Muzakarah fatwa kebangsaan tidak halang poco-poco di negeri lain

MogaSejahtera | 2:37 PM | 0 comments

SEPANG - Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan hari ini memutuskan untuk tidak menghalang tarian poco-poco di kalangan umat Islam selagi ia tidak melanggar garis panduan yang ditetapkan, kata Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin.

Sehubungan itu masyarakat Islam dinasihatkan sentiasa berhati-hati dan merujuk kepada garis panduan yang dikeluarkan badan itu sejak 2007 yang antara lain tidak melakukan ritual ibadat bukan Islam, menjaga pergaulan lelaki dan perempuan serta pakaian yang sesuai.

"Sekiranya tidak melanggar (peraturan ) maka tiada halangan. Malah kalau ia mendatangkan kebaikan kepada kesihatan, maka kita rasa tiada halangan kepada perkara itu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan di sini hari ini.

Bagaimanapun beliau berkata, Majlis Fatwa Kebangsaan tetap menghormati keputusan Majlis Fatwa Perak untuk mengharamkan tarian itu seperti diumumkan muftinya Tan Sri Harussani Zakaria sebelum ini kerana mempunyai unsur kepercayaan agama lain iaitu Kristian selain pemujaan roh.

Sementara itu, Harussani yang turut menghadiri muzakarah itu ketika dihubungi berkata, fatwa pengharaman itu dibuat selepas terdapat pertanyaan daripada persatuan Islam di Perak sama ada tarian itu patut diharamkan atau sebaliknya.

"Selepas itu kajian dibuat dan didapati ada unsur itu. Negeri-negeri lain tiada permintaan untuk mengkaji tarian itu sebab itu tiada fatwa mengenainya dibuat," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Shukor ketika diminta mengulas mengenai antara perkara utama yang dibincangkan pada muzakarah kali ini, beliau berkata ia termasuklah penggunaan vaksin 'mencevax' iaitu sejenis vaksin yang digunakan jemaah haji dan umrah sejak sekian lama.

"Jadi kita telah mengkaji dan mendapatkan pandangan pakar di mana selepas tahun 1997 penghasilannya lebih baik selain kos yang lebih munasabah. Kita setuju teruskan (penggunaannya) jika tiada gantian yang lebih baik daripada itu," katanya.

Menurutnya terdapat juga permohonan daripada syarikat lain untuk membekalkan vaksin untuk jemaah haji dan umrah, yang sudah berada di pasaran selama dua tahun.

"Pada prinsipnya kedua-dua vaksin itu harus dan boleh digunakan. Tetapi kita mengutamakan vaksin pertama kerana ia sudah lama digunakan," kata beliau.

Muzakarah tiga hari yang bermula 20 April turut membincangkan mengenai wang pampasan insurans konvensional yang tidak dituntut serta masalah wang khairat kematian.

Category :

0 comments