Tamishige Kimura.

- Agensi

Category :

0 comments